
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan, ibu negara Republik Tatarstan, Russia, malam tadi bagi lawatan kerja selama dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia ke-35 yang berlangsung pada 17 dan 18 Jun 2026. Foto Bernama
KAZAN, 17 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Russia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia, yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan jam 10.20 malam waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia pada Rabu).
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai serta delegasi Russia diketuai Menteri Digital Tatarstan, Ilya Nachvin, yang diiringi Datuk Bandar Kazan, Ilsur Metshin dan para pegawai Jabatan Protokol Negara berkenaan.
Menurut Wisma Putra, sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Russia yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu akan memberi peluang kepada ASEAN dan Russia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lalu dan merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Russia.

“Perbincangan dijangka menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama praktikal dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan dan interaksi langsung antara sesama rakyat,” kata Wisma Putra.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan mengenai Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Russia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan dan Pelan Tindakan Komprehensif untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Russia 2026-2030.
Menurut Wisma Putra, dokumen itu akan menjadi panduan kerjasama ASEAN-Rusia bagi tahun-tahun yang akan datang dan menyokong usaha untuk membina perkongsian yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.

“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, mengetengahkan Kepusatan ASEAN dan memajukan kerjasama praktikal dengan Rakan Dialog dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” maklum kenyataan itu.
Ketika di Kazan, Anwar dijadual bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin dan Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov serta mengadakan pertemuan dengan rakan anggota ASEAN untuk membincangkan hubungan dua hala dan isu yang menjadi perhatian bersama.
Antara agenda yang akan diberi tumpuan oleh Perdana Menteri ialah menggalakkan dialog dan keamanan, menyokong daya tahan ekonomi, memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan serta mempererat hubungan antara rakyat.
Lawatan ke Kazan adalah kunjungan ketiga Anwar ke Russia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Kali pertama Perdana Menteri berkunjung ke Russia ialah pada September 2024 bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur di Vladivostok disusuli lawatan rasmi ke Moscow pada Mei 2025, yang menyaksikan beliau mengadakan perbincangan dengan Putin mengenai pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.
No comments:
Post a Comment