Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berpuas hati dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meletak dua bekas ADUN UMNO menarik sokongan sebelum ini bertanding atas tiket Pakatan Harapan.
Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui menandatangani surat sokongan Akuan Bersumpah
(SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM)
sebelum ini tetapi bukan untuk menerima katak politik yang melompat keluar
parti.
Ahli
Parlimen Muar itu tidak bersetuju dengan Ketua Pembangkang yang mahu menerima
dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap
kerajaan Melaka sebelum ini sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan
Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
Dua
bekas ADUN tersebut yang dikatakan akan diterima sebagai calon PH adalah Datuk
Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).
“Saya
sokong idea Pembangkang Bersatu, dan saya tandatangan Akuan Bersumpah kepada
Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri atas
semangat PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau kecewa apabila mengetahui blok
pembangkang, Pakatan Harapan (PH) kini sanggup pula bersekongkol dengan
individu yang lompat parti dan tidak berprinsip.
“Di sebalik semua yang sudah kita lalui bersama, nampaknya
gabungan PH yang saya bekerjasama rapat lebih minat berunding dengan pelompat
parti yang tidak berprinsip daripada sekutu rapat dan setia mereka, seperti
saya.
“Mereka melihat lebih bernilai terhadap katak politik yang
tidak berprinsip, ini sesuatu yang benar-benar tragis,” katanya lagi.
DAP sebelum ini mendakwa PKR dan Amanah membuat keputusan
mahu menerima dua bekas ADUN dari UMNO untuk bertanding atas tiket PH dan
terpaksa menerima keputusan itu sebagai menghormati kesepakatan gabungan
tersebut.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata mereka akur dengan
keputusan dua parti rakan dalam PH itu selepas kalah dalam keputusan majoriti
walaupun Jawatankuasa Eksekutif DAP memutuskan dalam mesyuaratnya untuk menolak
semua empat bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka sebelum
ini.
“PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan
kehilangan nilai moral yang tinggi untuk membenarkan dua daripada empat Adun
berkenaan bertanding sebagai calon PH pada pilihan raya umum negeri Melaka,”
kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri
pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik
sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Dua lagi bekas ADUN yang menarik sokongan adalah Datuk Norhizam
Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad
(Bersatu-Teluk Mas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN
Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal,
16 November.