Malaysia memasuki pusingan 'jaman edan' atau era mengenepikan kewarasan apabila sebahagian rakyat memuja seseorang yang jelas bersalah korupsi dalam masa sama mencela orang lain yang berjuang ke arah kebenaran.
Hal itu diungkapkan Pengerusi Pakatan Harapan dalam siri ceramah Jelajah Harapan Selangor, malam tadi di Tanjong Karang.
Menurut Anwar, rakyat seharusnya menekuni karya pujangga besar Jawa, Ronggo Warsito yang pernah mendapat penghargaan presiden pertama Indonesia, Sukarno dan karyanya dicetak dan disebar ke seluruh negara.
"Apa maksud pujangga Jawa ini? Dia menulis tentang apa dia jaman edan. "Amenangi jaman edan"
"Jalan edan lantik orang yang merosak, penzalim penjilat penjajah Belanda. Orang tidak prihatin terhadap derita rakyat. Orang baik dipenjarakan, orang jahat dilantik. Akhirnya apa berlaku? Kelaparan. Kerana sistem itu rosak, elit yang berkuasa memunggah kekayaan dan rakyat terbiar.
"Dalam hadapi masalah ini, kita ada ciri ciri jaman edan. Orang yang jelas rasuah diangkat disanjung. Yang lain dihina, dikecam. Tidak dibenarkan bicara isu yang menyentuh kepentingan rakyat," katanya.
Oleh itu, Anwar mengingatkan rakyat agar mengikuti nasihat Ronggo agar sentiasa berwaspada dan beringat dalam setiap langkah.
"Dalam hal ini kita runsing, kacau bilau pemikiran kita. Nak bawa ke mana kita ini?
"Jawab dia menghadapi jaman edan: "eling lan waspado", beringat dan waspada. Tahu yang hak dan batil. Yang adil dan yang zalim. Tahu apa erti kuasa, memperkaya golongan atasan atau untuk membantu rakyat.
"Bagaimana kita nak beringat? Kita kena ambil tahu (isu semasa dan politik sekeliling)," katanya.
Anwar dalam ceramah itu juga menyeru hadirin yang mendengar agar menyampaikan kepada jiran tetangga mengenai kebaikan polisi Selangor penyayang yang membantu rakyat dari usia bayi sehinggalah usia emas dan khairat kematian setelah meninggal dunia.
Tiada negeri lain, katanya yang menjaga rakyat dengan sebegitu banyak bantuan dan perlunya kerajaan PH dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15.