Rakyat Malaysia diseru menghindari pengaruh ekstremis agama dan
kempen kebencian yang terus bersemarak meski pun selepas selesai Pilihan Raya
Umum ke 15.
Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu, Malaysia tidak
boleh dihancurkan oleh ideologi ekstrem yang ditaja oleh PN demi meraih kuasa.
"Yang sedih kita kali ini (PRU 15) unsur rasis dan ekstrem
agama digunakan begitu dahsyat sekali.
"Kalau tak dibendung boleh membinasakan Malaysia. Kita tahu
apa berlaku di Iraq dan Syiria, kerana perbezaan mazhab (suni dan syiah)
akhirnya membawa kepada bunuh antara satu sama lain. Mengambil masa 10 tahun
belum lagi dapat dipulihkan. Peristiwa seperti itu jangan datang di Malaysia
"Sekarang ini permainan isu perkauman dan agama begitu kuat
diaminkan. Mereka gunakan sentimen ini sekuat kuatnya.
"PH mesra Yahudi, ada program menjadikan Malaysia negara
Kristian, PH komunis, DAP komunis. Ini dimainkan secara besar besaran dalam
pilihan raya ini menyebabkan negeri yang majoriti Melayu Islam beralih arah
menyokong PN dan tidak menyokong kita," katanya dalam kenduri rakyat
sempena kemenangan di parlimen Kota Raja, malam tadi.
Justeru Mat Sabu mahu pasukan keselamatan bertindak segera agar
kebencian atas nama kaum dan agama tersebut tidak merebak menjadi huru hara
sehingga memusnahkan keharmonian negara majmuk Malaysia.
"Kita mahu pasukan keselamatan tegas mengambil tindakan siapa
sahaja yang memainkan isu perkauman
"Kalau dibiarkan ia boleh lebih parah. Saya nampak orang
India, Tionghua sahabat saya. Anak orang India, Tionghua adalah anak anak saya.
Kita perlu ada sikap ini dalam masyarakat.
"Ini sekarang sesama orang Islam oleh kerana berada dalam PH,
kami dituduh orang tak percaya lagi pada agama," katanya.