Terminal Ketiga Pelabuhan Klang Lonjak Status Malaysia Hab Maritim Asia

 


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir pada Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2026. Foto MOT

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Malaysia menyasar menjadi hab maritim utama di Asia Tenggara menerusi pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey di Selangor, yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek mega yang bakal dilaksanakan secara berfasa itu merupakan langkah kritikal bagi memastikan daya saing maritim negara kekal kukuh dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Beliau berkata, kapasiti sedia ada di Pelabuhan Klang ketika ini adalah sekitar 20 juta unit setara 20 kaki (TEU) berbanding Pelabuhan Tuas di Singapura yang mampu mengendalikan hingga 60 juta TEU setahun.

“Pelabuhan Tuas tiga kali ganda lebih besar daripada Pelabuhan Klang sedia ada (sekarang). Sudah tentu jika kita mahu bersaing, kita memerlukan kapasiti dan infrastruktur yang besar.

“Pembangunan di Pulau Carey ini bertujuan untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan mega yang boleh mengendalikan TEU dalam jumlah yang besar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir pada Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2026. Foto MOT

”Perancangan ini penting bagi memastikan persaingan ataupun daya saing negara kita tetap kukuh, tetap kuat dalam tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN di sini, hari ini.

Mengulas status terkini projek itu, Loke berkata kajian kebolehlaksanaan yang bermula sejak 2018 telah selesai, dan kabinet secara prinsipnya telah memberikan kelulusan untuk meneruskan projek itu melalui model kerjasama awam-swasta (PPP).

“Ada (beberapa) isu mengenai tanah yang sedang kita uruskan sekarang dengan Kerajaan Negeri Selangor. Sejurus selepas isu tanah dapat diselesaikan, maka kita akan ‘kick-start’ (mulakan pembinaan) projek ini tak lama lagi,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Loke berkata kerajaan telah meluluskan projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan serta logistik.

Sementara itu, berhubung impak ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap industri maritim, Loke berkata kedudukan geografi Malaysia menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan perlindungan selamat di rantau ini.

Katanya, konflik global itu tidak menjejaskan operasi pelabuhan tempatan malah Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan pertumbuhan volum yang positif pada suku pertama tahun ini.

“Walaupun ketidaktentuan geopolitik ini merupakan satu ancaman global, ia juga membuka peluang buat pelabuhan di ASEAN, khususnya Malaysia, kerana banyak aktiviti pemindahan kapal kini beralih ke sini atas faktor keselamatan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar negara anggota ASEAN dapat bekerjasama lebih rapat lagi untuk mempertahankan prinsip neutraliti dan keselamatan di Selat Melaka bagi memastikan laluan perdagangan antarabangsa itu kekal bebas daripada sebarang konflik.



No comments: