20,000 pengundi PH pada 2018 tak pulang undi punca PKR kalah di Melaka, dakwa Maszlee


Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mendakwa, kekalahan PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka disebabkan 20,000 pengundi Pakatan Harapan (PH) pada 2018, tidak pulang mengundi.

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mendakwa kekalahan teruk PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka berpunca daripada 20,000 pengundi yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada 2018, tidak pulang mengundi.

Dalam majlis bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim di Simpang Renggam bagi mengumumkan penyertaannya dalam parti itu, Maszlee berkata, situasi berkenaan kesan daripada sikap muak, bosan dan sudah malas menyaksikan perebutan perubahan kerajaan serta salah guna kuasa.

“Walaupun PKR bukan berada dalam populariti (tertinggi) dan saya rasa terpanggil melakukan perubahan (masuk PKR)…ada orang tanya, mengapa saya masuk parti yang kalah, presiden (Anwar) diserang pelbagai sudut, lebih malang menyindir apa ertinya masuk PKR sedang lemah.

“Kepada mereka dan rakyat, saya ingin katakan, inilah harga sebuah perjuangan,” katanya.

Pada PRN Melaka 20 Nov lalu, PKR tewas semua 11 kerusi ditandinginya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Mengulas lanjut mengenai penyertaannya dalam PKR, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, beliau sebenarnya sudah didaftarkan sebagai ahli parti itu pada 2017, bagi kawasan Ampang.

“Saya didaftarkan sebagai ahli PKR cabang Ampang pada 2017, inilah faktanya. Malangnya (ketika itu) hati saya terlalu berat untuk terbabit dalam politik kepartian terutama kerana babitkan keputusan amat besar dan tinggalkan bidang akademik.

“(Bagaimanapun) Pada 2018, tatkala itu berlaku defisit kepercayaan pengundi Melayu (terhadap PH) kerana mereka mahukan wajah segar yang mampu jadi pemimpin Melayu dan bersih tanpa beban politik dan parti sandaran ketika itu dalam PH adalah Bersatu…ini dulu punya cerita bukan sekarang,” katanya.

Susulan itu, Maszlee berkata, beliau akhirnya bertekad meninggalkan dunia akademik dan menyertai Bersatu ketika itu, sebelum dipecat kerana membantah “Langkah Sheraton”, yang menyebabkan PH tumbang sebagai kerajaan persekutuan selepas 22 bulan.

Sementara itu, Anwar menyambut baik kemasukan Maszlee ke dalam partinya.

Beliau juga menyanjung keberanian Maszlee untuk menyertai PKR dalam keadaan ada yang bersikap sinis terhadap perjuangan parti itu.

“Hari ini, kita terima satu berita menggembirakan dan menggalakkan seorang tokoh muda yang mempunyai potensi dan harapan tinggi menceburkan diri dalam bidang politik dan memilih bersama PKR.

“Saya ‘salute’ dengan sikap berani beliau, ketegasan beliau memilih dalam keadaan ada bersikap sinis terhadap perjuangan kita,” katanya.

Anwar juga memuji Maszlee antara menteri yang baik pernah dihasilkan PH semasa menjadi kerajaan.


No comments: