ADA YANG TURUN ...AIR KENCING DAN KETOI TAIK...AIR HUJAN DAN NILAI RINGGIT

 

Semua naik, tentu ada yang turun







Harga atau caj perkhidmatan 5G kepada rakyat pada “masa depan” dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G sekarang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Baguslah tu walaupun tidak pasti bila “masa depan” yang dimaksudkan dan secepat mana “masa depan” itu akan tiba. Tetapi ia tetap berita menggembirakan, mengambil kira betapa pentingnya keterhubungan dan ekonomi digital buat negara.

Pada hari yang sama Menteri Kewangan berkata demikian, harga produk Gardenia berasaskan roti naik mulai 1 Disember ini (namun ketika artikel ini ditulis Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendakwa belum dimaklumkan akan kenaikan harga itu).

Bukan mahu membuat perbandingan sama ada caj lebih rendah 5G lebih menggembirakan atau roti naik harga lebih menyedihkan. Sekadar menyatakan hakikat keadaan semasa.

Beberapa hari terawal seorang kawan lama membuat hantaran di Facebook untuk memberitahu khalayak “perasan tak rata-rata harga barang terutama bahan makanan melonjak 200%” (kawan yang sama turut memberitahu bank ‘dah mula balik’ caj RM1 untuk transaksi di ATM).

Saya tidak pasti sama ada peratusan kenaikan 200% tetapi saya tahu harga makanan sudah mencanak. Media juga sudah melaporkan harga barangan makanan melambung. Sebelum ini, anak-anak saya turut mengadu dan merungut “semua dah mahal”.

Kata seorang lagi kawan, “mula-mula harga ikan naik, kemudian harga ayam naik, sekarang harga sayur naik”. Saya ada baca laporan akhbar yang memaparkan rungutan rakyat marhaen bahawa makan di kedai sekarang “membakar poket” kerana nasi lauk ikan kembung pun RM10.

Sedih kerana PKP yang mencengkam sekian lama ditamatkan bagi membolehkan kedai dibuka semula demi menjana ekonomi. Namun jika pelanggan tidak mampu apa makna kedai dibuka? Realitinya pekedai dan pengeluar bahan makanan terjejas teruk dengan kenaikan kos yang terpaksa ditanggung akibat penularan wabak Covid-19.

Kesimpulannya peniaga, pengeluar, dan pengguna sama-sama terkesan.

Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, baru-baru ini terpaksa “berpeluh-peluh” mengeluarkan penafian beliau menggesa rakyat makan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam. Malah kementeriannya kemudian buat laporan polis.

Alexander berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kata-kata sedemikian yang tidak sensitif dan mempersendakan rakyat yang dalam kesusahan. Saya percaya penafian beliau. Beliau tentunya tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh mengundang kemarahan rakyat yang pasti akan menghukumnya melalui kertas undi apabila PRU diadakan kelak.

Wartawan veteran, Zin Mahmud, memilih Facebook untuk menyatakan: “Harga ikan, ayam, sayur naik apa kamu buat? Umno, MCA, MIC adalah kerajaan. Bersatu dalam kerajaan, PAS dalam kerajaan, GPS dalam kerajaan, GRS dalam kerajaan. PKR dalam MoU, DAP dalam MoU, Amanah dalam MoU”.

MoU yang dimaksudkan kita tahu ialah Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik” yang dimeterai kerajaan dengan Pakatan Harapan September lalu. Ia antara lain memperinci transformasi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman serta Perjanjian Malaysia 1963.

Saya kira bab makanan termasuk pengeluaran, penentuan, dan kawalan harga makanan termaktub dalam transformasi Pemerkasaan Pelan Covid-19. Logiknya begitu, bukan?

Kata Zin, harga sayur naik sebab bekalan kurang dan bukan kerana permintaan naik. “Bekalan kurang sebab pekerja kurang. Pekerja kurang sebab tiada pekerja asing. Pekerja asing tiada sebab mereka sudah pulang. Mereka pulang sebab Covid-19”.

Di Dewan Rakyat tempoh hari, beberapa Ahli Parlimen menimbulkan isu kenaikan harga sayur, baja, dan racun serangga dan mahu tahu apa langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Kata mereka, lonjakan harga baja dan racun begitu tinggi. Contoh racun yang harganya RM185 tahun lalu sekarang berharga RM330. Lalu mereka mahu kerajaan memantau harga pasaran dan membantu penanam dan peladang diringankan beban mereka.

Itu baharu bercakap mengenai sayur. Bagaimana pula dengan daging, ayam, telur, dan sebagainya? Jangan lupa cuaca tidak menentu yang kita alami sekarang akibat perubahan iklim yang mengancam seluruh dunia. Itu ada impak ke atas pengeluaran makanan negara. Sekali gus harga makanan.

Untuk menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa adalah tidak adil. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memperuntukkan bantuan berjumlah RM262 juta sebagai respon awal bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun.

Pun begitu, bekas Perdana Menteri Najib Razak pula “mengingatkan” semua, beliau sudah memberi amaran awal pada tahun ini bahawa dasar kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin akan menyebabkan inflasi tinggi pada bulan-bulan berikut.

FMT memetik beliau mendakwa kenaikan mendadak harga barang ketika ini berpunca daripada dasar fiskal, buruh, dan ekonomi kerajaan PN sejak tahun lalu serta “lockdown separuh masak” yang dilaksanakan begitu lama mengakibatkan kekurangan bekalan dan perubahan permintaan yang tidak konsisten.

Apa pun, yang mesti dititik beratkan sekarang ialah kaedah, cara dan langkah yang diambil kerajaan untuk menangani masalah ini. Zaman ini memerlukan cara zaman ini. Cara masa lalu walaupun mungkin pernah berkesan dahulu tidak lagi sesuai masakini. Cara pemikiran perlu berubah sesuai masalah zaman ini yang dihadapi. Pelan jangka panjang mesti ada bukan sekadar langkah “stop gap”.

Namun sementara kita tunggu apa yang akan dilaksanakan kerajaan dan keberkesanannya, harapan kita harga makanan tidak terus melonjak. Cukup-cukuplah harga tinggi masa kini.

Setakat ini nampaknya semuanya naik ? Termasuk darah kata kawan saya. “Darah dah lama naik” katanya .

Lantas apa yang turun? Nilai ringgit kata seorang kawan.

 

No comments: