Keluarkan lebih banyak makanan, henti pengeluaran AP, kata aktivis



Malaysia mempunyai kawasan tanah yang mencukupi untuk digunakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan, menurut aktivis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis pengguna menggesa supaya pengeluaran makanan tempatan dapat dipertingkatkan manakala pengeluaran permit import (AP) barangan makanan pula perlu dihentikan.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason memberitahu FMT bahawa beliau bimbang dengan kenaikan harga makanan import selain negara juga mempunyai kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap produk makanan dari negara lain.

“Ia begitu mustahil untuk kita mengawal harga produk makanan dari luar negara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keperluan untuk mengeluarkan AP untuk mengimport makanan sambil menjelaskan amalan itu tidak menyebelahi pengeluar makanan tempatan apabila terpaksa mengurangkan harga untuk bersaing dalam pasaran bebas.

Marimuthu Nadason.

AP dikeluarkan untuk makanan seperti mangga, kelapa, betik, beberapa jenis sayur, daging dan sembilan jenis makanan laut.

Marimuthu berkata Malaysia mempunyai kawasan tanah yang mencukupi untuk digunakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan, dengan menyatakan terdapat tanah seluas 103,563 di Semenanjung dan Labuan yang dikenal pasti sebagai tanah terbiar.

Tahun lalu, negara mengimport makanan bernilai RM55.4 bilion, yang meningkat daripada RM51.46 bilion pada 2019. Setakat ini, angka bagi 2021 ialah sebanyak RM36.09 bilion.

Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 2.9% dari tahun ke tahun kepada 123.7 pada Oktober 2021 berbanding 120.2 pada bulan sama tahun lalu.

Ia mengaitkannya dengan kenaikan bahan api dan pemberian diskaun bil elektrik yang telah dihentikan pada September 2021.

Manakala Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Jacob George, berkata harga pelbagai barangan adalah tinggi kerana syarikat di seluruh dunia tidak dapat memenuhi permintaan mendadak selepas penamatan perintah berkurung akibat Covid-19.

Beliau berkata kepada FMT bahawa harga barangan dijangka meningkat tahun depan dan penguatkuasaan untuk mengawal harga akan menjadi sia-sia sekiranya barangan itu dikeluarkan dari luar negara.

No comments: