WALAU BUKAN MP, KHALED NORDIN JUGA PERLU MELEPASKAN JAWATAN DALAM GLC


 Bersama tegangnya hubungan dengan Bersatu ketika ini, tuntutan paling banyak kedengaran ialah agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO segera melepaskan semua jawatan masing-masing dalam kerajaan.

Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC diminta tidak berlengah lagi melepaskan jawatan masing-masing, sesuai dengan usul majoriti UMNO bahagian-bahagian yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu serta menolak kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Setakat meluluskan usul tapi tidak disusuli dengan menarik sokongan serta melepaskan semua jawatan dalam kerajaan yang dilantik oleh Muhyiddin, semuanya tidak bermakna apa-apa.

Malah, ia hanya memperlihatkan mereka sebagai pemimpin yang lebih sayangkan jawatan daripada perjuangan.

Dalam hubungan ini, ada laporan menyebut bahawa dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pagi tadi, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dikatakan memang ada membangkitkan soal keperluan berundur daripada kerajaan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan sambil enggan mengesahkan laporan tersebut berkata, sebarang keputusan dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua Bahagian hari ini akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat MT UMNO esok.

“Itu hanya laporan, apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke MT.

“Jadi, keputusan muktamad, apa juga yang dibincangkan adalah pada mesyuarat MT esok malam,” katanya lagi yang baru diumumkan sebagai Setiausaha Agung BN menggantikan Annuar Musa.

Makna kata, jika MT UMNO esok memutuskan semua Ahli Parlimen perlu meletak jawatan kerajaan masing-masing, mereka tiada pilihan selain harus berbuat demikian.

Itu adalah dalam konteks untuk UMNO menjatuhkan kerajaan PN dan memungkinkan PRU diadakan dengan segera, selari dengan usul-usul yang telah diluluskan.

Tetapi, atas nama UMNO itu sendiri yang enggan bekerjasama dengan Bersatu dan menolak PN, sewajarnya semua pemimpin, tak kira kecil atau besar, menjadi Ahli Parlimen atau tidak, mereka juga wajib melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan sekarang.

Apa saja jawatan yang diterima melalui kerjasama politik UMNO dalam kerajaan PN mesti dipulangkan semula

Contoh pemimpin UMNO yang bukan Ahli Parlimen tetapi diberikan jawatan dalam GLC ialah Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin.

Atas kapasitinya sebagai Naib Presiden UMNO, setelah PN menjadi kerajaan, bekas Menteri Besar Johor itu telah dilantik sebagai Pengerusi Boustead Holding Bhd, sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera atau LTAT.

Oleh kerana Khaled sendiri agak lantang mengkritik kerajaan PN dan keras dengan pendirian menolak kerjasama UMNO dengan Bersatu, sebagai tanda sehati sejiwanya dengan keputusan parti, beliau tidak ada sebab lagi untuk terus memegang jawatan tersebut.

Adalah amat janggal sebenarnya, sebagai pemimpin dalam hireaki nombor tiga UMNO, sementara lantang mengkritik Bersatu dan PN, beliau didapati masih tidak segan-segan memegang jawatan bergaji lumayan dalam syarikat senaraian awam itu.

Sebaik-baiknya, malah beliau pasti akan lebih dihormati oleh akar umbi UMNO yang tidak mendapat apa-apa nikmat kebendaan sejak kerajaan PN terbentuk, kiranya sebelum mesyuarat MT malam esok, surat perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Boustead itu sudah pun siap ditandatanganinya. 

(Shahbudindotcom 05/01/2021)