DITOLAK PAS, KEMENANGAN UMNO DI MELAKA SEBENARNYA TIADA MAKNA…

 

Walaupun UMNO mencapai kejayaan cemerlang dalam PRN Melaka, Pas nampaknya langsung tidak terliur untuk kembali bersama parti itu untuk mengukuhkan semula Muafakat Nasional.

Pas kini, jika difahami kenyataan terbaru Presiden Pas, Hadi Awang, telah menolak terus untuk bekerjasama dengan UMNO selagi parti itu kekal dengan ketetapan menolak Bersatu.

Kata Hadi, Pas tidak mahu semata-mata terbelenggu dengan UMNO dalam MN yang tiada Bersatu di dalamnya.

Bagi beliau, kalau UMNO mahu bersama dengan Pas untuk sama-sama mengukuhkan penyatuan ummah, ia mesti melibatkan Bersatu sekali.

Untuk itu, tegas Hadi lagi, selagi pendirian UMNO tidak berubah, Pas akan terus bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional yang telah disertainya secara rasmi.

Sesungguhnya permintaan Pas untuk membawa sekali Bersatu dalam agenda penyatuan ummah adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk UMNO penuhi, malah hampir mustahil kerana keputusan menolak Bersatu adalah ketetapan Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2020 yang lalu.

Untuk membatalkan ketetapan PAU, ia memerlukan PAU juga untuk memansuhkannya.

Sekurang-kurangnya selagi Zahid Hamidi menerajui UMNO yang disokong kuat oleh Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden dan selagi ada Najib Razak yang masih kukuh pengaruhnya dalam parti itu, tidak mungkin untuk UMNO membatalkan ketetapan PAU itu.

Apa lagi setelah kejayaan cemerlang di Melaka yang membuktikan keputusan bertanding solo telah berjaya membuahkan hasil yang membanggakan, lagilah mustahil untuk ketetapan PAU itu dibatalkan.

Kecuali jika kepimpinan UMNO berubah dengan Ismail Sabri Yaakob menjadi Presiden dan kelompok kluster kabinet seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Shahidan Kassim dan lain-lain turut berada dalam senarai kepimpinan baru, barangkali barulah ada kemungkinan ketetapan PAU menolak Bersatu itu boleh berubah.

Jika tidak atau kalau PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO, ketetapan tidak mahu bersama Bersatu itu pasti akan menjadi keputusan yang kekal.

Dengan demikian, selagi itu ketetapan UMNO, maka selagi itulah juga UMNO tidak dapat bersama dengan Pas.

Dalam pertimbangan logik, antara memenuhi syarat Pas dengan ketetapan PAU, sudah tentulah UMNO akan memilih ketetapan PAU.

Ini kerana ketetapan PAU adalah kehendak serta hasrat akar umbi UMNO yang bermakna jika UMNO menolaknya, ia samalah seperti menolak suara 3.4 juta ahlinya di seluruh negara.

Mahu tidak mahu, UMNO sekarang ini harus melupakan Pas dan bergerak sendirian atau solo dengan seadanya bersama panji-panji BN yang hanya tinggal 4 parti bersamanya.

Pas ternyata lebih cintakan Bersatu berbanding UMNO, walhal memilih bersama Bersatu dan menolak UMNO tidak juga bermakna matlamat penyatuan ummah telah tercapai.

Entah apa sebenarnya yang Pas mahu, hanya Hadi yang tahu, tetapi yang pasti, dengan tidak bersama UMNO, Pas kini lebih selesa untuk mengekalkan penguasaannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Oleh kerana Pas lebih dominan berbanding Bersatu ketiga-tiga negeri tersebut, ini dengan sendirinya akan meletakkan parti itu sebagai ketua dan “penerima terbesar agihan harta rampasan perang” sementara Bersatu sekadar penumpang dan dapat sipi-sipi saja.

Sudah tentu keadaannya berbeza jika Pas memilih bersama dengan UMNO kerana kedua-duanya sama kuat dan ini akan memaksa pembahagian kerusi dan jawatan dalam pelbagai posisi dituntut untuk diseimbangkan.

Melalui pendirian Pas yang diumumkan Hadi itu, bukan saja hubungan UMNO dan Pas kini sebenarnya sudah berakhir dan MN dengan sendirinya telah berkubur, lebih daripada itu, impian sesegengah pihak dalam UMNO yang meramalkan Pas akan mengukuhkan semula hubungannya dengan UMNO dan meninggalkan Bersatu setelah keputusan PRN Melaka, ternyata meleset sama sekali.

Dalam hal ini, eloklah kedua-dua parti mengumumkan “kematian rasmi” MN dan masing-masing dengan itu tidak perlu lagi menoleh ke belakang dalam mencapai cita-cita perjuangan.

Bukan saja Bersatu tidak mati setelah kejayaan cemerlang UMNO di Melaka, malah Pas tambah mengeratkan lagi pelukannya terhadap parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin itu.

Ertinya, kemenangan di Melaka tidak cukup bermakna buat UMNO dalam menghadapi PRU15 kerana persaingan di hadapan tetap sengit dan tidak menentu lagi.

Walaupun Pas sebelum ini kerap bertukar-tukar pasangan, sesekali parti itu ada juga kesetiaan yang boleh diberi pujian.

Setidak-tidaknya, selepas PRN Melaka, dengan pendirian Pas ini, kesombongan dan ego UMNO tidaklah terlalu melangit tingginya. – 


ShahbudinHusin 27/11/2021.