Tindakan terdesak seorang anak bangsawan


Ekonomi dunia semakin tidak menentu. Keadaan ekonomi tahun depan mungkin lebih teruk berbanding akhir tahun ini. Tambahan lagi, khabar angin bahawa wujud desakan dalaman UMNO memaksa Perdana Menteri Najib melepaskan jawatannya mulai bertiup malah semakin hari semakin kencang. Najib tidak mempunyai banyak pilihan dalam situasi sedemikian. Kehilangan sokongan UMNO menjadikan sokongan luar lebih penting sekarang.

Dalam keadaan terdesak, Najib (gambar kiri) terpaksa mengambil tindakan drastik dalam percubaannya untuk mendapatkan sokongan rakyat. Kalau selepas Pilihan Raya Umum 2008 UMNO memerlukan Najib dengan retorik dan popularitinya untuk menenteramkan kemarahan rakyat terhadap keangguhan dan segala bentuk kecacatan dasar serta penyelewengan yang dikaitkan dengan UMNO dan pemimpin UMNO, kini populariti Najib jatuh dan dilihat sebagai liabiliti UMNO yang bakal menenggelamkan UMNO kalau dibiarkan terus memegang tampuk pimpinan.

Baru-baru ini, desas-desus Najib berdepan dengan tekanan dalaman UMNO kelihatan lebih jelas berikutan penerbitan sebuah buku berjudul "Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End, Najib Perdana Menteri Terakhir..." oleh Shahbudin Husin yang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju dari 2004 hingga 2008.

Meksipun Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat UMNO (Penawar) telah menafikan laporan blog bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun perkembangan terkini nampaknya memperkukuh dakwaan bahawa wujud kuasa politik yang mahukan Najib melepaskan jawatannya.

Mahathir baru sahaja menyarankan agar jangan diawalkan pilihan raya umum akan datang, Najib pula mengambil tindakan yang bercanggah dengan kemahuan Mahathir seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Lah, dengan membuat pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seumpamanya yang dilihat sebagai indikator ketibaan pilihan raya umum dalam jangka masa yang lebih pendek.

Tindakan tersebut juga dapat dilihat sebagai percubaan Najib untuk mendapat sokongan rakyat agar dapat berdiri teguh sebagai seorang pemimpin negara yang memegang kuasa dan membuat keputusan. Maksudnya Najib enggan menunduk kepada kuasa dalaman UMNO yang semakin hari semakin tidak puasa hati dengan beliau dan juga peranan Rosmah dalam pentadbirannya.

Dalam buku setebal lebih 300 halaman dan 25 bab yang disifatkan oleh penulis buku sebagai "menegur Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri", bukan bertujuan "mengkritik parti", secara jelas kritikan tersebut cuba mengasingkan Najib daripada UMNO. Khususnya dalam kritikan tajam terhadap tindak-tanduk Rosmah, penulis buku menyifatkan faktor Rosmah bakal menjahanamkan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang seperti mana faktor Khairy Jamaluddin semasa Pilihan Raya Umum 2008. Masih ingatkah serangan Mahathir terhadap Pak Lah bahawa wujud campur tangan pentadbiran oleh sekumpulan "budak Tingkat 4" pada ketika itu? Persoalan seumpama juga dibangkitkan oleh Shahbudin Husin berhubung peranan dan campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan seorang anak bangsawan bergelar Najib.

"Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib melakukan banyak kelemahan, disebabkan oleh kepimpinannya, masalah yang disebabkan oleh isterinya."

"Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri diragui rakyat sebegini rupa."

"Jika dihitung, luahan rasa kecewa, tidak yakin malah keraguan lebih banyak kedengaran berbanding sanjungan dan keyakinan."

"UMNO dan kerajaan yang diterajui Najib dipertikai hampir dari semua sudut sebenarnya."

"… isu campur tangan isteri dan penglibatan beberapa pegawainya yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa, semuanya menjurus kepada semakin meningkatnya ketidakyakinan rakyat terhadap beliau."

Bayangkan, komen-komen sedemikian bukan datang daripada Pemuda KEADILAN atau Pemuda PAS, tetapi Pemuda UMNO. Bayangkan juga, bagaimana Pak Lah yang juga merupakan anak seorang ulama tumbang selepas Pilihan Raya Umum 2008 tetapi UMNO masih berdiri angkuh memainkan segala isu yang bercanggah dengan prinsip dan dasar sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Dengan kata lain, tidak cukup sekadar menukar pemimpin. Apabila wujud sebuah parti yang memberikan harapan, adalah wajar pemimpin bermasalah dalam parti tersebut ditukarkan agar parti tersebut dapat bertindak secara gagah membawa perubahan secara dasar kepada negara.

Tetapi, apabila wujud sebuah parti yang terlalu korup sifatnya, tidak cukup sekadar menukar pemimpin dan mengharapkan pemimpin baharu dapat membawa harapan baharu berlandaskan sebuah parti yang korup. Harapan baharu datang daripada perubahan secara dasar dan pembaharuan keseluruhan. Dalam konteks Malaysia hari ini, pertukaran parti yang memerintah lebih penting daripada pertukaran pemimpin sebuah parti. Jangan lagi rakyat mengulangi sejarah pertukaran pemimpin UMNO tanpa menukarkan UMNO. Sebarang tindakan drastik setelah mengambil kira percaturan politik realiti tidak bermakna parti yang memerintah mampu berubah secara dasar dan menyeluruh.

Syabas kepada Najib kerana membuat pengumuman pemansuhan ISA dan seumpamanya. Idea perubahan termaktub dalam Buku Jingga. Kini pelaksanaan Program 100 Hari Pertama oleh Pakatan Rakyat apabila mendapat mandat rakyat nampaknya diawalkan ekoran Najib terdesak untuk berbuat demikian. Tetapi pengumuman tersebut sekadar langkah awal berkaitan perubahan besar yang dinanti-nantikan oleh rakyat terbanyak.

Sama ada ahli Parlimen UMNO yang lain dan juga Perkasa memberi sokongan kepada usul kerajaan ekoran keperluan proses perundangan berhubung pengumuman-pengumuman berkaitan dimulakan masih tidak menentu. Dewan Rakyat akan bersidang pada 3 Oktober 2011. Empat hari pertama akan diperuntukkan untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga rang undang-undang sama ada yang melibatkan pindaan atau penggubalan akta baharu.

Melihat kepada perkembangan baru-baru ini. Kerajaan Persekutuan telah memperkenan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya yang begitu terserlah dalam konteks gerakan BERSIH 2.0 yang juga memperlihatkan kemarahan dan ketidakpuasan rakyat terhadap pentadbiran Najib yang disifatkan sebagai represif.

Bermula pada 7 Oktober 2011, Najib akan membentangkan Belanjawan Negara 2012. Seterusnya, sidang dewan akan menumpu kepada perbahasan belanjawan sehingga 29 November 2011. Kalau jadual sidang dewan diikuti tanpa perubahan, dua hari terakhir sidang dewan yakni 30 November 2011 dan 1 Disember 2011 barulah dewan kembali menguruskan perkara rang undang-undang.

Maka persoalannya, dalam keadaan di mana peruntukan hari untuk urusan rang undang-undang sekadar enam hari secara keseluruhan, dapatkah usul-usul berkaitan dengan pengumuman Najib diuruskan secara menyeluruh dan memuaskan? Persoalan seterusnya, apabila tumpuan dewan adalah terhadap urusan Kerajaan Persekutuan ekoran pengumuman Najib, apakah urusan pembaharuan sistem pilihan raya bakal diketepikan?

Pengumuman semalam oleh Najib melibatkan pemansuhan dan pindaan bilangan akta yang banyak, antaranya termasuk:

1.Perlembagaan Persekutuan;
2.Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960;
3.Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (No. 5) 1969;
4.Akta Kediaman Terhad 1933;
5.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964;
6.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979;
7.Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;
8.Akta Buang Negeri 1959;

Kalau Najib memegang kuat kepada prinsip yang berkait rapat dengan pengumumannya, masa yang cukup harus diperuntukkan untuk urusan dewan berkaitan di mana pertimbangan juga harus diberikan kepada urusan-urusan seperti kemungkinan memansuhkan sama sekali keperluan permohonan lesen penerbitan dan digantikan dengan pendaftaran bersifat administratif, menghadkan kuasa Menteri dengan mengizinkan keputusan Menteri dicabar dalam Mahkamah dan sebagainya.

Sesungguhnya, berikutan pemansuhan ISA dan ordinan darurat, Kerajaan Persekutuan patut mengemukakan usul meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya mangsa tahanan tanpa bicara, malahan patut mengemukakan usul memberi pampasan kepada semua mangsa berkaitan. Masih ingatkah Najib bahawa terdapat kes Mahkamah menolak permohonan rayuan bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussein yang hilang pampasan RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya?

Tanggal 7 April 2011, Rang Undang-Undang Ahli Persendirian "Akta Pemansuhan Darurat" yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah (gambar kiri) ditolak dalam kamar. Serupa dengan sejarah kemerdekaan di mana UMNO "menyambut kemerdekaan" setelah tanah jajahan melalui fasa "orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British", kini tuntutan yang dibangkitkan oleh Nurul Izzah dijadikan produk imej demokrasi seorang Perdana Menteri demi kelangsungan hayat politiknya.

Melihat kepada bilangan hari dan bilangan usul yang perlu diuruskan oleh dewan, seorang Perdana Menteri yang berazam melakukan transformasi politik secara berimpak akan memanjangkan bilangan hari persidangan dewan, bukan memanggil pilihan raya umum.

Baca: Perutusan Khas PM sempena Hari Malaysia 2011

Rakaman CCTV Datuk T Disiarkan Di Internet, AMK Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR 18 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Papa Gomo kerana bertindak menyiarkan satu lagi sedutan klip video fitnah yang menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing.

Timbalan ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.00 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut Rozan, pihaknya juga mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar tampil membuat satu kenyataan rasmi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam menyiarkan satu lagi sedutan klip video itu yang jelas merupakan tindakan terdesak Umno-BN terus-terusan untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang itu.

"Kami ingin seberapa segera Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dari mana Papa Gomo mendapat rakaman ini, sebab itu kami tampil membuat laporan, agar kes ini disiasat segera kerana ia mengancam ketua pembangkang Malaysia," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD Dang Wangi, petang tadi.

Semalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.

Penulis blog Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan
dalam video seks berkenaan.

Dalam CCTV itu juga, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah.

Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu.

Sementara lelaki yang didakwa mirip Anwar itu pula berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.

Sehubungan itu, Rozan mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, namun menjelaskan bahawa rakyat kini sudah bijak menilai kerja-kerja jahat para blogger pro Umno yang secara terbuka mengaibkan Anwar.

"Kami AMK bertindak untuk tidak mahu memberi sebarang penjelasan berhubung isu teknikal, sama ada kesahihan video ini. Isu pakaian sama atau tidak, kerana kami yakin orang ramai bijak untuk menilai sendiri, dan yakin ia adalah usaha blogger seperti Papa Gomo untuk kembali menyerang secara peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Selain itu, AMK dalam laporan polisnya hari ini turut menuntut Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim agar memberi penjelasan segera berhubung perkembangan terkini siasatan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap beberapa pihak yang didakwa terlibat menyebarkan satu video seks di Internet, pada 5 April lalu.

Video seks berkenaan dipercayai merupakan sedutan daripada video lucah yang ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Laporan itu antara lainnya menamakan laman papagomo.com, pisau.net dan juga gerakanantipkr.blogspot.com sebagai pihak yang perlu disiasat berhubung penyebaran video berkenaan.


Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal



SHAH ALAM 18 SEPT : Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-mana ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah “tidak masuk akal.”

“Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung,” katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

“Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini,” kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

“Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki,” tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

“Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

“Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau,” tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

“Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

“Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

PKR Ragui Klip Terbaru, Dakwa Umno-BN Teruskan Taktik Lama

KUALA LUMPUR 18 SEPT : Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan menyiarkan satu lagi sedutan klip, menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing, sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.

“Saya hendak sebutkan dengan ringkas ... ini kerja terdesak musuh politik Datuk Seri Anwar (gambar), mereka merancang dan adakan klip-klip rekaan, dan saya yakin setiap bulan akan ada terbitan macam ini ... ini dilakukan oleh Umno-BN, dengan kerjasama pihak berkuasa, saya berani untuk mengatakan yang ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

“Sebagaimana kami katakan sejak timbulnya klip rakaman sebelum ini, dalam dunia teknologi yang canggih pada masa sekarang, bukan sukar untuk mengadakan bahan-bahan macam ... saya yakin mereka akan terus dengan perbuatan mereka sehingga pilihan raya,” kata beliau yang turut mengakui bahawa warna pakaian dikenakan oleh ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah dalam video yang dipertontonkan pada Mac lalu dan disebarkan menerusi Internet kemudian berbeza dengan dalam sedutan klip terbaru dilihat semalam.

“Ya, kedua-duanya jauh berbeza ... ini sudah cukup untuk mengatakan bahawa ada unsur rekaan dan manipulasi, yang penting untuk dikatakan di sini ialah pihak terbabit mereka cipta bahan macam ini,” katanya lagi sambil menambah, biar rakyat menilai perbuatan mereka.

Kata beliau, musuh politik seharusnya berani untuk berhadapan isu-isu dasar daripada menggunakan taktik dan serangan macam ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi Shahzryl Eskay, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, “rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut.”

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

“Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datu Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan,” kata blog tersebut.

Anwar bagaimanapun telah menafikan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim - mengelar diri mereka “Datuk T’mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Pada 24 Jun, trio “Datuk T” itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500.

Butiran video seks terbaru anwar ibrahim dan kepelikan yang papa gomo kena jawab.

DARI BLOG UMENO WORLD



Nota : Dsai yang dimaksudnya di penulisan neh ialah lelaki mirip dsai dan bukan mewakili dsai yang sebenarnya. Harap maklum.

