'Jika rakyat enggan terlibat politik, serahkan negara diperintah perasuah'






Kerajaan BN - PN tidak berminat menyelesaikan masalah rakyat dan hanya ingin mengekalkan kuasa serta merebut kemewahan sebagai pemerintah.


Menurut Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia, Syamil Luthfi (gambar, atas), perebutan jawatan dalam kerajaan mengakibatkan pentadbiran tidak efisyen dalam menangani isu kenaikan harga barang dan negara seolah olah hilang kawalan terhadap keperluan utama rakyat.


"Ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan ayam harga RM5.90, dikata Melayu Islam terancam.


"Selepas itu berebut jawatan, berebut nak jadi Perdana Menteri dalam kalangan kerajaan BN - PN. Kini kita lihat bagaimana harga ayam, harga minyak, harga beras untuk kita makan (melambung).



"Kerajan BN, PN tidak peka dengan kita. Bagaimana mungkin mereka peka, 1 Julai dikatakan untuk kawal harga kembali.


"Namun apa yang jadi? Sebelum ini harga ayam dijanjikan RM9.60 tetapi sekarang mencecah RM10 sekilo," katanya dalam syarahan "Speakers Corner" di Pasar Seni, Kuala Lumpur, petang semalam.


Syamil mempersoalkan apakah atas nama Melayu dan Islam rakyat boleh diperbodohkan untuk menerima kenaikan harga dan Menteri dibenar tidak berbuat apa apa untuk menanganinya?



Justeru, beliau mahu rakyat terlibat sekali lagi dalam politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini bagi membuat perubahan total sebagaimana mereka melakukannya pada PRU 14 lalu.


"Malu kerajan kononnya Melayu - Islam tetapi melihat rakyat hari ini disepak dengan harga yang tak masuk akal. Bangkitlah lihat betapa kejamnya kerajaan yang tidak mementingkan keperluan kita.


"Ada satu perkara yang boleh kita atasi mereka. Sekiranya hari ini kita menolak untuk berpolitik, menolak memilih yang terbaik, maka jahanamlah negara kita pada PRU akan datang," katanya lagi.


Himpunan "Speakers Corner" semalam berjaya menghimpun beberapa pemimpin mahasiswa dari beberapa universiti utama tanah air seperti UM, UIA dan sebagainya dalam syarahan meluahkan rasa tidak puas hati para mahasiswa berhubung perkembangan semasa politik dan sosial tanah air.