JIKA MENGKHIANAT PENGUNDI, PKR DALAM BAHAYA.AKAR UMBI TIDAK AKAN MENYETUJUI PKR BERSAMA BERSATU

 


PKR mesti sanggup tanggung akibat jika bekerjasama dengan Bersatu





Fahmi Fadzil berkata, perpaduan dalam PH adalah penting, sepertimana
 disaksikan oleh keputusan ‘tidak berbaloi’ PKR menggunakan logonya
 sendiri pada PRN Johor.

PETALING JAYA: PKR mesti sanggup menanggung akibat sekiranya ia bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

“Tiada apa yang mustahil dalam politik tetapi setiap keputusan itu ada akibatnya,” katanya ketika ditanya pandangan beliau tentang kerjasama antara PKR dan parti bukan komponen Pakatan Harapan (PH), termasuk Bersatu, menghadapi PRU15.

Terdahulu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata, PKR sedia berunding dengan parti lain, bukan hanya Bersatu, dalam menghadapi PRU15.

Fahmi mengambil contoh akibat keputusan PKR bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Ada orang kata jika kami guna lambang Keadilan (PKR), lebih ramai orang – mungkin 7%, 12% lebih – akan mengundi Keadilan berbanding undi untuk PH. Tapi apa akibatnya“Mungkin akibatnya undi yang anda raih itu sedikit lebih, tetapi anda akan hilang sokongan orang yang mahu pembangkang bersatu. Jadi akan sentiasa ada pertimbangan seperti ini,” katanya.Penganalisis James Chin daripada Institut Asia di Universiti Tasmania berpandangan gandingan PKR-Bersatu akan menarik sokongan pengundi Melayu luar bandar.

Fahmi bagaimanapun berkata, sebelum itu, PKR harus pertimbangkan banyak faktor.

“Berbaloi atau tidak PKR bertanding di kerusi-kerusi yang kami tiada jentera? Misalnya, di mana kita tiada calon yang kuat, tiada penyokong, sekadar kerusi milik parti tertentu?” soalnya.

Satu lagi faktor yang harus dipertimbangkan adalah nasib PH sendiri, memandangkan DAP dan Amanah telah menolak sama sekali kerjasama dengan Bersatu.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu terang-terangan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu. Parti itu antara pihak di sebalik Langkah Sheraton, yang membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH.

Ditanya apakah nasib PH sekiranya PKR berganding dengan Bersatu, Fahmi mendedahkan pimpinan tidak pun membincangkan hal bekerjasama dengan parti itu.

“Hal itu tak pun dibincangkan kerana ia andaian semata-mata. Semua orang tahu kita janganlah cuba jawab andaian. Kami tak tahu apakah andaian itu akan jadi kenyataan, dan saya tak tahu apakah PKR akan sahut pun sekiranya diseru,” katanya.