Aku jelajah blogs pro umno dan aku dapat tahu beberapa butiran mengenai video seks yang bakal didedahkan tak lama lagi, iaitu ;

1. Tarikh video 13 jan 2011

2. Atas katil dengan dua wanita thailand
3. Rakaman hitam putih.

Ada beberapa perkara mengconfiuskan aku. Lihat bawah neh ;





Eskay memang pakai baju lengan pendek dalam dan luar bilik. Sebelum dan selepas rakaman. Kalau tak silap aku tue jam tangan kot dalam gambar kedua neh. Tapi masalah sekarang bukan pada baju eskay sebaliknya pada baju anwar ibrahim. Lihat bawah neh ;



Maaf agak lucah sket. Gambar neh aku petik dari blog badutrakyat. Posting asal yang ada gambar neh dah hilang. Aku pun tatau napa. Tapi baju yang dsai pakai dalam video seks atas neh ialah lengan panjang. Bukan lengan pendek. Dalam video yang disebarkan papa gomo dia hentikan video sampai dsai pakai baju lengan pendek tshirt je. Aku sebenarnya tak tengok rakaman neh lebih dari sekali. So aku takley memorize apa2 sangat dalam neh. Yang aku ingat masa aku tengok cctv naik lif yang disebarkan oleh papa gomo tue ialah dsai pakai kemeja kosong ketika dalam bilik .

Tapi yang disiarkan dalam youtube neh ada corak. Walaupun dalam versi hitam putih aku tak rasa kemeja yang ada corak akan hilang coraknya terus dan menampakkan ia sebagai kemeja kosong. Apatah lagi jadi singkat selepas panjang. Takan dsai nak auter baju lengan panjang dia jadi pendek plak masa turun? Ataupun auter baju lengan pendek jadi panjang selepas naik? Lalu aku buat sedikit analisis.

Lihat bawah neh ;



Aku edit guna photoscape. Asalnya aku nak edit guna picasa tapi gagal. Dah berkali2 aku nak edit tapi gambar takmo masuk picasa. Aku sampai menangis depan komputer. Nak marah, dia komputer. Sebab dah terlampau marah aku keluar airmata. Itu pun nasib baik aku teringat ada photoscape. Kalau tak aku nak berhenti sejenak je daripada update. Tension siot. Heheheh..

Nampak tak perbezaan disini? Lagi satu semasa aku amati video yang papa gomo neh bagi betul2 memang aku perasan ketika turun di kedua2 belah tangan dsai tiada jam tangan. Itu apa yang aku nampak. Korang boleh teliti sendiri. Mungkin apa yang aku nampak tidak sama apa yang korang nampak.

Dan lihat bawah neh lagi ;

Apa benda yang eskay bawa neh? Video ka? Aku takmo buat apa2 konklusi disini. Tapi kemon larh.. video + cctv yang digabungkan? Jadi satu cerita? Kalau ada cctv eskay dan anwar ibrahim masuk bilik mesti ada cctv wanita itu naik lif juga kan?

Dan lagi satu tak silap kisah video seks part 1 menunjukkan bahawa anwar ibrahim orang yang dah ada dalam bilik awal2, manakala wanita dan eskay ialah mereka yang baru masuk bilik. Aku ingat pasal benda neh aku dah tonton banyak kali pasal aku nak mencari bukti bagi menyakinkan diri aku bahawa dsai difitnah. Bagi aku selagi aku tak yakin dsai difitnah selagi itu aku tidak akan berhujah dalam isu neh. Aku sendiri kena yakin dan percaya dulu bahawa dsai tidak bersalah baru aku boleh yakinkan orang lain. Simple.

Sebab tue aku tonton part 1 berkali2 sampai dah hafal jalan citer dia. Mengenai jam pula aku memang sengaja tulis disini sebab benda tue aku notice. Selalu aku tengok orang lelaki ketika nak bersolat dorang akan tanggal jam dan masukkan ia ke dalam kocek. Sebab nak berwudhu. Aku tak pakai jam tangan tapi boleh jadi ketika itu dsai ada sebab untuk buka jam tersebut. Itupun andai benar dsai orang yang berada dalam cctv terbabit. Tapi pelaku seks dalam video terbabit memang bukan dsai.

Bagi aku tarikh dalam cctv juga boleh diubahsuai. Benda neh sebenarnya mudah je. CCTV neh tidak akan wujud sekarang. Mesti dah lama wujud andai benar dsai berada di sana. Tetapi kenapa dedahkan rakaman neh sekarang? Melainkan rakaman neh baru dibuat ataupun baru diperolehi daripada beberapa destinasi yang pernah dikunjungi bersama..? Nampak tak keraguan disini?

Dan tak silap aku eskay cakap dia yang bawa wanita tue pergi kepada dsai. Aku tak faham maksud dia bawa pergi tue apa. Adakah dia amek wanita tersebut dan bawa naik ke appartment ataupun dia tahu contact no perempuan tue? Kalau dia ada info sepatutnya dah lama polis berjaya dedahkan wanita dalam video seks terbabit. Hairan gak aku.. dengan pelbagai teknologi dan kuasa yang ada amat mustahil sukar mencari seorang wanita? Melainkan.. memang taknak cari ataupun tak boleh cari.

Lue fikirlah sendiri tapi papa gomo berani ka nak jawab pasal neh? Jawapan dia bagi aku sebenarnya tak penting. Pasal dari dulu lagi dia cuma nak menjatuhkan kredibliti dan imej pemimpin pembangkang [cara fitnah] bukan nya nak berhujah pasal fakta ataupun meningkatkan sistem pentadbiran negara. So ada ataupun tiada, jawapan dia tak pernah penting pun pada aku dan korang seme. Heh.


Ameno : rosak larh lue orang dipornokan umno.. adakah khir toyo membayar papa gomo untuk menjatuhkan dsai in order untuk membolehkan khir toyo bebas dari tuduhan mahkamah? <-- tanya.. ye tanya.. ada informer tapi tiada bukti.. so aku tanya je.. jangan cakap aku tuduh or fitnah pula yer.. heh

Pengakuan PM Bangladesh Bukti Wujud Penyelewengan Dalam Pentadbiran Najib





PETALING JAYA 17 SEPT : Pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi dipersoalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, perkara itu adalah sesuatu yang serius selain memperlihatkan tindakan pentadbiran perdana menteri menyalahgunakan kuasa sedia ada dengan sewenang-wenangnya memberi kerakyatan kepada warga asing demi kelangsungan politik sempit mereka.

"Ini isu nasional, bagaimana mungkin dalam sebuah negara yang kononnya cekap dan canggih dengan kemudahannya boleh mengizinkan pemansuhan terang-terangan, saya mengikuti web site yang mendedahkan Perdana Menteri Bangladesh bahawa ramai rakyatnya diizinkan untuk mengundi di Malaysia, saya minta pengesahan lanjut kerana ia adalah pengesahan yang sah dari laman web kementerian Bangladesh" katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam laporan dibawa oleh Keadilan Daily semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya yang bekerja di Malaysia mudah memperoleh status kewarganegaraan dan layak mengundi.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini. Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” kata Fuziah yang juha Ahli Parlimen Kuantan memetik pengakuan Sheikh Hasina, yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd — laman rasmi hal ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Maklumat laman itu mendakwa Sheikh Hasina berkata pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu bahawa dakwaan warga asing diberikan kerakyatan adalah tidak benar dan perkara itu akan ditangani oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bakal meneliti pembaharuan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk apabila Parlimen bersidang awal bulan depan.

Kesal dengan situasi ini, Anwar menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang aneh dengan memperjudikan negara apabila bertindak sembrono memberi hak kepada warga asing sebagai pengundi.

"Di Malaysia ini masih ramai, susah payah kita berkempen, perlu adakan pendaftaran dicampur pula dengan karenah pentadbiran yang mempersulitkan urusan pendaftaran kita, tetapi dengan mudah mereka memberi hak kepada warga Bangladesh," tambahnya.


Tindakan Najib Mansuhan ISA Kerana Terdesak, Kata Nik Aziz




SHAH ALAM 17 SEPT : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai tindakan terdesak.

Nik Aziz berkata akta yang berusia lebih lima dekad itu sepatutnya telah lama dimansuhkan tetapi ia hanya mahu diketepikan sekarang.

“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia,” kata beliau.

Dalam mesej menerusi laman sosial Facebooknya semalam, Nik Aziz berkata: “Saya ditanya tadi oleh wartawan tentang pengumuman pemansuhan ISA. Saya katakan, setelah berpuluh ulama ditahan di bawah akta zalim ini, kerajaan baru menyedari ISA perlu dimansuh?”

Malah beliau turut mempersoalkan adakah keadaan sudah aman sekarang sehingga ISA boleh dimansuh dan jika begitu, “tidak benarlah apa yang digembar-gembur sebagai ancaman terhadap perpaduan dan usaha menghidupkan semula ideologi komunis pada hari ini?”

“Atau sememangnya ISA sejak dahulu lagi sebenarnya zalim atau apa yang digembar-gembur sekarang hanyalah khabar angin sahaja?” kata beliau lagi.

Jelas Nik Aziz, beliau menyertai PAS ekoran melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama di Kelantan dengan dikenakan tindakan di bawah ISA.

“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan Ke-54 di Machang, Kelantan.

Justeru Nik Aziz yang juga Musyidul Am PAS itu berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman jika rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

“Alim ulama adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,” tambah beliau.

Jika Benar Najib Ikhlas, Bebaskan Segera Tahanan ISA

SHAH ALAM 17 SEPT : Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ikhlas untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) beliau perlu segera membebaskan kesemua tahanan akta itu sekarang sebagai langkah pertama untuk menghapuskan undang-undang tersebut.

Tuan Ibrahim berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA akan kekal sehingga dua akta baru menggantikan ISA siap.

“Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambah perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib (kelmarin),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim, seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah ikhlas dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan.

Malah katanya, jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan di mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh mereka adalah golongan pengganas.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku ke atas enam ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” kata beliau lagi.

Di samping itu, katanya, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Perdana Menteri mengakui terdapat kepincangan dalam akta ‘draconian’ tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.

“Janganlah pula cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “sebaliknya Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.”

“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan sama ada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” kata beliau.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Apa Kandungan Akta Baru ? - N. Surendran



PETALING JAYA 16 SEPT : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendren menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Najib Razak semalam yang memberi komitmen bahawa kabinetnya mahu menghapuskan AKta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) dan Akta Darurat.

Namun, beliau berkata pengumuman Najib sempena sambutan Hari Malaysia semalam dilihat samar- samar dan menimbulkan persoalan, adakah kerajaan pemerintah benar- benar ikhlas untuk melaksanakannya ?

Ia berikutan terdapat dua akta baru yang bakal digubal bagi menggantikan dua akta zalim yang mahu dihapuskan kerajaan pemerintah.

Surendran berkata, beliau sangsi akan ketelusan dua akta baru tersebut disamping sikap tarik tali Najib bersabit pemindaan Akta Polis 1967.

Surendran menambah, jika Najib serius mahu meneliti kembali akta polis tersebut, beliau sepatutnya menghapuskan terus permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan aman.

Mengulas lanjut cadangan Najib untuk menghapuskan lesen tahunan penerbitan akhbar, Surendran mempersoalkan mengapa lesen penerbitan masih lagi perlu dipohon pada peringkat awalnya.

“Ini bermakna Menteri masih lagi berhak untuk tidak memberikan sebarang lesen atau membatalkannya sesuka hati beliau.

“Satu-satunya permit yang sepatutnya dipohon adalah permit perniagaan sahaja,” kata Surendran.

Mansuh Satu ISA Hanya Helah Najib Untuk Gubal Dua Lagi 'ISA', Kata Guan Eng

GEORGETOWN 17 SEPT :Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru merupakan satu perkembangan yang mengecewakan.

Justeru Guan Eng berkata, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan kelmarin adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Najib mahu membuat penjenamaan semula dengan mengadakan undang-undang baru hanya bagi tujuan yang sama.

“Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?

“Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru,” kata beliau pada sidang medianya semalam.

Guan Eng yang juga merupakan seorang bekas tahanan ISA sebelum ini berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang segera daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP itu menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut perkara tersebut Guan Eng berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

“Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan,” kata beliau.

Beliau juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan yang diumumkan oleh Najib kerana sebelum ini mereka jugalah yang menyokong penuh tindakan kerajan mengenakan ISA.

“Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata rakyat Malaysialah yang seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib itu, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat.

“Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain,” tambahnya.

Mansuh ISA : Akhirnya Najib 'Tunduk' Kepada Tuntutan Buku Jingga, Kata Azizah



SHAH ALAM 16 SEPT : Biarpun pengumuman perdana menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah hasil perjuangan getir rakyat dari parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), sejak berdekad-dekad, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malah katanya, pengumuman yang dibuat Datuk Seri Najib semalam jelas menunjukkan bahawa akhirnya Umno-Barisan Nasional (BN) tunduk dengan tuntutan Pakatan Rakyat yang dimuatkan dalam Buku Jingganya.

"Ia sudah lama tertangguh, namun tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana tidak putus-putus memperjuangkan pemansuhan ISA ini. Ini juga membuktikan apa yang kita galur di dalam Buku Jingga memberi kesan," katanya melului sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Tv Selangor.

Wan Azizah berkata demikian bagi mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri semalam yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Wan Azizah berkata, beliau berharap pengumuman Najib itu tidaklah dibuat kerana terdesak untuk menarik sokongan rakyat bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.


Ujarnya lagi, jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik, perdana menteri itu perlu juga memastikan hak rakyat di negara ini diberi keutamaan dalam mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi milik mereka tanpa dibebani mana-mana pengaruh politik.

"Pada masa yg sama kerajaan di gesa melihat juga masalah rakyat hari ini degan kenaikan kos sara hidup yang kian menekan dan terlalu tinggi untuk ditanggung. Ini kerana hak mendapat kesejahteraan hidup sama pentingnya degan hak kebebasan," tambahnya.






SHAH ALAM 16 SEPT : Akhirnya Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak akur kepada kehendak dan tuntutan rakyat untuk memansuhkan akta zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Demikian menurut Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Johor, Suhaizan Kayat yang juga menyifatkan bahawa pengumuman
ini merupakan petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir.

"Najib akhirnya akur bahawa ISA (khususnya) sememangnya akta yang diluar daripada kemanusiaan dan sangat bercanggah dengan hak asasi manusia yang selama ini digunakan oleh kerajaan sedia ada (UMNO/BN) keatas rakyat selama lebih 50 tahun."

Suhaizan melalui satu kenyataan medianya, mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri malam tadi berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa lagi pemansuhan akta- akta yang lain.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, beliau memberitahu keputusan yang dibuat Najib ini merupakan langkah agresif dengan ‘merobohkan’ perisai yang mereka gunakan selama ini, disaat rakyat sudah mula terdedah dengan maklumat-maklumat alternatif melalui media baru seperti Facebook dan Twitter.

Beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, menegaskan rakyat jangan mudah tertipu dengan janji-janji manis ini, kerana tidak mustahil rakyat akan ditipu sekali lagi setelah kemenangan besar UMNO-BN dalam PRU-13 nanti seperti penipuan-penipuan pilihanraya sebelum ini.

"Oleh itu, kita khuatir PRU-13 yang tidak ada sebarang jaminan akan dilaksanakan dengan telus dan adil ini akan menyebabkan sekali lagi manipulasi oleh UMNO/BN bagi tujuan mengekalkan kuasa. Kebimbangan saya ini adalah amat berasas sekali kerana isu terkini yang saya ketengahkan berkaitan ‘Mykad klon’ sendiri pun, masih tidak dijawab oleh beliau dan agensi-agensi berkaitan (SPR, JPN)!"

Suhaizan tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemansuhan ini, berikutan Najib masih belum lagi menyelesaikan persoalan-persoalan besar seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bertujuan mengkaji perjalanan sistem Pilihan Raya di Malaysia sepertimana yang digembar-gemburkan.

Bahkan Najib masih gagal memberikan jaminan bahawa PRU-13 akan dijalankan selepas hasil kajian PSC selesai dilaksanakan selain 8 tuntutan Bersih 2.0 juga belum dilihat akan diberikan perhatian khusus oleh Najib untuk dibincangan dalam PSC nanti.

"Kalau PR kurang di Parlimen kerana kekalahan diatas padang Pilihan Raya yang rata tak mengapa lah. Tapi keadaan sekarang ini, sudah lebih 50 tahun kita bertarung di padang yang tidak rata, bahkan pengadilnya juga ‘berat sebelah’. Lebih parah lagi, tidak ada sebarang jaminan bahawa padang akan ‘diratakan’ dan pengadil akan benar-benar telus dan adil!"

Justeru itu beliau memberi amaran kepada Najib jangan menjadikan pengumuman malam tadi sebagai salah satu ‘umpan’ kepada rakyat khususnya menjelang PRU-13 kelak.

Mansuh ISA : Cubaan Najib Pulih Popularitinya




SHAH ALAM 16 SEPT : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumka pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan sebagai terpaksa demi memulihkan popularitinya yang kian merudum kebelakangan ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, beliau juga percaya ia adalah sebahagian semboyan awal pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang bakal disempurnakan melalui pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober depan.

Malah katanya, ‘keberanian politik’ Najib itu juga terhasil ekoran merudumnya populariti perdana menteri itu mutakhir ini yang menyaksikan sokongan popularnya merosot daripada 76 peratus pada Mac lalu, Mei (73 peratus) dan Ogos (59 peratus).

“Tahniah kerana secara tidak langsung mengiktiraf melalui pencurian idea Pakatan Rakyat (PR) dan pejuang hak asasi Malaysia khususnya secara ‘bergaya’ melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, banyak persoalan timbul berbanding menyelesaikan polemik penafian hak asasi manusia khususnya tahanan-tahanan ISA sebelum ini.

Malah, beliau turut mempersoal pengumuman Najib berhubung tempoh tahanan polis yang dikatakan lebih pendek dan melibatkan sistem kehakiman, walaupun tanpa mereformasikannya secara menyeluruh.

“Perubahan dan kajian semula ini mungkin tidak bermakna kerana persepsi rakyat kepada kredibiliti sistem kehakiman yang parah," jelasnya.

Ujarnya, AMK pelik mengapa kajian semula itu dilakukan tanpa melakukan reformasi sistem kehakiman secara total.

“Tidak perlu pergi jauh. Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup membuktikan dakwaan ini ada asas yang konkrit. Apa guna mahkamah diberi kuasa jika sistem kehakiman bertindak di bawah pengaruh kuasa Eksekutif?” katanya.

Justeru, beliau turut mempertikai kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang akan dilakukan pembaharuan sedangkan akta itu, sepatutnya dimansuh terus.

“Apakah rasional kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 iaitu prinsip pembaharuan tahunan akan dihapus dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatal?

“Jika kerajaan percaya kepada kebijaksanaan rakyat, seharusnya akta itu dimansuh terus dan prinsip pengeluaran lesen juga tidak perlu,” katanya.

Tambahnya, kajian semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun turut menjadi persoalan kepada AMK.

Jelasnya lagi, sambil merujuk standard antarabangsa iaitu perhimpunan aman dikawal polis secara profesional AMK mahu jaminan Najib bahawa kebenaran berhimpun harus dipermudah dengan penghapusan permit yang tidak munasabah.



Apa Kandungan Akta Baru ? - N. Surendran



PETALING JAYA 16 SEPT : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendren menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Najib Razak semalam yang memberi komitmen bahawa kabinetnya mahu menghapuskan AKta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) dan Akta Darurat.

Namun, beliau berkata pengumuman Najib sempena sambutan Hari Malaysia semalam dilihat samar- samar dan menimbulkan persoalan, adakah kerajaan pemerintah benar- benar ikhlas untuk melaksanakannya ?

Ia berikutan terdapat dua akta baru yang bakal digubal bagi menggantikan dua akta zalim yang mahu dihapuskan kerajaan pemerintah.

Surendran berkata, beliau sangsi akan ketelusan dua akta baru tersebut disamping sikap tarik tali Najib bersabit pemindaan Akta Polis 1967.

Surendran menambah, jika Najib serius mahu meneliti kembali akta polis tersebut, beliau sepatutnya menghapuskan terus permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan aman.

Mengulas lanjut cadangan Najib untuk menghapuskan lesen tahunan penerbitan akhbar, Surendran mempersoalkan mengapa lesen penerbitan masih lagi perlu dipohon pada peringkat awalnya.

“Ini bermakna Menteri masih lagi berhak untuk tidak memberikan sebarang lesen atau membatalkannya sesuka hati beliau.

“Satu-satunya permit yang sepatutnya dipohon adalah permit perniagaan sahaja,” kata Surendran.




NAK MAT SABU MOHON MAAF...MASUK LAH DEBAT DULU...


Bukit Kepong: Muhyiddin masih mahu Mat Sabu minta maaf


MUAR, 15 Sept – Tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu yang mengeluarkan pelbagai kenyataan termasuk berbentuk ugutan terhadap kerajaan berhubung kenyataan kontroversinya mengenai komunis adalah bagi menutup kelemahannya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana kenyataan Mohamad yang melabel pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenar telah membangkitkan kemarahan sebahagian besar rakyat.

“Untuk menutup kelemahan dia (Mohamad), dia tahu dia berhadapan dengan serangan hebat yang dia tidak terjawab... beliau tidak akan mampu menjawab sampai bila-bila kecuali dia meminta maaf,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah hab pendidikan Pagoh di Ladang Lanadron, Pagoh di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pilihan lhas bagi membincangkan perkara-perkara tentang proses pilihan raya umum di negara ini, termasuk pembaharuan jika ianya perlu.

Selamat Hari Malaysia: Al Fatihah Al-Marhum Rosli Dhoby

Selamat Hari Malaysia: Al Fatihah Al-Marhum Rosli Dhoby


Al-Marhum Rosli Dhoby difitnah Inggeris sebagai penderhaka, penjenayah, penjahat dan menemui ajalnya ditali gantung penjajah. Jenazahnya juga dihina inggeris, makam tanpa nesan, dikuburkan di dalam penjara Kuching, Sarawak.

Warkah terakhir Al-Marhum:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.

Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.

Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

Serangan kerajaan terhadap "komunis" baru-baru ini, semata-mata untuk menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin dipertikai. Pengamat politik, Lee Ban Chen berkata kerajaan pada hakikatnya telah mempunyai pendirian, bahawa sumbangan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan "tidak dipertikai dan tidak dinafikan", ketika menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Beliau memetik dari buku Setiausaha Agung PKM, "Chin Peng: My Side of history", bahawa kerajaan melalui wakil polis, Rahim Noor pada ketika itu telah menyatakan pendirian tersebut. "Kalau kerajaan Malaysia sudah membuat perjanjian dengan CPM (PKM), dan mengaku mereka sudah ada sumbangan untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan negara kita... Jika itulah pendirian kerajaan, bermakna apa yang dikatakan Mat Sabu itu memang sesuatu yang tepat, dan sesuatu yang telah disetujui oleh kerajaan Malaysia. Jika itulah halnya, maka sekarang mengapa buat heboh?"

Malah, Lee Ban Chen (gambar kanan) mengambil contoh karikutur yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 13 September 2011, mempertikaikan kerajaan bahawa mengapa tuduhan yang "sukar dibuktikan" ini dibenarkan selepas lebih 20 tahun perjanjian damai ditandatangani?

Maka soalan seterusnya adalah, "Adakah perjanjian Haadyai itu, kerajaan masih mengakui? Adakah kerajaan masih mematuhi apa yang telah ditandatangani? Kerana selama 20 tahun ini, pihak komunis tak ada buat apa-apa. Mereka cari makan, mereka buat kerja mereka, mereka pun jarang mengambil bahagian dalam arena politik."

Lee Ban Chen berasa hairan, "mengapa keadaan boleh menjadi begini?" Disebabkan komentar daripada Mat Sabu, komunis Malaya "yang tidak berbuat apa-apa (untuk 20 tahun ini)", diserang sebegitu, sehingga mencungkil luka bekas tentara dan bekas polis, seolah-olah ada serangan diadakan dari pihak komunis.

Beliau seterusnya mempersoalkan logik Perdana Menteri Najib Razak, bahawa Malaysia kini bekerjasama dengan Komunis China, kononnya "Komunis China sekarang komunis yang baik". "Saya tak tahulah, kerajaan kita nak berbaik dengan komunis China, tapi nak serang ideologi komunis, tak tahu itu logik apa? Kalau you kata komunis itu memang kejam, komunis China kejamlah! Tapi you tak kata begini..."

Lee Ban Chen berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis adalah Sasterawan Negara A.Samad Said, dan Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM, Arumugam. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

"Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah Buku Jingga sekarang!"

Selain itu, Lee Ban Chen (gambar bawah) turut mengisahkan sejarah bagaimana golongan agamawan, nasionalis dan sayap kiri boleh mencapai muafakat untuk merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, dan bersetuju dalam 10 perkara, termasuk "Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat".

"Ini sesuatu yang cukup istimewa pada masa itu. Sesuatu yang mendapat kerjasama semua bangsa dan berlatarbelakangkan ideologi yang berlainan. Ini suatu contoh bagaimana kita hendak merangka satu politik atau perlembagaan yang menyeluruh, kita harus berkompromi antara kaum... Dan mencapai sesuatu yang dapat diterima semua pihak. Ini sesuatu kejayaan yang besar gerakan rakyat masa itu. Tapi malangnya kerajaan British tidak terima..."

Malah Lee Ban Chen menganggap "Perlembagaan Rakyat" oleh AMCJA-Putera pada ketika itu, boleh diibaratkan bagai "Buku Jingga" oleh Pakatan Rakyat sekarang, memperlihatkan kematangan parti politik untuk bersepakat dengan kerangka tertentu pada peringkat itu untuk menentang penjajahan, katanya.

Ketika mengulas "Perlembagaan Rakyat" pada tahun 1947, Arumugam (gambar kanan) berkata wujudnya dua golongan gandingan politik ketika itu, iaitu golongan progresif dari bawah, yang menjaga "kepentingan rakyat"; sementera satu lagi kombinasi politik dari atas, yang berasaskan perkauman, misalnya UMNO, MCA dan MIC. British memilih untuk berunding dengan golongan UMNO, MCA dan MIC, untuk mengetepikan golongan progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Baca: A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).

Hanya Kerajaan Berjiwa Rakyat Akan Dipilih Rakyat



GEORGETOWN 15 SEPT : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan tempoh enam bulan dari sekarang adalah penentuan samada eksperimen politik dan hasil kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 sebelum ini dapat melahirkan kerajaan berjiwa rakyat di negeri itu atau tidak.

Dalam kenyataan media sempena Hari Malaysia, Guan Eng berkata, usaha Pakatan dalam menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau dan selamat sepanjang tiga tahun setengah mentadbir negeri itu seharusnya sudah menampakkan perubahan dari segi pemikiran dan keyakinan rakyat.

"Warga Pulau Pinang semakin yakin dan optimis terhadap masa depan kerana mereka boleh bergantung kepada kerajaan berjiwa rakyat yang mendengar kata rakyat, melakukan kerja untuk rakyat dan memberi harapan untuk masa depan yang lebih cerah," katanya.

"Sesungguhnya tiada pengganti bagi prestasi, produktiviti dan kecekapan," kata beliau kenyataan tersebut.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang diketuai Guan Eng telah menjadi mangsa serangan bertali arus UMNO di media serta jalanan.

UMNO sebelum ini mendakwa Guan Eng sebagai anti Melayu, anti Islam serta bersubahat dalam perjudian dan menyatakan kerajaan Pakatan sebagai korup sebaliknya tidak satu pun tuduhan tersebut terbukti benar.

Guan Eng yang memperjuangkan dasar ketelusan selari dengan 'buku jingga' Pakatan Rakyat telah berjaya merubah dasar korupsi UMNO BN sebelum ini.

"Perubahan yang paling besar dalam pemikiran telah berlaku ekoran daripada dasar kerajaan berjiwa rakyat Pakatan Rakyat yang menegakkan kedaulatan undang-undang. Di Pulau Pinang, dasar ketelusan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bermakna bahawa sebarang urus niaga tidak lagi memerlukan orang dalam atau orang tengah. Yang diperlukan hanya peraturan dan undang-undang," kata beliau.

Tambahnya, cita-cita Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia adalah untuk membanteras rasuah serta ketidakadilan dalam segenap lapisan masyarakat.

Beliau mahu semua bersepakat dalam semangat setiakawan untuk mencapai aspirasi bersama untuk keadilan, kebenaran, kebebasan, demokrasi dan kebajikan sosial demi masa depan Malaysia yang lebih cerah.

"Hanya dengan ekonomi yang bebas daripada rasuah boleh kita memastikan bahawa rakyat akan makmur dan menerima manfaat. Marilah kita mengazamkan masa depan yang bebas daripada ketakutan dan kronisme. Marilah kita mencita-citakan masa depan di mana semua lapisan masyarakat dan kaum, sama ada Melayu, India, Cina, Kadazan atau Iban, akan dianggap sebagai saudara senegara tanpa sebarang diskriminasi." tambahnya.

Loji Penapisan Minyak Esso Terbakar

PORT DICKSON 15 SEPT : Sebahagian daripada loji penapis minyak milik Esso musnah dalam satu kebakaran di Port Dickson awal pagi tadi melibatkan sebuah pam saluran penghantar minyak dari loji ke kapal.

Kira-kira 100 orang pekerja berada di loji berkenaan semasa kebakaran yang bermula pada lewat tengah malam dan sempat menyelematkan diri sementara api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira empat jam kemudian.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Saadon Mokhtar memberitahu Bernama pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.06 pagi dan mengejarkan enam jentera bomba termasuk unit Hazamat (bahan merbahaya) bersama 32 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima dan kerja memadamkan kebakaran turut dibantu oleh dua jentera bersama-sama 24 anggota pasukan bomba Esso dan Shell.

Tambahnya lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Sementara itu, menurut seorang pekerja di loji berkenaan Kassim Bee Mohamad Kassim, 49, berkata pada awalnya beliau terdengar bunyi mesin yang kuat dan letupan kemudiannya melihat api marak dengan tiba-tiba.

T Mallika, 54, seorang pekerja berkata semasa kejadian, mereka sedang bekerja dan ketakutan serta terus lari keluar menyelamatkan diri apabila melihat api menjulang naik.

Mantan Polis Syak "Rakan" Mat Sabu Cuba Sebar Fahaman Komunis

KUALA LUMPUR 15 SEPT: Bekas pengarah cawangan khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkefli Abdul Rahman mengesyaki golongan yang mendampingi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menerapkan semula fahaman komunis di negara ini.

"Mat Sabu bukan komunis. Saya tidak percaya dia komunis. Tetapi adakah dia akan memperkenalkan siapa orang disekeliling dia. (Orang) yang menyampaikan idea untuk membangkitkan Mat Indera," ujar beliau.

Beliau berkata pendekatan terkini Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipercayai masih bergiat aktif di Selatan Thailand menggunakan ahli-ahlinya yang terpelajar untuk menerapkan ideologi parti itu dalam masyarakat.

"Pergerakan komunis tidak akan mati walaupun kita sudah menandatangani perjanjian tidak bererti ia sudah habis. Walaupun pergerakan komunis sudah habis tapi pemahaman masih ada," katanya ketika berucap di dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Zulkefli bersama tiga panel lain dijemput khas oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam sebuah forum bertajuk'Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan' di mana presidennya Datuk Ibrahim Ali bertindak sebagai moderator.

Inisiatif forum itu dianjurkan bagi menjawab spekulasi yang dicetuskan oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam ucapannya di Tasik Gelugor 21 Ogos lalu menyentuh perjuangan Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Dalam ucapannya Zulkefli menyifatkan ideologi komunis mengatasi agama.

Menurut beliau, mana-mana individu yang telah menawarkan diri untuk menjadi pengikut komunis maka 'segala yang diperjuangkan demi kepentingan manusia'.

"Komunis tidak akan meninggalkan objektif dan matlamat untuk menkomuniskan (masyarakat). Masa tidak menjadi sebarang masalah," katanya lagi.

Tambahnya lagi komunis hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan atas masalah yang melanda negara termasuk sosial, budaya dan perkauman.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai dengan negara Thailand dan PKM di Haadyai pada 2 Disember 1989.

Persetujuan yang dimeterai ketiga-tiga pihak itu menyebut agar PKM menghentikan perjuangan bersenjata selain perlu berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agong Malaysia.

Turut dinyatakan kerajaan Malaysia sedia membantu mana-mana ahli PKM yang telah meletakkan senjata untuk menetap di negara Malaysia untuk memulakan hidup baru.

Namun permohonan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng untuk kembali ke tanah air pada tahun 2009 ditolak kerajaan Malaysia kerana beliau masih memegang jawatan setiausaha agung parti itu.

Beliau yang telah hidup dalam buangan selama 22 tahun pernah memohon untuk kembali ke tempat kelahirannya di Setiawan, Perak.

PR Saran Najib Lepaskan Portfolio Kementerian Kewangan

PETALING JAYA 15 SEPT : Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan beliau kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonominya sejak 3 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat menyatakan sejak Najib memberi tekanan kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 September 2008 untuk menyerahkan Kementerian Kewangan kepadanya, Kementerian itu tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan menerusi Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

"Pakatan Rakyat juga turut sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga Umno.

"Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik,"tulis kenyataan media itu.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat diketuai oleh ahli parlimen Kuala Selangor dari PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi ahli parlimen seperti ahli parlimen Bukit Bendera dari DAP Liew Chin Tong, ahli parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar sepanjang tiga tahun ini untuk meningkatkan pengaruh dan sokongan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Walaubagaimanapun, MBE dan konsep 1 Malaysia dilihat seolah disabotaj sendiri oleh parti beliau iaitu Umno dengan kenyataan berani pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan program tersebut terutamanya kumpulan Pendesak Melayu, Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali dan secara majoriti dianggotai pimpinan akar umbi Umno sendiri.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Najib sebagai Menteri Kewangan, turut mengakibatkan negara kerugian berpuluh juta ringgit kerana kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan beliau.

"Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar.

"Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi," dakwa Pakatan Rakyat.

Justeru, Pakatan Rakyat mahu Najib secara sukarela 'bersara' dari Kementerian itu sebelum keadaan ekonomi Malaysia meruncing.

"Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Datuk Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Tun Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,"katanya lagi.

Lima Syarat PR Relevan, Kerajaan Tidak Ada Sebab Untuk Tolak

SHAH ALAM 14 SEPT: Lima syarat yang diletakkan Pakatan Rakyat (PR) untuk turut serta dalam jawatankuasa khas parlimen (PSC) demi membawa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara harus disambut baik oleh kerajaan demi keadilan sistem pilihan raya itu sendiri dan kebaikan bersama.

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari, syarat atau permintaan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu tidak menyalahi undang-undang malah memenuhi tuntutan rakyat.

"Mengapa tidak...dan apa salahnya kerana pilihan raya adalah satu proses dan permintaan yang munasabah kerana pilihan raya mesti adil dan saya rasa tidak melanggar pun undang-undang.

"Malah saya rasakan dari segi perspektif keadilan.. ia adalah satu perkara yang saya rasa tidak akan menimbulkan masalah kerana negara-negara lain pun sebenarnya sudah ada yang berbincang menetapkan tarikh pilihan raya secara bersama," katanya ketika dihububungi Tv Selangor hari ini.

