Rakyat bertakbir usai ucapan pertama Anwar di masjid Sg Long.


 

Rakyat yang menjadi ahli kariah Masjid Ashabus Salihin Taman Rakan, Sungai Long, Kajang semalam bertakbir selepas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan ucaptama di masjid tersebut.



Majlis sempena kenduri kesyukuran dan doa selamat tersebut diambil kesempatan oleh Datuk Seri Anwar untuk menjelaskan langkah yang akan dilakukannya segera selepas dilantik PM dan keutamaan kerajaan beliau.



Katanya, beliau tidak akan mengikut tradisi PM sebelumnya yang meminta laporan daripada penjawat awam mengenai keadaan kehidupan rakyat.



"Dalam pertemuan pertama saya dengan Ketua Setiausaha Negara (Jumaat lepas) saya tidak mahu dengar yang baik baik. Saya tahu kesusahan (rakyat). Saya tahu barang semua naik, bawang, telur.



"Telur sekarang ada (kembali di pasaran), minyak paket baru sampai. Esok saya akan (adakan) mesyuarat kos sara hidup.



"Saya tidak akan bertolak ansur," katanya.



Selain itu, Anwar juga mengingatkan mengenai kempen untuk memperbaiki pemerintahan yang amat disuruh dalam al Quran untuk dilakukan oleh pemerintah.



"Saya ingatkan gesaan al Quran dalam surah al Balad. Jaminan bagaimana manusia kerdil boleh diangkat makamnya



"Bagaimana boleh diangkat martabat. Bagaimana angkat darjat. Solat, baca quran, zikir dan sebagainya.



"Apatah lagi dalam tatanegara, pemerintahan, soal pentadbiran. Mengangkat martabat rakyat. Ini ujian besar," katanya lagi.



Usai ucapan tersebut kariah masjid bertakbir tiga kali menandakan sokongan padu kepada agenda yang akan diangkat oleh Anwar dalam pentadbirannya pada bulan bulan mendatang.