PETALING JAYA: Rakyat Kelantan perlu terus mendapat manfaat menerusi apa saja bentuk pembayaran sama ada wang ihsan atau tuntutan royalti hasil minyak daripada kerajaan persekutuan, kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, satu perbincangan tertutup diadakan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan berhubung perkara itu.
“Apa-apa pun keputusan perbincangan, kita mengharapkan rakyat Kelantan akan mendapat manfaat, tidak kira dipanggil wang ihsan atau royalti,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Hal itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.
Bagaimanapun, disebabkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan Kelantan, maka kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.