'Gunakan pemilihan untuk pilih nakhoda terbaik, bukan berselisih' - Adam Adli

 




Tujuan utama KEADILAN memanggil pemilihan parti selepas kalah pilihan raya negeri (PRN) adalah untuk memilih nakhoda terbaik pada semua peringkat parti bagi membawa cabaran dalam Pilihan Raya Umum (PRU).


Menurut calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN pusat Adam Adli Abd Halim, oleh kerna itu anggota tidak sepatutnya menjadikan pemilihan kali ini sebagai medan pertelingkatan. Sebaliknya pemilihan adalah peluang untuk menyediakan pasukan menghadapi cabaran BN dan PN.


"Kalau kita perhatikan dalam situasi hari ini Umno pun tak berani anjur pemilihan parti. 6 bulan lepas PRU (2018) baru mereka panggil. Tetapi tidak kita. Di PRN Johor, Melaka, Sabah kurang berjaya apa kita buat?


"Kita panggil pemilihan. Orang kata gila parti ini. Dalam keadaan kita dipukul dengan beberapa siri kekalahan kita panggil pemilihan sebelum PRU


"Umno kata kalau panggil pemilihan semua akan pecah belah. Kita pun ada sejarah. Media hari hari cari berita pasal pemilihan sebab kita ada sejarah, ada berita sensasi.


"Sebab apa pemilihan menjadi tumpuan media? Kerana ini parti yang orang tahu parti masa hadapan dan bakal perintah Malaysia. Jadi orang nak tahu siapa bakal perintah negara suatu hari nanti. Orang nak tahu siapa bakal pemimpin negara ini yang akan datang dari pemilihan," katanya dalam sidang media memperkenalkan calon calon Majlis Pimpinan Pusat AMK peringkat zon selatan, malam tadi.


Tambah Adam, dalam KEADILAN semua anggota dipelawa membuat keputusan.


Justeru katanya, anggota perlu gunakan pemilihan untuk menilai calon dan prestasi mereka bukan serang menyerang, tikam belakang dan sebagainya.


"Semua anggota buat keputusan, bukan lagi pemimpin di atas buat keputusan. Diserahkan seluruh keputusan dan agenda parti ini untuk masuk PRU kepada anggota bawahan. Ini yang parti lain tak amalkan.


"Bila kita buat pemilihan kita gunakanlah peluang sebaik baiknya. Kita tampilkan orang yang boleh jadi nakhoda parti. Bukan demi kepentingan parti tetapi masyarakat," katanya.


Mengenai teguran Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bahawa beliau baru setahun menjadi anggota dan kurang sesuai memimpin AMK berbanding calon Fahmi Zainol, Adam berkata, hal itu perlu diserahkan kepada anggota untuk memilih kerana beliau juga mempunyai barisan kepimpinan yang mantap.


"Rafizi sebut antara saya dan Fahmi, Fahmi lebih berpengalaman. Saya ucap terima kasih atas teguran. Ini bukan kali pertama saya ditanya kamu layak atau tidak?


"Rakan rakan lain juga tanya, tak cukup setahun layak kah kamu pimpin 222 cabang? Saya seorang memanglah tak boleh, yang saya harapkan semua anggota, bukan hanya saya satu orang sahaja. Sebab itu penting kita jaga ukhwah.


"Sebab itu gunakanlah pemilihan ini untuk kita jalin hubungan kepada yang kita tak kenal. Kalau tak ada pemilihan kita tak kenal yang berjuang di peringkat negeri, misalnya.


"Soal layak atau tidak kita serahkan kepada anggota. Kita hormat Rafizi dan tak ada masalah kalau saya menang atau Fahmi menang. Pemilihan ini proses demokrasi. Lepas pemilihan kita kuat dan kukuhkan parti kembali," katanya lagi.



Dalam majlis itu Adam memperkenalkan 3 calon MPP AMK bagi Zon Selatan. Mereka adalah Mohd Fadzri Aminuddin, Aziz Shari dan Mohd Ridzuan Abu Samah

No comments: