7 ‘hadiah’ buat Peneroka FELDA: Rumah, tanah, sekolah… pendapatan pun bertambah

 


Isu perumahan generasi kedua FELDA yang berlarutan sejak sekian lama kini memasuki fasa penyelesaian apabila kerajaan mengumumkan tujuh insentif baharu merangkumi perumahan, pendidikan, kesihatan, kebajikan kakitangan serta peningkatan pendapatan peneroka.

Pengumuman itu dibuat sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 dan ulang tahun ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Antara langkah paling signifikan ialah penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu membabitkan generasi kedua FELDA, khususnya berkaitan penyediaan rumah dan hak pemilikan tanah.

Kerajaan turut bercadang meminda Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman menerusi konsep dua rumah satu lot (2R1L).

Cadangan pindaan itu kini berada di peringkat akhir penelitian sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak 8,000 unit rumah di bawah konsep 2R1L telah siap dibina dan diduduki, manakala penyambungan bekalan air dan elektrik akan diluluskan berdasarkan permohonan yang diterima.

Bagi pembinaan rumah baharu selepas tarikh berkenaan, kerajaan meminta semua pihak memberi ruang untuk proses pindaan undang-undang dimuktamadkan bagi memastikan pengurusan hak milik tanah di rancangan FELDA dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Dalam usaha memastikan lebih ramai generasi baharu memiliki kediaman sendiri, kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang sebelum ini terbengkalai.

Projek berkenaan dikenal pasti tertangguh akibat kelemahan perancangan dan pemantauan.

Pengurusan FELDA diarahkan meneliti setiap projek secara terperinci serta mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan, manakala laporan kemajuan perlu dibentangkan setiap dua minggu sehingga projek selesai.

Kerajaan negeri dan syarikat utiliti juga diminta mempercepat proses penyediaan kemudahan asas bagi memastikan rumah yang siap dapat didiami tanpa kelewatan.

Selain itu, kerajaan meluluskan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek Sentuhan Kasih FELDA berasaskan pertanian di dua lokasi iaitu Laka Selatan, Kedah melibatkan 86 unit dan SKF Palong, Negeri Sembilan melibatkan 100 unit.

Kedua-dua projek berkenaan dilaporkan sudah mencapai kemajuan antara 60 hingga 70 peratus tetapi berdepan kekangan kewangan untuk disiapkan sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan Lot Generasi FELDA (LGF), sebanyak 31,954 lot telah dikenal pasti di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Daripada jumlah itu, 21,932 lot masih belum mempunyai hak milik.

Kerajaan akan mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri bagi mencari kaedah mengurangkan beban kos penyediaan infrastruktur, termasuk kemungkinan sebahagian kos ditanggung Kerajaan Persekutuan.

Selain isu perumahan peneroka, beberapa insentif lain turut diumumkan.

Antaranya ialah RM450 juta bagi membaik pulih serta membina rumah kakitangan FELDA di seluruh rancangan penempatan dalam tempoh tiga tahun.

Kerajaan juga menyediakan RM28.85 juta bagi memperluaskan program literasi digital, membaik pulih sekolah rendah dan menengah di 370 rancangan FELDA, selain menubuhkan Skuad Sukarelawan Maya FELDA.

Turut diumumkan ialah keputusan mengembalikan model jualan minyak sawit mentah kepada sistem asal yang digunakan sebelum penyenaraian Koperasi Permodalan FELDA (KPF) dalam FGV.

Langkah itu dijangka memberi tambahan manfaat pendapatan sehingga RM42 juta kepada peneroka melalui KPF.

Pengumuman tersebut menerima sorakan daripada ribuan peneroka yang hadir, sekali gus dilihat sebagai antara inisiatif yang memberi kesan langsung kepada pendapatan mereka.

Dengan tujuh insentif yang diumumkan, fokus kerajaan kini bukan sahaja menyelesaikan isu legasi FELDA, malah menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kesejahteraan generasi baharu peneroka melalui penyelesaian perumahan, pemilikan tanah, pendidikan serta peningkatan pendapatan.





No comments: