RAJA A FAMOSA DAN LIM SIAN SEE



Amir Zuhair











Ketika saya sudah lena diulit mimpi malam tadi, telefon saya tidak berhenti bergegar. Hairan juga, tetapi saya tidak mengendahkannya kerana terlalu mengantuk. Rupanya, pelbagai perkara berlaku dalam satu malam.


1. Mantan Dato’ Undang Jelebu membuat kenyataan akhbar, diapit oleh mantan Dato’ Undang Rembau dan Dato’ Undang Johol, sambil menunjukkan satu dokumen yang kononnya merupakan “proklamasi” untuk menurunkan takhta DYMM Tunku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.


Apabila melihat dokumen tersebut pagi ini, rasa hendak tergelak pun ada. Namun, pada saya, biarlah. Itu mungkin sekadar persoalan teknikal yang kadang-kadang terlepas pandang apabila seseorang terlalu kelam-kabut untuk membuat sesuatu keputusan.


Yang lebih menarik perhatian saya bukanlah dokumen tersebut, tetapi sikap sebahagian netizen yang menyokongnya.


Saya pernah bersembang dengan beberapa individu yang begitu yakin bahawa mereka “handal” dan memahami segala perkara berkaitan isu ini. Namun, apabila ditanya mengapa Yang di-Pertuan Besar Tunku Muhriz perlu diturunkan, tiada jawapan yang benar-benar tuntas. Hujah yang diberikan sekadar mengocak air, tetapi tidak menjawab persoalan pokok.


Akhirnya, alasan yang muncul ialah kononnya anakanda Yang di-Pertuan Besar menyokong DAP.


Apabila saya bertanya pula tentang kekanda Tunku Nadzaruddin yang pernah menganggotai lembaga pengarah Carlsberg, sebuah syarikat yang jelas mempunyai kegiatan bertentangan dengan prinsip Syariah dan hukum Islam, maka terus senyap dan topik dialihkan kepada cerita port memancing.


Sedangkan, menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, persoalan berkaitan kelayakan seseorang untuk menjadi pemerintah bukanlah perkara yang boleh diputuskan sesuka hati berdasarkan sentimen politik.


Tidak pula dipersoalkan siapa isteri yang lebih baik menutup aurat.


2. Pola yang sama dapat dilihat dalam kalangan golongan yang kononnya menyokong usaha menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Tunku Muhriz.


Semangat dan cita-cita memang tinggi, tetapi pengetahuan serta kemampuan untuk menilai sesuatu secara kritikal tidak semestinya seiring. Cerita kedai kopi dianggap sebagai fakta, khabar angin pula diangkat menjadi rekod sejarah. Akhirnya, segala-galanya digunakan untuk memuaskan kemarahan dan kecenderungan politik sendiri.


Masalahnya bukan sekadar salah fakta. Masalah yang lebih besar ialah apabila seseorang sudah tidak lagi membezakan antara apa yang benar dengan apa yang ingin dipercayainya benar.


3. Dalam isu agama pun, corak yang hampir sama dapat dilihat.


Ada yang lebih mempercayai seorang ‘Cina kafir’, Lim Sian See, apabila bercakap mengenai Rukun Islam dan ibadah Haji berbanding penjelasan institusi seperti Tabung Haji dan pandangan mufti.


Dalam isu Hibah Haji misalnya, ada yang mengambil sesuatu fakta secara terpilih lalu mendakwa bahawa hibah untuk tujuan Haji merupakan hak umat Islam, sedangkan persoalan istitaah merupakan antara perkara asas yang perlu difahami dalam kewajipan menunaikan Haji.


Apabila agama dibincangkan berdasarkan potongan fakta, sentimen dan apa yang ingin didengar, akhirnya hukum yang kompleks disederhanakan menjadi slogan politik.


4. Lebih membimbangkan, agama dan undang-undang kemudiannya ditafsirkan berdasarkan akal, kecenderungan dan kepentingan politik sendiri.


Yang lebih parah ialah apabila pemimpin mengetahui tahap pengetahuan dan pemikiran sebahagian penyokongnya, tetapi keadaan itu tidak digunakan untuk mendidik. Sebaliknya, kelemahan tersebut terus dimanfaatkan untuk mengukuhkan sokongan politik.


Dalam keadaan seperti ini, penyokong bukan lagi sekadar pengikut. Mereka boleh menjadi mangsa kepada manipulasi maklumat.


5. Sebab itu, pada saya, apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah terus berusaha memandaikan orang di sekeliling kita.


Tanya justifikasi sesuatu pendirian. Minta sumber. Semak fakta. Kemukakan maklumat yang sahih. Dan apabila ada kekeliruan, betulkan dengan ilmu, bukan dengan penghinaan.


Golongan yang terpengaruh dengan retorik seperti ini bukan untuk dibenci atau dipulaukan. Sebaliknya, mereka perlu disantuni dan diberikan pengetahuan yang mencukupi supaya mampu membentuk pemikiran berdasarkan fakta, ilmu dan prinsip yang benar.


Kita tidak mungkin mengubah semua orang dalam sehari. Tetapi sekurang-kurangnya, kita boleh memastikan semakin ramai orang belajar membezakan antara fakta dengan propaganda, ilmu dengan retorik, dan kebenaran dengan apa yang sekadar mahu dipercayai.


Kerana akhirnya, masyarakat yang berilmu lebih sukar dieksploitasi oleh mana-mana pemimpin yang mahu mempergunakan kejahilan untuk kepentingan politik.


- intaha -





No comments: