Tiga hari selepas Perdana Menteri (PM) ke 10 Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengangkat sumpah jawatan, keganjilan berlaku apabila telur ayam
memenuhi pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu melahirkan kehairanannya
mengungkapkan fenomena tersebut dalam majlis kenduri kesyukuran kemenangan
Pakatan Harapan (PH) di Kota Raja malam tadi.
"PM kita angkat sumpah, saya pun hairan. Lepas angkat sumpah
telur ayam terus ada di mana mana. Kenapa sebelum ini tak ada telur? Saya pun
tak tahu," katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Namun, katanya, selain bekalan telur ayam yang telah pulih,
kenikmatan segera yang dapat dirasai oleh rakyat adalah harga saham terus naik
dan nilai matawang ringgit mengukuh.
"Saham naik mendadak, mata wang kita terus naik banding
dengan dollar.
"Kalau Mahiaddin Yassin angkat sumpah PM, kita tak tahu
berapa orang pemimpin luar ucap tahniah, kita tak dengar. Kali ini Anwar angkat
sumpah, berasap telefon.
"Jokowi telefon, sekejap lagi Singapura, sekejap lagi Brunei,
kemudian Turki, Iran, India. Bertalu talu mengucap tahniah kerana kita menang
melalui pilihan raya, bukan kerajaan pintu belakang," katanya.
Oleh itu, kata Mat Sabu, rakyat perlu faham keperluan kerajaan
hari ini mengambil pendekatan yang sesuai dengan disarankan oleh Yang
di-Pertuan Agong iaitu membentuk kerajaan perpaduan biar pun bersama Umno BN,
GPS dan GRS.
"Kerana kita tak mahu golongan ekstremis mengambil alih
pemerintahan Malaysia maka kita bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu
kepada kita dan menerima Datuk Seri Anwar sebagai PM Malaysia.
"Kita lihat rakan kita kalah di Kuala Langat sebab berjaya dimainkan
isu perkauman di situ. Begitulah juga kita berterima kasih di Sungai Buloh
walau lawan bekas Menteri tetapi penduduk di situ tetap memilih calon PH
walaupun dia India.
"Ini adalah satu suasana yang baik di Selangor," katanya
lagi.