YEHAAAAA...…RAUF KETUA MENTERI, YANG LAIN2 TERMASUK SULAIMAN MD ALI, ELOKLAH BERHENTI BERMIMPI!!

 

Setakat ini sekurang-kurangnya ada dua berita gembira mengenai PRN Melaka.

Pertama, kenyataan Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah PRN Melaka, Mohamad Hasan yang menyatakan hampir 90 peratus calon UMNO yang mewakili BN pada pengundian 20 November depan adalah terdiri daripada muka-muka baru.

Dengan pengumuman itu bermakna Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh pasti diletakkan sebagai salah seorang calon UMNO untuk mewakili BN.

Ini kerana sepanjang penglibatannya dalam politik yang penuh warna-warni, baik di Wilayah Persekutuan atau Melaka, Ab Rauf belum pernah lagi merasa bertanding dalam mana-mana pilihanraya.

Makna kata, walaupun beliau tidak lagi dikira muda, Ab Rauf masih dalam kategori muka baru dan termasuk dalam kriteria yang dimaksudkan Mohamad Hasan itu.


Sedemikian itu, jika terpilih sebagai Adun dan BN pula berjaya menghimpun majoriti daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada 20 November ini, pastilah beliau akan dilantik untuk mengisi kerusi Ketua Menteri.

Dengan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, tentu tujuan khusus beliau diletakkan bertanding ialah dengan hasrat untuk menjadikannya ketua kerajaan negeri bersejarah itu.

Tidak masuk akal jika Ab Rauf dipilih sebagai calon dan kemudian beliau dan BN berjaya mencipta kemenangan, tetapi kejayaan itu hanya untuk beliau terus kekal dengan jawatan Speaker DUN Melaka atau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri dengan pemimpin UMNO yang berada di bawah ketiaknya pula dilantik sebagai Ketua Menteri.

Mustahil begitu, Ab Rauf diletakkan sebagai calon tidak lain adalah untuk mengambil alih kerusi Ketua Menteri daripada Sulaiman Md Ali.

Berita kedua yang menggembirakan ialah Ab Rauf disebut-sebut akan diletakkan bertanding di kawasan DUN Tanjung Bidara yang terletak dalam UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Beliau sendiri ketika ini adalah Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah sejak 2018 yang lalu.

Kerusi DUN tersebut dikira paling selamat untuk UMNO, dan tidak kira siapa calonnya, lebih-lebih lagi jika Ab Rauf, kemenangan sudah hampir pasti dalam genggaman BN.

Dengan itu, harapan Ab Rauf untuk bergelar Adun dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Menteri adalah cerah sekali.

Pemimpin lain, jika ada hasrat terpendam dalam hati untuk berebut sama kerusi Ketua Menteri, tak usahlah terus bermimpi.

Malah, termasuk Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri sedia ada, lupakanlah terus untuk menyimpan harapan agar khidmat disambung lagi.

Setelah ada Ab Rauf dengan kedudukannya sekarang, yang lain-lain pasti akan tertolak ke tepi kerana kerusi itu memang dia yang punya.

Yang diperlukan bagi Ab Rauf untuk menggapai impiannya hanyalah BN mesti memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Kecuali jika Ab Rauf kalah dan gagal menjadi Adun, tetapi BN menang PRN Melaka, barulah peluang pemimpin lain akan terbuka semula.

Atau pun, kalau BN tewas, semua akan sama-sama melepas. ShahbudinHusin 06/11/2021.


No comments: