PPSMI: Mahathir ulang hujah yang sudah jadi sejarah

PPSMI: Mahathir ulang hujah yang sudah jadi sejarah


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih terperangkap dalam pemikiran kolonial apabila mahu subjek sains dan matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, pandangan Dr Mahathir harus diketepikan kerana kerajaan sendiri akur dengan kehendak rakyat yang menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Dr Mahathir ulang dan ungkit isu yang sudah selesai dan keputusan sudah dibuat oleh kerajaan supaya dasar ini dimansuhkan.

"Pandangan Dr Mahathir yang mahu PSSMI ini dikembalikan adalah ke belakang dan Dr Mahathir terperangkap dengan pemikiran kolonial," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dr Mahathir ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru dalam Dunia Islam di Petaling Jaya semalam merayu agar subjek sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana berpandangan Bahasa Melayu belum menjadi bahasa sains dan matematik.

Beliau juga dilaporkan berkata, tanpa penguasaan bahasa Inggeris peluang pekerjaan seseorang itu akan menjadi sempit walaupun cemerlang dalam akademik.

Mengulas lanjut, Azmi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, peluang pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris terbuka luas namun subjek sains dan matematik harus diajar dalam bahsa Melayu kerana sesuatu ilmu itu lebih senang difahami apabila diajar dalam bahasa ibunda.

"Dr Mahathir harus sedar bahawa kita tidak menyekat pelajar-pelajar mempelajari Bahasa Inggeris malah peluang untuk belajar terbuka luas dan ada di mana-mana.

"Namun dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, kita mahu Bahasa Melayu digunakan kerana bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan tunggak kepada pembangunan bangsa dan budaya," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Prof Shahrir Md Zin pula berkata, segala hujah yang digunakan dr Mahathir merupakan hujah lapuk dan sudah disanggah oleh banyak pihak.
"Dr Mahathir ulang hujah yang sama, hujah yang sudah jadi sejarah tapi surat khabar suka keluarkan pandangan beliau.

"Saya dan beberapa rakan yang lain sudah lama menjawab hujah-hujah beliau contohnya sains dan matematik tidak sesuai diajar dalam bahasa Melayu.

"Tapi hujah dan pandangan kita tidak dikeluarkan surat khabar, maka pandangan Dr Mahathir tetap menjadi perhatian orang," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau juga, tiada alasan untuk kerajaan meneruskan PPSMI sedangkan Kementerian Pendidikan sendiri membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar yang bermula pada 2003 itu.

"Tidak perlu peduli dengan pandangan Dr Mahathir kerana beliau dari dulu lagi mahu PPSMI dilaksanakan dan tak peduli dengan pandangan orang kebanyakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berpegang teguh kepada pendirian kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI kerana statistik Kementerian Pendidikan membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar itu.


Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan dilaporkan berkata, PPSMI tidak mempunyai hala tuju selain Kementerian Pendidikan membuktikan keputusan pelajar merudum dalam subjek sains dan matematik dan Bahasa Inggeris.


No comments: