Banyak parti yang bertanding atau bersaing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 tidak menjamin rakyat akan mendapat kerajaan terbaik.
Bagi Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, rakyat mempunyai tugas berat kali ini kerana mereka perlu memilih calon yang benar benar sesuai.
"Kita nak mengundi, parti banyak, apa pertimbangan? Saya nak nasihatkan kalau kita sedar kita ada tanggungjawab fardu kifayah jika mengundi dengan baik.
"Pertama, kita perlu memilih parti membariskan calon calon yang jujur dan amanah. Kalau KEADILAN letak calon bukan jujur dan amanah, jangan undi.
"Kedua kita juga telah dengar 2018 kita tukar kerajaan. Dari pengalaman 22 bulan iu saya belajar satu perkara, dan itu tanggungjawab kita bila pilih calon pimpinan dan juga kerajaan. Tidak cukup jujur, amanah, dengan masalah ditinggalkan oleh Umno BN, kita perlukan pimpinan yang ada ilmu serta cekap menjalankan tugas
"Kita sakit kaki dah kena jangkitan, pergi jumpa ustaz, dia memang orang jujur amanah tetapi tidak tahu tentang perubahan, potong kaki kita.
"Terbaik ialah pergi jumpa doktor yang jujur amanah, hafal quran tetapi dia juga doktor yang paling baik supaya dengan ilmu dan kecekapan itu dia boleh sembuhkan kaki," katanya dalam ceramah siri jelajah Ayuh Malaysia di Seremban, malam tadi.
Menteri yang cerdik, kata Rafizi boleh menyelesaikan masalah gaji tidak naik, pelajar universiti tidak ada kerja dan pelbagai lagi.
Namun cerdik sahaja tidak cukup kerana orang cerdik juga banyak dalam kabinet yang lepas namun masalah tidak juga selesai.
Oleh itu, Rafizi menekankan perlunya dipilih seorang yang berjiwa rakyat.
"Kita ada Menteri Kewangan yang cerdik tetapi dia anak bangsawan. Dari sekolah bangsawan, tak pernah susah. Umur muda terus jadi CEO, dia tak pernah rasa apa yang kita cakap.
"Beritahu kat dia harga barang naik dia akan kata inflasi kita antara yang rendah di dunia. Dia tak merasa.
"Jadi jiwa dia kena betul betul dengan rakyat. Bila jadi Menteri Kewangan dia tak baik dengan tauke. Malaysia maju konon tetapi yang kaya tauke, gaji pekerja tak naik. Buat undang undang naik gaji pekerja, tauke telefon kata tak boleh," katanya lagi.
Justeru Rafizi mahu calon calon yang ditawarkan oleh Pakatan harapan diundi dalam PRU 15 agar rakyat mendapat ketiga tiga kriteria calon yang mantap untuk mentadbir negara.