INI BARU BETUL ANAK JANTAN, TAPI APAKAH AHLI PARLIMEN LAIN RELA DIGELAR PONDAN?


 Keputusan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau MPOB memang tindakan terpuji, berani dan benar-benar mempamerkan kejantanannya.

Ini baru betul, setelah UMNO bahagian Machang dan dipimpinnya meluluskan usul menolak kerjasama dengan Bersatu, diikuti dengan 12 daripada 13 bahagian UMNO di Kelantan yang dipengerusikannya turut mengemukakan usul yang sama, meletak jawatan dalam GLC yang dilantik oleh Muhyiddin Yassin adalah tindakan susulan yang paling betul dan wajar.

Inilah pemimpin cakap serupa bikin, “walk the talk” dan tidak gentar memperjuangkan kepentingan parti.

Pengumuman Ahmad Jazlan meletak jawatan dibuat sehari selepas beliau memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan Parlimen atau dirinya akan melepaskan jawatan dalam kerajaan.

“Pada hari ini, 4 Januari 2021 jam 4.00 petang, saya telah menghantar surat perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi MPOB yang berkuatkuasa mulai 6 Januari 2021.

“Surat perletakan jawatan saya telah diserahkan kepada Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di pejabatnya,” katanya dalam kenyataannya.

Perletakan jawatan Ahmad Jazlan ini dilihat sebagai langkah drastik memandangkan beliau pada mulanya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada PN untuk membubarkan Parlimen.

Sebelum itu, ketika bercakap selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Machang Ahad lalu, Ahmad Jazlan berkata, suara akar umbi dan prinsipnya perlu ditegakkan selepas 12 UMNO bahagian di Kelantan meluluskan usul untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan kerajaan PN.

“Kalau saya tarik diri, saya akan sertakan sekali perletakan jawatan dalam kerajaan kerana saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” tegasnya.

Lagi pun, setelah berani menolak untuk bersama dengan Bersatu dan kerajaan PN, apa mahu ditunggu lagi untuk terus berada dalam kerajaan?

Malulah jika hanya berani membuat usul tapi masih sayang dengan jawatan.

Tetapi, bagaimana dengan pemimpin UMNO lain yang turut mengemukakan usul yang sama menolak Bersatu dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan BN yang sebenarnya ia sama erti dengan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri?

Bila lagi mereka mahu meletak jawatan sebagai menteri, timbalan menteri atau dalam GLC yang dilantik oleh Muhyiddin?

Selain itu, jika benar UMNO mahu PRU segera melalui usul yang dikemukakan itu, menarik sokongan dan meletak jawatan daripada kedudukan dalam kerajaan adalah satu-satunya cara ke arah itu.

Muhyiddin tidak mungkin akan membubarkan Parlimen selagi tidak terbukti beliau benar-benar sudah hilang sokongan.

Maka, UMNOlah yang perlu menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin sudah tiada lagi.

Nak tunggu apa lagi?

Takkan Ahmad Jazlan seorang saja yang jantan dalam UMNO ini?

Jangan sampai Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang lain digelar pondan oleh ahli akar umbi sendiri atau akan ditertawakan begitu saja oleh Annuar Musa?


 (Shahbudindotcom 05/01/2021)