ANWAR – JANGAN BIARKAN NEGARA INI JATUH KE TANGAN ORANG2 KORUP

 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata sikap tidak peduli politik dalam kalangan pengundi akan menyebabkan “orang-orang yang korup” menjadi pembuat keputusan yang akan memberi kesan kepada generasi masa depan.

Ketika berucap dalam acara Sidang Nadi Rakyat PKR di Petaling Jaya hari ini, Anwar mengingatkan setiap individu ada kuasa untuk memilih antara yang baik dan buruk.

“Sekarang ada yang sinis terhadap politik kerana perangai (pihak politik) yang biadab dan zalim.

“Tapi kalau kita pilih untuk tolak politik, kita humban masa depan anak-anak kita (untuk) ditentukan oleh orang-orang yang korup.

“Tak kira Melayu, Kadazan, Cina atau India, kita ada pilihan. Jangan izinkan rakyat ‘dihumban’,” kata presiden PKR itu.

Kata Anwar, walaupun dia tidak bertujuan mempertahankan pentadbiran PH selama 22 bulan, tak dapat dinafikan peluang untuk mentadbir negara itu digunakan oleh pemimpin yang dilantik menjadi menteri untuk memperkenalkan perubahan dasar yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Anwar antara lain membangkitkan usaha Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika menjadi menteri pengangkutan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika menjadi menteri pertahanan.

Loke dan Mohamad hadir di acara hari ini.

Pada masa sama, dia mengakui ada kesilapan yang dibuat oleh “pengkhianat” ketika PH mentadbir negara – dipercayai merujuk kepada kumpulan yang meninggalkan PH dalam Langkah Sheraton pada 2020.

Dengan mengambil kira keadaan semasa, Anwar berkata rakyat “tiada pilihan” selain menyokong PH.

“Siapa dapat nafikan kemiskinan kian memburuk? Siapa dapat pertikai jurang antara kaya dan miskin melebar?

“Siapa dapat nafikan elit politik mengumpul kekayaan dan mempergunakan rakyat?” soalnya.

“Ini bukan soal kaum. Ada elit politik Melayu yang khianat, ada Cina dan India yang kaut untuk daripada pekerja, termasuk pekerja asing.

“Semuanya terpalit dalam salah guna kuasa dan rasuah,” katanya lagi.

Sementara itu, Loke dalam ucapannya membangkitkan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjadi timbalan perdana menteri, antaranya menilai harga barangan asas setiap bulan untuk melihat jika ada risiko kenaikan.

Mohamad pula menyentuh tentang sentiman perkauman yang kian digunakan untuk menjustifikasikan dasar yang berisiko membawa Malaysia ke kancah seperti Sri Lanka, yang kini berdepan muflis.

Acara hari ini melibatkan 200 peserta yang mengadakan perbincangan berkenaan kesan peningkatan kos sara hidup terhadap pelbagai kelompok, antaranya belia, wanita, pekerja gig dan pelajar.