Pakatan Rakyat menetapkan lima syarat untuk menyertai PSC, antaranya ialah penetapan tarikh pilihan raya umum akan datang mestilah dengan persetujan bersama di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Menurut ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, sekiranya syarat itu diterima, maka ia menjadi sejarah apabila tarikh pilihan raya umum dipersetujui bersama untuk mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

Sementara itu, menurut Aziz Bari, Barisan Nasional yang juga pemerintah pada hari ini mempunyai kelebihan dalam mengetahui tarikh pilihan raya memandangkan Perdana Menteri yang akan memutuskan bila parlimen akan dibubarkan.

"Tarikh itu tidak ditetapkan oleh mana-mana parti tetapi apa yang ada dari segi undang-undang bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran parlimen. Jadi dengan itu, parti pemerintah tahulah tarikh yang hendak dibuat,"katanya.

"Apa yang tidak wajar untuk mempersoalkan tarikh PRU perlu ditetapkan bersama? Kerana apabila kita melihat kepada amalan-amalan di negara yang telah lama amalkan sistem ini, perkara itu tidak ditentang oleh kerajaan, jadi apa masalahnya?," soalnya tegas.

Lantaran itu, beliau menyifatkan Umno menghadapi krisis akut yang melampau apabila berdepan dengan keadaan yang defensif dan tidak selesa dengan permintaan daripada PR untuk penambahbaikan pada sistem pilihan raya yang lebih adil lagi saksama.

Pendapat Aziz itu turut disokong oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Abu Hassan Hasbullah apabila menyatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi pihak pembangkang untuk meletakkan syarat tersebut memandangkan negara mengamalkan demokrasi berparlimen.

"Urusan pilihan raya bukanlah urusan yang hendak berpihak kepada A mahupun B, kerana demokrasi tidak mengajarkan kita kepada apa sahaja amalan yang tidak adil dan tidak sejahtera serta tidak bebas untuk semua orang.

"Jadi sekaligus untuk menyatakan bahawa negara kita merupakan satu-satu negara tunggal di rantau ini yang mengamalkan demokrasi yang abadi, demokrasi yang abadi untuk semua orang, maka sudah pasti kepercayaan yang berpihak kepada mana-mana sikap politik A atau B tidak dibenarkan secara taksub," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau yang juga penganalisis politik berkata, sudah tiba masanya tarikh PRU ke 13 perlu ditetapkan segera bagi kebaikan semua pihak dari terus menimbulkan pertanyaan kepada rakyat.

Abu berkata negara akan rugi jika rakyat pada setiap jam asyik memikirkan soal politik dan dalam masa sama mengabaikan perkara lain yang lebih penting.

Isu Dijajah : Sambutan Merdeka Hanya Sia-sia, Kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR 13 SEPT : Sambutan Hari Kemerdekaan selama 54 tahun ternyata sia- sia jika benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah, seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa hakikat kehadiran British di Malaya adalah kerana mereka bertindak seperti penjajah sekali gus bersetuju dengan kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British, tetapi menegaskan hakikatnya, sultan-sultan akhirnya bertindak mengikut arahan British.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan Mahathir itu juga disifatkan hanya mahu mempertahankan MPN sekali gus sebagai cubaan meyakinkan rakyat yang semakin keliru dengan sejarah tanah melayu.

"Andaian itu adalah cubaan mereka (Umno) untuk lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah. Sekirannya itu andaian mereka, sambutan hari kemerdekaan adalah sambutan yang main-main selama ini," katanya ketika ditemui diluar perkarangan Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES), hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. Apa yang kita lakukan adalah sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke mari dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.

"Seperti di Pulau Pinang, kita dibayar supaya memberikan mereka stesen untuk berdagang... Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka beroperasi seolah-olah kita dijajah.

 Jumaat lalu, Zainal berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemerintahan British sebelum ini hanya bertindak sebagai Perdana Menteri yang menasihat Sultan.

"Ia hanyalah andaian Tun Dr mahathir, seperti negara kita hari ini, Yang Dipertuan Agung adalah pemerintah dan penasihatnya adalah Perdana Menteri, tetapi yang menjalankan tugas eksekutif adalah Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agung adalah penaung, begitu jugalah situasinya pada zaman dahulu, apabila British bertindak sebagai penasihat jadi mereka adalah pemerintah kepada negara kita dahulu." kata beliau.

Katanya lagi, kenyataan Mahthir itu bukan sahaja mengelirukan malah ia memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ekoran keliru dengan fakta dan kesahihan teks pelajaran mereka.

"Situasi ini amat mengelirukan, saya cadangkan agar peperiksaan SPM dan lain-lain ditangguh supaya sejarah dikaji semula kerana pelajar menjadi keliru apabila profesor-profesor yang pakar dalam sejarah kononnya memberi pandangan bertentangan dengan apa yang ada dalam teks pelajaran mereka," jelasnya.


Mat Sabu Fail Saman Utusan Malaysia Hari Ini

KUALA LUMPUR 14 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan memfailkan saman ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada portal The Malaysian Insider.

Sebelum ini kerajaan berkata Mohamad tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebab tindakannya tidak mengancam keselamatan negara.

“Saya dimaklumkan beliau akan memfailkan kes hari ini, setakat ini satu pihak sahaja... Utusan, beliau akan mengadakan sidang media selepas itu,” kata Tuan Ibrahim.

Penghujung minggu lalu, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Tempoh 24 jam yang diberikan beliau kepada akhbar itu berakhir Jumaat lalu.

“Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekali gus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal,” Mat Sabu dipetik sebagai berkata demikian Sabtu lalu.

Mat Sabu sebelum ini menerima serangan bertubi-tubi dari pimpinan Umno dan media arus perdana ekoran menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Perayaan Merdeka Adalah Perayaan UMNO' - Mohamad Sabu




KUALA LUMPUR 14 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan sambutan hari Kemerdekaan yang disambut selama 54 tahun ini bukannya perayaan bersejarah yang disambut seluruh warga Malaysia tetapi sebaliknya lebih tepat digambarkan sebagai hari 'Perayaan Umno'.

Ini kerana, semua catatan dan fakta kemerdekaan yang agresif diwar- warkan media arus perdana kini, hanya mengangkat pejuang Umno dengan mengenetepikan pejuang berhaluan kiri.

Walhal, pejuang berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan banyak lagi, turut berjuang menuntut kemerdekaan negara.

"Sebenarnya semangat patriotik dikalangan rakyat hari ini hampir tidak ada, sebab itu saya gambarkan perayaan kemerdekaan sebagai 'Perayaan Umno' bukannya perayaan rakyat Malaysia.

"Hal ini kerana semangat memperjuangankan merdeka hanya ditumpukan kepada pemimpin Umno dan tidak kepada perjuang-perjuang yang lain, jadi ia lebih tepat dikira sebagai 'Perayaan Umno' dan realitinya rakyat seolah-olah tidak sambut perayaan kemerdekaan," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui TvSelangor diluar Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES).

Beliau juga berpandangan, kerajaan pemerintah kini berdepan dengan jalan sukar untuk kembali menyuburkan erti dan semangat kemerdekaan dalam segenap jiwa rakyat Malaysia melainkan, berlakunya peralihan pucuk pimpinan negara.

"Tidak mampu menghidupakan kembali erti kemerdekaan ini, melainkan kerajaan lain mengambil alih, Umno tidak akan berubah melainkan kerajaan lain melainkan kerajaan lain ambil alih pada pilihanraya ke-13 ataupun akan datang," katanya lagi.