Hanya seorang Ahli Parlimen Sabah tidak sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan


Astro Awani
Hanya seorang Ahli Parlimen Sabah tidak sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sah menyertai Kerajaan Perpaduan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Wetrom Bahanda Ahli Parlimen Kota Marudu serta Riduan Rubin (Parlimen Tenom).
Turut menyatakan sokongan ialah calon Bebas yang menang di kerusi Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Penyerahan surat sokongan kepada Anwar itu disampaikan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Peter percaya pelantikan Anwar akan dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dan mengembalikan kestabilan politik negara.
"Pilihan raya sudah berlalu, yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.
"Saya menyeru semua bersama-sama berganding bahu untuk membina Sabah dan Malaysia," katanya.
Dengan sokongan KDM, 24 daripada 25 Ahli Parlimen Sabah menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
Hanya satu Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee kekal bersama Perikatan Nasional.
Pada PRU15, Ronald bertanding atas tiket PN di Parlimen Beluran dengan majoriti 1,594 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Benedict Asmat Felix Joseph Saang (Pakatan Harapan), Rowiena Rasid (Parti Warisan) serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hausing Samsudin @Sudin.

No comments: