Dakwaan Tajuddin cuba pengaruhi keputusan syarikat: Prasarana diserbu SPRM

 


Dakwaan Tajuddin cuba pengaruhi keputusan syarikat: Prasarana diserbu SPRM

Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ke pejabat Prasarana Berhad pagi ini sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan pengerusinya Tajuddin Abdul Rahman cuba menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signifikan dalam syarikat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu dan berkata pihaknya telah memulakan siasatan terhadap syarikat pengoperasi pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan itu.

“Ya, saya boleh sahkan SPRM telah mula menyiasat kes ini.

“Pegawai saya ke Prasarana untuk ambil dokumen dan akan panggil saksi yang berkaitan,” katanya dalam pesanan teks.

Malaysiakini difahamkan pasukan SPRM ke pejabat Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul sembilan pagi ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa lama mereka di sana dan jika sebarang kenyataan daripada pekerja Prasarana telah diambil.

Terdahulu, The Edge melaporkan Tajuddin, yang merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Pasir Salak, menggunakan autoritinya untuk mengubah beberapa perkara dalam syarikat itu.

 

Beberapa perubahan dikatakan telah menimbulkan persoalan tentang kepimpinan dan hala tuju syarikat.

Ketika dihubungi, Tajuddin menafikan pejabat Prasarana diserbu SPRM, seperti yang dilaporkan The Edge hari ini.

Dia sebaliknya berkata penyiasat SPRM hanya berkunjung ke pejabat.

“Mereka hanya datang ke pejabat. Ia bukan serbuan.

“(Istilah) Serbuan bawa konotasi berbeza,” katanya kepada Malaysiakini, sambil memaklumkan sidang media yang dijadual pukul empat petang nanti akan berjalan seperti biasa.

Dia dijangka akan mengulas perkara ini dalam sidang media nanti.



No comments: