Ketika BN kalah pada PRU14 lalu, Presiden UMNO waktu itu, Najib Razak sedang terhimpit rapat dengan skandal 1MDB yang menggegarkan dunia.
Mahu tidak mahu, harus diakui penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN pada waktu itu adalah bererti penolakan pengundi kepada pemimpin yang mempunyai skandal.
Oleh kerana yang dimahukan rakyat untuk memimpin negara dan kerajaan adalah pemimpin yang bersih, tidak rasuah, tidak terlibat skandal dan tidak memalukan negara, maka sebab itulah UMNO dan BN telah ditolak oleh pengundi.
BN buat pertama kali ditolak pada PRU 2018 itu seiring dengan Najib yang merupakan Presiden UMNO pertama yang mempunyai skandal yang memalukan negara.
Mendepati PRU15 akan datang, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi walaupun tidak terlibat dalam apa-apa skandal sebesar 1MDB sebagaimana Najib, tetapi beliau sedang berdepan perbicaraan atas 87 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Meskipun di peringkat perbicaraan ini kita belum boleh mengatakan beliau sebagai bersalah, realitinya kedudukan Zahid Hamidi adalah lebih berat jika dibandingkan dengan Najib ketika PRU14 dahulu.
Berbanding Najib ketika 2018 itu, beliau hanya dikaitkan dengan skandal 1MDB, namun belum dibawa kepada sebarang pertuduhan di mahkamah.
Sebaliknya, Zahid Hamidi bukan saja sedang dibicarakan di mahkamah, bahkan jika diikuti keterangan beberapa saksi dalam perbicaraan kesnya, sama ada berkaitan Yayasan Akalbudi atau Sistem Visa Luar Negara, pasti ramai yang geleng kepala dibuatnya melihatkan bagaimana rasuah itu didedahkan telah berlaku.
Selain itu, dengan kedudukan Zahid Hamidi hari ini, jika Najib adalah Presiden UMNO pertama yang terkait skandal besar 1MDB, beliau pula adalah satu-satunya Presiden UMNO yang berdepan perbicaraan kes di mahkamah di ketika parti mahu bertanding PRU.
Mengambil kira keadaan itu dan membandingkannya dengan PRU14 yang menyaksikan UMNO ditolak pengundi, perkara yang menjadi persoalan besar ialah apakah dalam keadaan Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan di mahkamah dan mengetuai jentera dalam PRU15, rakyat masih mahu mengundi BN?
Tidakkah jika pengundi memenangkan BN, ia bermakna negara berisiko akan jatuh ke tangan orang yang tidak bersih dalam menentukan masa depannya?
Meskipun BN telah setuju untuk menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri dalam menghadapi PRU15 akan datang, keadaan itu tidak menjadikan UMNO dan BN terus jadi bersih atau boleh dianggap bersih selagi Zahid Hamidi masih kekal sebagai Presiden UMNO serta Pengerusi BN.
Ini kerana, dengan kedudukannya seperti sekarang, Zahid Hamidi masih berkuasa menentukan calon pilihan raya, mencadangkan barisan kabinet dan sebagainya jika ditakdirkan BN menang PRU15 akan datang.
Malah, jika mengambil kira kenyataan Tajuddin Abdul Rahman, bekas ahli MT yang dipecat baru-baru ini, beliau berkata, Zahid Hamidi sebenarnya ingin mencalonkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.
Makna kata, berdasarkan kenyataan Tajuddin itu, pemilihan Ismail Sabri sebagai “poster boy” untuk menghadapi PRU15 boleh jadi hanyalah propa UMNO semata-mata.
Sediakah pengundi memenangkan BN jika mereka merasakan yang akan beroleh kuasa nanti ialah Zahid Hamidi yang sedang bertimbun kes mahkamah dan bukan Ismail Sabri?
Dalam hal ini, jika matlamat perjuangan sesebuah parti ialah untuk beroleh kuasa dan menjadi kerajaan, kenapa Zahid Hamidi masih bermati-mati ingin mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO sebelum PRU15 diadakan dan enggan membuka laluan kepada Ismail Sabri yang sudah menjadi Perdana Menteri untuk mengambil alih teraju kepimpinan UMNO?