Guna rakyat nak PRU, lepas menang bolot kekayaan
Kebosanan dan kelesuan rakyat terhadap politik disentuh oleh pembicara penutup Sidang Nadi Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun berbanding kritikan yang dilontarkan oleh para pembicara awal terhadap ahli politik dan kelesuan tindakan mereka, Presiden KEADILAN itu memberi peringatan kepada rakyat, sama ada berubah bersama ahli politik yang baik atau terima kepimpinan sedia ada yang bobrok.
Katanya, ahli politik Pakatan Harapan (PH) akan berusaha untuk menjadi lebih baik dan mereka juga pernah berusaha dalam kerajaan 22 bulan lalu untuk memperbaiki keadaan tetapi disabotaj oleh ahli politik pengkhianat.
“Kita punyai pilihan. Semuanya diberikan pilihan. Memilih yang baik atau membiarkan yang bobrok.
“Parti politik, gerakan rakyat, NGO, budayawan, pekerja grab semua tidak boleh terlepas. Kita ada tanggungjawab.
“Sekarang banyak yang sinis kepada politik kerana perangai segelintir yang rasuah, biadap dan zalim. Tetapi jika kita menolak politik, kita memilih untuk menghumbankan masa depan anak anak kita ke satu lembah yang hina dan ditentukan oleh orang yang korup memimpin.
“Kita ada pilihan, jangan izinkan rakyat dihumbankan. Reform itu bermula dari diri kita, apakah kita senang dengan kebobrokan yang berlaku.
“Kenyataan yang tidak boleh dimungkiri, kesempatan itu pernah dimanfaatkan oleh beberapa tokoh (Menteri PH) dalam mengendalikan kementerian dengan baik dan cemerlang, dan prihatin terhadap permasalahan rakyat,” katanya.
Pengerusi PH itu turut membariskan beberapa jasa PH ketika memerintah. Termasuk Menteri Pertahanan ketika itu membongkar skandal dan penyelewengan di kementeriannya sendiri.
Bagi Anwar, rakyat tidak banyak pilihan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk mengurangkan kemiskinan, merapatkan kesenjangan jurang kekayaan dan menolak amalan rasuah berleluasa.
“Ini bukan soal kaum, ada elit politik khianat, ada ahli politik Cina fikir kekayaan, ada ahli politik India mengaut keuntungan termasuk dari pekerja dari Bangladesh. Semua terpalit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Sebab itu ada langkah sekarang mula menyerang badan kehakiman kerana takut kepada badan kehakiman yang bebas. PH berdiri dan tegak dari awal untuk menegakkan keadilan. Dari awal menyuarakan denyut nadi rayat
“Saya syorkan gerakan ini turun ke bawah. Tiap negeri, daerah, dengar pesawah, pemandu grab, teksi, pekerja, penganggur, wanita semua keresahan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memberi amaran agar rakyat sedar mereka telah dan akan dipergunakan oleh elit politik BN dan PN terutama menjelang PRU ke 15.
Isu perkauman, agama dan sebagainya, kata Anwar, sengaja ditimbulkan untuk membuai minda dan jiwa rakyat serta melupakan realiti pahit di sekitar kehidupan. Kemudian menyokong politikus khianat, untuk kemudian selepas menang rakyat dilupakan sehinggalah 5 tahun berikutnya.
“Rakyat ini ibarat dalam pusi Khairil Anwar ‘binatang jalan dari kumpulannya terbuang’. Digunakan satu detik dalam pilihan raya.
“Masa itu berdegar degar soal kaum, agama. Mana isu kaum sekarang ini? Kemudian kekayaan dikaut oleh sekelompok kecil.
“Oleh yang demikian kerja kita ialah bangkit selamatkan negara ini. Tolak perasuah dan penzalim. Menang kalah soal lain, soal kerja, kita perlu laksanakan sepenuhnya,” katanya lagi.
Beliau juga mahu teguran yang dilontarkan terhadap sebarang kelemahan Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dicatat, dan mengarahkan Pengerusi Sekretariat Sidang Nadi Rakyat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan teguran tersebut bagi pihak rakyat jelata.