UMNO kalah pada PRU14 adalah disebabkan isu rasuah melibatkan Najib Razak dalam skandal 1MDB yang terkait secara langsung denganya.
Ketika itu, Najib menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk melindungi dirinya dan menjadikan dirinya tidak tersentuh langsung oleh undang-undang.
Ada yang dipecat, dibuang kerja, dipetisejukkan, dipenjarakan dan berpuluh tindakan lain yang tujuannya semata-mata memastikan dirinya kekal berkuasa.
Tetapi, kuasa rakyat pada 9 Mei 2018 akhirnya menolak UMNO dan BN daripada kekuasaan yang dipegang sejak merdeka dan Najib tercatat dalam sejarah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang menjadi punca kehilangan kuasa itu.
Hari ini, susulan kekalahan UMNO dan BN itu, Najib sudah pun berada di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB.
Bagi mereka yang berjuang menentang Najib sejak awal lagi, hari ini mungkin terzahir suatu kepuasan, dan kegembiraan, meski tak semua mengucapkannya secara terbuka.
Sesetengahnya barangkali lebih selesa memilih untuk bersyukur dalam diam saja kerana rata-rata sedar bahawa sukar membayangkan apa akan jadi kepada negara ini dan kerakusan Jho Low seterusnya jika Najib masih berkuasa lagi.
Begitu pun, kedudukan Najib yang kini dipenjarakan itu seolah-olah tidak mendatangkan keinsafan kepada UMNO dalam usaha mencari kemenangan yang hilang dalam PRU15 akan datang.
Dalam majlis taklimat khas Sabtu lalu yang diadakan untuk membela dan menyatakan solidariiti terhadap Najib yang kini dipenjarakan, dengan jelas ternampak UMNO akan menggunakan isu tentang bekas Perdana Menteri itu sebagai modal untuk menebus kemenangan yang telah hilang.
Berdasarkan ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis tersebut, antara isu yang dibangkitkan ialah dakwaan ketidakadilan serta keinginan menarik simpati rakyat terhadap apa yang berlaku kepada Najib.
Selain itu, isu pengampunan juga dijangka akan digunakan sebagai senjata di mana kemenangan UMNO akan digunakan untuk membebaskan Najib.
Dalam hal berkaitan, Zahid Hamidi turut memaklumkan akan membukukan tulisan-tulisan Najib di laman sosial FBnya untuk disebarkan kepada rakyat meneliti dan membacanya.
Zahid Hamidi malah menangis di atas pentas yang difahami tujuannya selain agar rakyat turut bersimpati kepada Najib, juga dengan harapan yang tinggi agar UMNO diberi kemenangan cemerlang dalam PRU15 mendatang.
Harus difahami bahawa penolakan rakyat kepada UMNO dan BN dalam PRU14 adalah rangkuman menolak rasuah, salah guna kuasa dan kemewahan yang bersumberkan daripada kemungkaran 1MDB.
Dengan demikian, oleh kerana Najib sudah dihukum penjara dan ada empat lagi kes berkaitan 1MDB sedang dihadapinya di mahkamah, terus menggunakan isu berkaitan beliau untuk memenangi PRU15 seolah-olah bermakna UMNO ingin mempertahankan dan membela rasuah dan perasuah.
Di ketika rakyat sudah menolak rasuah dan menjatuhkan pemimpin serta kerajaan yang terkait rasuah, UMNO sepatutnya lebih ke depan lagi ketika ini dalam menolak perbuatan terkutuk itu.
UMNO seharusnya menjauhi Najib dan bersama-sama dengan rakyat menolak rasuah, bukan membela dan mempertahankan pesalah rasuah.
Lebih buruk lagi, dalam mempertahankan Najib dan menarik simpati rakyat terhadap beliau yang sudah dijatuhi hukuman itu, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sendiri ketika ini sedang berdepan 87 kes mahkamah berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Ini membuatkan rakyat tidak sukar memahami bahawa perjuangan untuk membawa UMNO memenangi PRU15 dengan menggunakan isu Najib bukan saja untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu, bahkan juga untuk kepentingan Zahid Hamidi dan mereka yang lain yang ada kes mahkamah sama..
Untuk negara ini terus maju dan sejahtera, musuh utamanya ialah rasuah dan salah kuasa yang berleluasa.
Rakyat benci rasuah dan telah membuktikan mereka berani menolak serta menjatuhkan pemimpin serta kerajaan yang rasuah.
Malangnya, UMNO yang ingin menang PRU15 akan datang, selain dipimpin oleh pemimpin yang sedang dibicarakan di mahkamah atas kes rasuah, malah cuba menarik rakyat untuk bersimpati terhadap pemimpin yang telah dijatuhkan dan sedang dihukum penjara atas kesalahan rasuah.
Tak ke gila namanya?
Percayalah, isu Najib ini akan memakan diri UMNO kerana tidak mungkin rakyat mudah hilang kewarasan mahu menyokong pemimpin yang ada kes rasuah serta membawa parti yang diterajuinya membela pesalah yang sudah dijatuhi hukuman kerana kesalahan rasuah. – ShahbudinHusin 29/08/2022.