Hans Isaac bertanding calon Ketua Cabang KEADILAN Ampang
Ampang merupakan kawasan parlimen yang seolah olah ditinggalkan apabila pimpinan utama KEADILAN, Datuk Zuraida Kamarudin keluar parti pada Februari 2020 lalu.
Sejak itu pengurusan parti tidak berjalan lancar dan suara akar umbi kurang didengari. Bertekad untuk memperbaiki situasi berkenaan, aktivis masyarakat Hans Isaac menawarkan diri untuk bertanding Ketua Cabang Ampang bagi mengangkat suara rakyat di parlimen berkenaan.
Menurutnya, biar pun beliau baharu di dalam parti namun yakin akan membawa perubahan kepada kepimpinan dan gerak kerja KEADILAN di sana.
“Mengambil kira tragedi Langkah Sheraton yang berlaku tidak lama dahulu, telah menggoncang kesetiaan dan kepercayaan rakyat yang selama ini bertindak berani membawa dinamik perubahan terhadap tampuk kepimpinan yang pada ketika itu terpalit dengan pelbagai skandal dalaman.
“Iklim politik tanah air yang semakin tidak menentu dan ekonomi yang mendesak nyata tidak membantu rakyat dalam meniti kehidupan yang semakin mencabar.
“Bertitik tolak dari peristiwa ini, saya berpendapat betapa jelas perlunya perubahan di Ampang dan kepimpinan yang lebih kukuh dalam memastikan setiap suara rakyat didengari. Ternyata aspek ‘seniority’ di pentas politik tidak menjanjikan kecemerlangan maka tidak seharusnya ‘ahli baru’ dipertikai,” kata Hans dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sejak 3 tahun lalu beliau dan rakan rakan telah melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi memperbaiki imej KEADILAN Ampang agar kembali diyakini rakyat melalui NGO Kita Budang Ampang dan sebagainya.
“Demi mengekalkan gelombang KEADILAN di Ampang, wajar untuk menggamit kembali keyakinan rakyat khasnya di peringkat akar umbi, sekaligus memperjuang serta memperkasa idealisme parti.
“Misi kita adalah jelas dalam memastikan Ampang dipimpin oleh mereka yang berkemampuan membawa KEADILAN kembali dipercayai rakyat.
“Setelah mendapatkan pandangan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di dalam KEADILAN, saya dengan rendah dirinya mengumumkan saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang KEADILAN Ampang pada Pemilihan Parti 2022,” katanya lagi.
Ampang merupakan kerusi panas dalam Pilihan Raya Umum akan datang kerana parti masih tidak membayangkan siapakah calon yang sesuai diletakkan bagi menggalas cabaran.
Sesiapa yang terpilih sebagai ketua cabang memiliki potensi besar untuk dinobatkan sebagai calon di parlimen tersebut.