Adakah kerajaan hanya akan tunggu vaksin tiba di Malaysia?

 

Oleh Syahredzan Johan

(Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

Semalam dilaporkan bahawa jumlah kematian yang disebabkan wabak Covid-19 telah melebihi 500. Dilaporkan juga bahawa jumlah keseluruhan kes Covid-19 melangkaui 120,000 setakat 4 Januari 2020. Angka-angka ini sangat membimbangkan, apatah lagi apabila hanya beberapa bulan yang lepas, negara mencatatkan sifar kes tempatan. 

Dilaporkan juga, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa hospital dan pusat rawatan Covid-19 hampir mencecah tahap maksimum dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mempertimbangkan supaya pesakit tanpa gejala dikuarantinkan di rumah.

Pada masa yang sama, Kerajaan telah melonggarkan SOP yang telah ditetapkan sebelum ini Ironinya, SOP adalah lebih ketat ketika gelombang kedua dan proses pemulihan selepas itu, berbanding sekarang. 

Tidak dinafikan, ada banyak pandangan berbeza berkenaan pelonggaran SOP, pembukaan sektor ekonomi dan perjalanan rentas negeri ini, namun demikian situasi sekarang menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan mempunyai pelan yang rapi dan menyeluruh untuk menghadapi Covid-19 yang dilihat semakin teruk. Keyakinan umum terhadap cara Kerajaan Persekutuan menangani wabak ini semakin terhakis. 

Adakah Kerajaan hanya akan membiarkan keadaan ini berlarutan, sehinggalah vaksin wabak tersebut tiba di Malaysia pada bulan Februari? Inilah persoalan yang bermain di fikiran ramai apabila Kerajaan seperti mengambil sikap acuh tidak acuh dan ‘business as usual’’ sahaja walaupun dengan angka-angka harian yang begitu menggusarkan.

Kerajaan tidak boleh hanya bergantung harap pada vaksin yang dijangka tiba dan harus mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk membendung penularan wabak ini sebelum ianya terlambat. Oleh itu, Kerajaan digesa untuk segera mengumumkan dan memaklumkan kepada rakyat tentang perancangan negara untuk berhadapan dengan wabak ini di hari-hari yang akan datang.