Sidang Nadi Rakyat akan jelajah negeri, daerah - Shamsul Iskandar


 Sidang Nadi Rakyat yang buat julung kalinya berjaya dianjurkan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya hari ini akan diteruskan pada masa hadapan


Pengerusi Sekretariat Sidang Nadi Rakyat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sidang tersebut dianggap berjaya kerana telah menghimpunkan 500 peserta dan lebih banyak lagi yang mengikuti secara langsung di Facebook.


"Ini pertama kali kita sediakan satu platform tidak mengira apa parti. Sebab itu kita sediakan google form dan sesiapa pun boleh mengisi. Termasuk rakan rakan dari pemandu Grab tadi, mereka datang secara walk in


"Kita dapat 2 jam sidang, diberikan ruang banyak pencelahan, isu isu yang telah dibawa sama ada daripada orang biasa sampai ke kumpulan segmen penting seperti pemandu teksi, pekerja kilang dan yang aktif dalam seni dan budaya.


"Ini julung kali format di mana rakyat itu bersuara dan dikawal oleh Speaker, kita buat ala Parlimen," katanya.


Beliau berkata, semua isu yang ditimbulkan oleh rakyat dalam sidang di dewan hotel berkenaan akan menjadi input berguna untuk dibawa ke perbahasan Dewan Rakyat sesi Julai - Ogos ini oleh Ahli ahli Parlimen yang turut hadir.


Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga berkata, sidang berkenaan akan diteruskan ke peringkat negeri dan daerah untuk mendengar suara akar umbi, terutama di negeri negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.


"Sidang Nadi Rakyat akan kita bawa turun ke negeri dan daerah dan formatnya lebih ringkas dan mudah.


"Yang kita perlukan ialah penyertaan rakyat di peringkat negeri dan parlimen. Kita akan turun ke peringkat akar umbi dan dapatkan pandangan akar umbi.


"Saya ingin alu alukan kalau ada rakan yang minat untuk anjurkan boleh hubungi kami. Beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Selangor tadi minta diadakan di tempat mereka.


"Ini akan jadi platform di mana rakyat boleh meluahkan masalah, kerajaan yang kita tadbir boleh mendengar dan ambil tindakan untuk selesaikan masalah," katanya lagi.

Kerajaan 22 bulan: Jangankan PH di Putrajaya, Selangor pun haru biru pelbagai isu

 





Hujah politik yang sering digunakan oleh BN untuk memburukkan Pakatan Harapan (PH) ialah kerajaan 22 bulan yang penuh kelemahan.


Bagaimanapun hal itu tidak disangkal oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.


Katanya, jangankan PH di Putrajaya ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pun dalam 22 bulan terawal negeri itu tidak stabil dan skim kebajikan rakyat pun amat sedikit.


Namun kerana ahli politik yang tidak khianat serta rakyat yang terus memberi kepercayaan maka Pakatan telah membuktikan mampu mentadbir Selangor selama 3 penggal.


"Sebab itu Umno BN jadi pelopor awal kacau bilau politik untuk pecahkan PH. Mereka tahu kalau lebih sepenggal PH perintah Putrajaya sebagaimana berlaku di Selangor atau di Pulau Pinang maka mereka nak dapat balik tak ada peluang. Sebab nyawa politik mereka ialah dana dan aktiviti politik kerajaan.


"Bila mereka tengok harga ayam tak naik, bila tengok menteri ke sana ke mari buat kerja, mereka hasut orang. Bangkit isu kaum, isu perpaduan umah.


"Sekarang mana perpaduan umah? Dulu kata malaikat turut menangis dan bertakbir dengan perpaduan umah, sekarang malaikat bertakbir atau tidak? Sebab dah pecah umah, Umno - Pas tak bergabung.


"Jadi jangan termakan dengan permainan ini. Dalam hujah mereka disebut tengok 22 bulan (untuk mengelakkan PH diundi semula).


"22 bulan (realitinya) kita tadbir Selangor dulu pun haru biru. Dari isu lembu korban, tukar sport rim kereta, buka kandang babi, itulah 22 bulan kita," katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Selangor di Tanjong Karang, malam tadi.


Menurut MB lagi, BN menukar strategi apabila melihat PH menggerakkan formula kejayaan di Selangor mentadbir Putrajaya. Mereka mula memujuk serta memperdaya ahli politik PH yang boleh berkhianat.


Katanya, BN terpaksa melakukan hal itu kerana jika menunggu Pilihan Raya Umum ke 15 maka mereka akan ditenggelamkan oleh rekod PH.


Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia sekiranya mahu mengukur prestasi PH maka lihatlah pentadbiran di 3 negeri pembangkang, bukannya 22 bulan di Putrajaya.


"Kalau nak kata stabil tak stabil, jangan ukur 22 bulan PH di Putrajaya tetapi tengok Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Itu contoh macam mana kita jaga kemakmuran, beri balik sumbangan kepada rakyat," katanya lagi.

ANWAR – JANGAN BIARKAN NEGARA INI JATUH KE TANGAN ORANG2 KORUP

 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata sikap tidak peduli politik dalam kalangan pengundi akan menyebabkan “orang-orang yang korup” menjadi pembuat keputusan yang akan memberi kesan kepada generasi masa depan.

Ketika berucap dalam acara Sidang Nadi Rakyat PKR di Petaling Jaya hari ini, Anwar mengingatkan setiap individu ada kuasa untuk memilih antara yang baik dan buruk.

“Sekarang ada yang sinis terhadap politik kerana perangai (pihak politik) yang biadab dan zalim.

“Tapi kalau kita pilih untuk tolak politik, kita humban masa depan anak-anak kita (untuk) ditentukan oleh orang-orang yang korup.

“Tak kira Melayu, Kadazan, Cina atau India, kita ada pilihan. Jangan izinkan rakyat ‘dihumban’,” kata presiden PKR itu.

Kata Anwar, walaupun dia tidak bertujuan mempertahankan pentadbiran PH selama 22 bulan, tak dapat dinafikan peluang untuk mentadbir negara itu digunakan oleh pemimpin yang dilantik menjadi menteri untuk memperkenalkan perubahan dasar yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Anwar antara lain membangkitkan usaha Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika menjadi menteri pengangkutan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika menjadi menteri pertahanan.

Loke dan Mohamad hadir di acara hari ini.

Pada masa sama, dia mengakui ada kesilapan yang dibuat oleh “pengkhianat” ketika PH mentadbir negara – dipercayai merujuk kepada kumpulan yang meninggalkan PH dalam Langkah Sheraton pada 2020.

Dengan mengambil kira keadaan semasa, Anwar berkata rakyat “tiada pilihan” selain menyokong PH.

“Siapa dapat nafikan kemiskinan kian memburuk? Siapa dapat pertikai jurang antara kaya dan miskin melebar?

“Siapa dapat nafikan elit politik mengumpul kekayaan dan mempergunakan rakyat?” soalnya.

“Ini bukan soal kaum. Ada elit politik Melayu yang khianat, ada Cina dan India yang kaut untuk daripada pekerja, termasuk pekerja asing.

“Semuanya terpalit dalam salah guna kuasa dan rasuah,” katanya lagi.

Sementara itu, Loke dalam ucapannya membangkitkan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjadi timbalan perdana menteri, antaranya menilai harga barangan asas setiap bulan untuk melihat jika ada risiko kenaikan.

Mohamad pula menyentuh tentang sentiman perkauman yang kian digunakan untuk menjustifikasikan dasar yang berisiko membawa Malaysia ke kancah seperti Sri Lanka, yang kini berdepan muflis.

Acara hari ini melibatkan 200 peserta yang mengadakan perbincangan berkenaan kesan peningkatan kos sara hidup terhadap pelbagai kelompok, antaranya belia, wanita, pekerja gig dan pelajar.