GERAKAN JATUHKAN KERAJAAN KERJA SIA-SIA DAN BUANG MASA

 

Sama ada Langkah Tropicana yang diperbualkan ketika ini benar-benar wujud atau sebaliknya, sebarang gerakan untuk menggugat kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar Ibrahim sekarang hanyalah kerja sia-sia serta membuang masa.

Realitinya kerajaan ini sedang diterima baik oleh rakyat dan cubaan menggugatnya bukan saja dianggap suatu penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong kerana idea kerajaan perpaduan itu sendirinya datangnya daripada baginda, malah mereka yang bertindak demikian juga pasti akan dicop sebagai orang jahat di mata rakyat.

Rakyat baru saja selesai menunaikan tanggungjawab mereka dalam PRU15 dan walaupun tiada majoriti mutlak diperolehi oleh mana-mana parti, tetapi selain PH merupakan pemenang kerusi terbanyak, penggabungan melalui beberapa parti untuk membentuk kerajaan perpaduan juga bermakna jumlah majoriti telah diperolehi.

Dengan PH, BN, GPS, GRS, Muda, Warisan, PBM dan Bebas bergabung membentuk kerajaan perpaduan, majoritinya kini adalah berjumlah 148 kerusi Parlimen.

Ini bukan saja bererti majoriti sudah dimiliki, bahkan telah mencapai tahap dua pertiga.

Maka, mahu digugat apa lagi?

Walaupun Anwar sendiri telah mengumumkan kesediaan membawa undi percaya di Parlimen pada 19 Disember nanti, soalnya apakah PN mampu menggugatnya dalam undian itu nanti?

Selain itu, berikutan kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar ini turut diterima baik di seluruh dunia dengan ucapan tahniah datang bertalu-talu, pihak yang ingin menjadi jahat ini sepatutnya berfikir sepuluh kali jika ingin terus menggugatnya.

Sebahagian dunia pasti akan mengecam dan mengutuk perbuatan mereka itu, di samping rakyat juga tidak terkecuali akan berbuat demikian.

Begitu pun, sesuai dengan semangat demokrasi, jika gugatan ingin dilakukan dengan cara menumbangkan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dalam pemilihan parti, masa untuk berbuat demikian juga belum tiba.

Pemilihan UMNO hanya akan diadakan pada tahun depan, kemungkinan bulan Mac atau April, jadi bersabarlah dulu.

Setelah tarikh pemilihan UMNO ditetapkan, barulah boleh kalau nak turun mengadakan apa jua gerakan yang diingini.

Buat masa sekarang, jadilah orang baik yang bersama-sama menyokong kerajaan terlebih dahulu, sambil tidak cuba melakukan apa-apa tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan dan membawa kesusahan kepada rakyat.

Lebih daripada itu, jika benar mahu melakukan apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, siapakah calon Perdana Menteri yang ingin ditonjolkan?

Baik Mahiaddin Md Yasin atau Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu telah diangagp gagal oleh rakyat selama 31 bulan mereka berpeluang memegang kuasa sebelum ini.

Di mana logik dan munasabahnya jika pemimpin yang pernah gagal itu mahu ditonjolkan kembali?

Masa paling baik untuk menggugat kerajaan sekarang ialah pada PRU16 tahun 2027 akan datang, itu pun calon Perdana Menteri yang ingin ditonjolkan mestilah pemimpin baru yang diyakini lebih baik dan lebih berkaliber daripada Anwar yang ada sekarang.

Kalau tidak, sekali lagi, semua itu kerja sia-sia dan membuang masa saja. – ShahbudinHusin 26/112022.