ULASAN : RIDUAN SHAMSUDIN & AMIRUDDIN AHMAD
Ulasan: Bahang Pemilihan Agung PAS semakin panas
berikutan pendedahan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad wujudnya adu
domba golongan berhaluan kanan dalam parti itu yang ingin membawa PAS
meninggalkan Pakatan Rakyat.

Pada
sisi lain, Umno telah memulakan serangannya dengan kenyataan Annuar
Musa bahawa beliau menyokong pelaksanaan Hudud di Kelantan. Sehari
selepasnya MCA menyerang DAP kerana gagal menghalang hukum Hudud
dilaksanakan. Sekali lagi DAP dan PAS akan berlaga.
Isu Hudud yang tiba-tiba timbul adalah serangan terancang Umno
menjelang Muktamar PAS bagi menaikkan sokongan golongan anti PR kepada
barisan calon berhaluan kanan pada pemilihan kelak.
Sebelum ini, spekulasi telah bertiup kencang sejak mutaqa ulama di
Kota Sarang Semut, Kedah dua bulan lalu terdapatnya ura-ura PAS akan
meninggalkan PR. Malah di peringkat Dewan Ulama, perdebatan isu
tersebut tidak pernah selesai sejak kerjasama PAS bersama-sama PKR dan
DAP pada 1999 lalu.
Dewan Ulama menentang kerjasama bersama
parti-parti bukan bertunjangkan Islam, apatah lagi yang datang dari
serpihan Umno. Alasan dikemukakan, PAS pernah dikecewakan oleh Semangat
46 dalam kerjasama tahun 1989 – 1996.
Sejak itu, mana-mana parti
yang bukan memperjuangkan Islam secara total diragui komitmen mereka.
Apatah lagi penyokong perjuangan Anwar Ibrahim yang dilihat liberal pada
kaca mata ulama PAS. Menentang pendapat itu adalah agenda tahaluf
siyasi yang dibawa Presiden PAS almarhum Fadhil Noor, yang kebetulan
abang angkat Anwar Ibrahim.
Beliau lebih kenal adik angkatnya
berbanding ulama PAS. Beliau bertegas isu Anwar ketika itu bukanlah isu
politik semata-mata tetapi pemerintah menzalimi seseorang yang tidak
bersalah. Anwar adalah simbol kepada kezaliman dan ketamakan kuasa Umno.
Akhirnya,
idea Fadhil diterima oleh golongan pro pembaharuan dalam PAS dan parti
itu masuk pilihan raya 1999 dengan bekerjasama dengan Parti Keadilan
Nasional dan DAP.
Bersatu bersama Umno
Bagaimanapun, pemimpim berhaluan kanan dalam PAS didakwa tidak
berpuas hati terhadap beberapa perkara dalam kerjasama Barisan
Alternatif ketika itu termasuk penubuhan parti selain PAS untuk membawa
suara Melayu. Mereka terus mempersoalkan peranan tokoh lain, selain
presiden PAS memimpin kebangkitan ummah.
Apabila DAP yang pernah
meninggalkan Barisan Alternatif pada 2000 dan masuk semula pada 2008
dalam Pakatan Rakyat, penentangan untuk bekerjasama dengan parti-parti
pembangkang menjadi serius. Kemasukan DAP dilihat menolak agenda Islam.
Golongan
berhaluan kanan berpendapat PAS tidak wajar meneruskan kerjasama dengan
DAP dan lebih baik bersatu bersama Umno. Isu kalimah Allah menjadikan
golongan ortodok ini semakin teruja dengan idea bersama Umno berbanding
PKR dan DAP.
Mereka termakan dengan slogan perjuangan Umno
memperjuangkan Ketuanan Melayu. Walaupun ketuanan itu hanya ditulis di
atas kertas, hakikatnya 1.5 juta ekar Tanah Rizab Melayu hilang sejak
Umno memerintah pada 1957.
Kalimah Allah adalah juga adalah
ketetapan di atas kertas, hakikatnya Umno lebih banyak memesongkan
ajaran Islam daripada menegakkan syiar. Namun atas perpaduan Melayu
Islam maka Umno dilihat lebih baik berbanding kerjasama dengan PKR dan
DAP.
Mereka sanggup memejamkan mata terhadap kes tembakan maut,
rompakan bersenjata api, korupsi dan salah guna kuasa oleh sebuah
kerajaan yang tidak layak memerintah daripada beralih kepada kerajaan
baharu yang tidak mengutamakan Ketuanan Melayu.
Hal inilah yang
perlu dihadam oleh perwakilan sebelum memilih kepimpinan baru PAS pada
muktamar nanti. Perwakilan perlu menentukan sama ada pimpinan baharu
akan mengekalkan tahap kerjasama dengan PR yang telah sedia terjalin dan
memberi keuntungan selama ini atau saf kepimpinan yang ingin menilai
semula kerjasama dalam PR.
Dewan Ulama menyuarakan perlunya PAS
menjadi parti dominan dalam PR. Bagaimanapun perkara itu bukanlah
sesuatu yang perlu diutamakan dalam perjuangan . PAS tidak perlu menjadi
Umno dalam Barisan Nasional. Umno memutuskan semua perkara dan MCA
serta MIC hanya menjadi pengekor sahaja. Akibatnya masyakarat Cina dan
India beralih kepada PR.
Kuasa mutlak Umno pula akhirnya
menyebabkan wujudnya dua golongan. Iaitu, penguasa Umno dan rakyat biasa
Melayu. Penguasa memperhambakan rakyat mencari wang buat mereka.
Dengan
memilih saf kepimpinan yang tidak lantang menyuarakan masalah rakyat
PAS akan ketinggalan berbanding parti-parti lain. Sekiranya PAS tidak
menggerakkan demonstrasi jalanan seperti tahun 2007, 2011, 2012 dan 2013
pasti nasib parti itu lebih buruk dalam pilihan raya lepas.
Keseimbangan kuasa
Hakikat yang tidak dapat dilihat oleh PAS ialah keseimbangan kuasa
yang dimainkan oleh parti itu dalam menyalurkan kemarahan rakyat secara
terkawal. Sekiranya PAS tidak lagi mendominasi demonstrasi jalanan
sebagaimana yang sukses dilakukan di bawah kepimpinan Mat Sabu maka
kemarahan rakyat akan diluah secara yang lebih ganas.
Bayangkan
sekiranya tunjuk perasaan besar berlaku tanpa pemimpin, sebagaimana Arab
Springs. Rakyat tidak menghormati arahan sesiapa pun, maka negara akan
menerima kesan yang buruk. Umno terlalu licik perancangannya untuk
diikuti oleh PAS. Umno boleh memusnahkan negara hanya untuk menyambung
hayat kuasa.
Menurut keputusan pilihan raya 2013, hanya 45
peratus Melayu menyokong Pakatan berbanding 90 peratus Cina dan lebih 60
peratus India. Selepas kenaikan minyak, kenaikan harga gula dan
pengenalan cukai GST rasanya lebih mudah untuk PR khususnya PAS
meningkatkan sokongan Melayu. Jadi, apa perlunya gesaan mengkaji semula
penyertaan PAS dalam PR? Peranan PAS hanyalah untuk menambah 10 peratus
sokongan Melayu. Perkara itu bukanlah susah sangat
Oleh itu,
perwakilan harus melihat agenda untuk PAS tinggalkan PR hanyalah dendam
peribadi dan usaha sesetengah pemimpin untuk mencari pengaruh atau telah
berjaya diperangkap Umno. Tidak lebih daripada itu.
Tanpa PAS
dalam PR, BN akan berkuasa selama-lamanya dan rakyat tidak mempunyai
pilihan lain untuk menumbangkan kerajaan zalim selain revolusi.
Persoalan asas: Adakah PAS lebih gemar mengheret negara ke kancah
revolusi berbanding perubahan secara aman yang boleh dilakukan
bersama-sama PR?