BN, PH dominasi kerusi putih

 


Foto hiasan
Foto hiasan

DARIPADA keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, sekurang-sekurang 32 dianggap 'kawasan putih' atau kerusi selamat bagi parti atau gabungan parti tertentu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Daripada 32 kerusi itu pula, sekurang-kurangnya 23 DUN dilihat berpihak kepada Barisan Nasional (BN), terutama lapan kerusi yang dianggap paling selamat, iaitu DUN Buloh Kasap, Machap, Tanjung Surat, Larkin, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nenas dan Kukup.

Asasnya kerana selain memiliki peratusan pengundi Melayu yang tinggi, saingan utama BN bagi segmen pengundi sama, iaitu Perikatan Nasional (PN) dilihat agak lemah kali ini, khususnya dengan keputusan PAS menarik diri pada saat akhir di beberapa DUN.

Keputusan parti komponen BERSATU dalam PN itu dilihat memberi nilai tambah dan faktor mengukuhkan lagi kedudukan BN di lapan kerusi terbabit.


Biarpun di sebilangan kawasan seperti DUN Larkin, rekod keahlian PAS tidaklah ramai, iaitu sekitar tiga cawangan sahaja, sokongan diperoleh PN terutama undi Melayu pada PRN terdahulu dan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 agak memberangsangkan.

Bagi 15 lagi kerusi, BN bergantung pada faktor undi teras yang tinggi untuk terus menguasai DUN Sri Medan, Parit Raja, Semarang, Rengit, Layang-Layang, Mahkota, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar serta Kukup.

Merujuk DUN Sri Medan yang sekian lama menjadi kubu kuat BN, penyandang kerusi yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dikekalkan sebagai calon dan popularitinya yang mesra disapa 'Tok Jun' ini memang sukar digugat.

Sama juga di Parit Raja di mana BN mengekalkan penyandang dua penggal, Nor Rashidah Ramli. Naib Ketua UMNO Bahagian Sri Gading ini memiliki kelebihan kerana cukup dikenali berbanding pencabarnya daripada PN dan PH.

Reputasi Ketua UMNO Air Hitam, Datuk Samsolbari Jamali, calon bagi mempertahankan DUN Semarang yang dimenanginya sejak 2004 masih sukar digugat, sama juga dengan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja yang sekian lama menjadi kubu kuat UMNO.

8 kerusi PH paling selamat

Bagi PH, lapan kerusi dilihat paling selamat dan dijangka terus didominasi gabungan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, khususnya DAP adalah Skudai, Senai, Perling, Mengkibol, Penggaram, Bentayan, Stulang dan Johor Jaya.

Selain menang dengan majoriti besar pada PRN Johor dan PRU empat tahun lalu, PH juga memperoleh undi popular tinggi di semua kerusi terbabit dengan jurang yang besar berbanding pesaing terdekat.

Selain jadi tumpuan jentera kempen, pemimpin utama PH juga berkampung di lapan DUN itu sejak minggu lalu dengan sambutan serta jumlah kehadiran dilihat pada ceramah mega dianjurkan mereka saban malam menggambarkan pengaruh kuat gabungan itu.

Dua lagi DUN, Johor Jaya dan Stulang bagaimanapun dijangka menyaksikan saingan sengit PH dan BN berikutan jurang undi majoriti tipis diperoleh PH dalam PRN terdahulu, namun kelebihan dilihat tetap berpihak kepada gabungan diterajui Perdana Menteri itu.

Di Stulang, PH mengekalkan Andrew Chen Kah Eng untuk mempertahankan kerusi berkenaan atas faktor popularitinya dan sosok cukup dikenali penduduk setempat kerana sudah menjadi wakil rakyat di situ sejak 2013.

Baki 25 kerusi DUN lagi diramal bakal menyaksikan persaingan sengit, bukan saja oleh BN dan PH, tetapi juga PN dan beberapa parti lain yang turut menyertai PRN Johor kali ini.

DUN Bukit Batu contohnya, berdepan saingan cukup sengit kali ini, dengan pertembungan lima calon, iaitu Chiong Sen Sern mewakili PH, R Kumaran (BN), Kamaruzaman Ali (Bebas), G Tamili (BERSAMA) dan wakil MUDA, M Premanand.

Kemenangan tipis PH, sekadar 137 undi diperoleh pada PRN Johor 2022 melalui wakil PKR, selain penyertaan BERSAMA dan MUDA kali ini berupaya mengancam undi PH, meletakkan saingan sengit kali ini, khususnya antara PH dan BN.

Di DUN Senggarang, taruhan PH ialah Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar untuk merampas semula kerusi berkenaan pernah dimenangi parti itu pada 2013 dengan majoriti kecil 809 undi sebelum dirampas kembali BN pada 2022.

PH tidak boleh bersandar pada keputusan diperoleh mereka di kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU 2022 memandangkan undi kemenangan Onn ketika itu banyak disumbang dari DUN Penggaram, yang didominasi DAP.

DUN Puteri Wangsa yang disandang Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga dilihat bukan laluan mudah buat PKR walaupun menampilkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang akan bersaing dalam pertembungan lima penjuru.

Saingan PH dan BN di Parit Yaani tidak kurang sengitnya dengan AMANAH cuba merampas semula kerusi pernah dimenanginya daripada BN, bersandarkan faktor pengundi Cina yang ramai, khususnya di pusat daerah mengundi (PDM) Tongkang Pechah.

Keputusan PAS tidak meletakkan calon di kerusi berkenaan dijangka berupaya mengalih undi Melayu untuk sepenuhnya memihak kepada calon UMNO, Datuk Mohamad Najib Samuri, sekali gus mengekalkan penguasaan BN di kerusi terbabit bagi penggal kedua.

Dari aspek PN, konflik PAS dan BERSATU mengakibatkan saingan gabungan itu kali ini dilihat kurang menyengat. Biarpun ratusan jentera dikerah ke kawasan sasaran, kehadiran mereka dilihat masih belum berupaya menandingi kempen agresif BN dan PH.

PAS seperti biasa menjadikan pentas ceramah sebagai platform memperkenalkan calon, langkah sedikit berbeza bagaimanapun diambil BERSATU yang lebih bertumpu kepada kempen rumah ke rumah dan bertemu pengundi di lapangan.

Namun, parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat masih mampu memberi saingan, khususnya di utara dan timur Johor dengan beberapa kerusi menjadi sasaran seperti Maharani, Bukit Kepong, Sungai Balang, Bukit Pasir dan Serom.

BERSAMA pula dilihat lebih menonjol berbanding MUDA, namun penampilan sulung parti diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam saingan pilihan raya ini dianggap sekadar mahu menguji sokongan rakyat.





No comments: