Jason.
1. Saya baca laporan berita tentang kemelut terbaharu antara Bersatu dan PAS. Macam budak-budak berebut mainan. Dulu mereka tebuk atap bersama-sama, sekarang bila sudah bergelut kelaparan kuasa, mereka saling bertebuk atap sesama sendiri pula.
2. Waktu mula-mula tebuk atap dulu, alasannya cukup mulia. Kononnya terpaksa buat begitu demi 'perpaduan ummah' dan nak selamatkan bangsa Melayu dan agama Islam. Rupanya, bila masing-masing sudah hilang jawatan, ummah pun dibiar berterabur.
3. Hari ini, PAS sudah terang-terang buang Bersatu. Kata Presiden PAS, Bersatu gila kuasa. Pelik sungguh. Waktu sama-sama seronok dapat jawatan menteri dan lantikan GLC dulu, tak pula PAS nampak Bersatu itu gila kuasa.
4. Yang lebih menyedihkan, Muhyiddin masih terhegeh-hegeh mahu kekal dalam PN. Dia berkeras mahu guna logo PN. Alasan dia, Bersatu yang wujudkan PN.
5. Ini ibarat tuan rumah kena halau oleh tetamu, tapi masih sanggup bentang tikar merayu nak tidur di luar pagar rumah sendiri.
6. PAS pula terbukti cukup mudah menukar rakan kongsi. Dulu mereka sokong Muhyiddin, sekarang bila ada parti baharu ditubuh oleh Hamzah Zainudin, mereka angkat Hamzah pula sebagai Ketua Pembangkang.
7. Nampak sangat prinsip parti label agama ini amat mudah. Sesiapa sahaja yang boleh ditunggang untuk mereka kekal relevan dan berkuasa, itulah 'kawan' mereka.
8. Muhyiddin pula kini berdegar-degar kata sedia lawan PAS di semua bahagian. Dulu peluk cium bersumpah setia atas nama agama. Hari ini siap isytihar perang habis-habisan di setiap ceruk.
9. Inilah kesudahannya bila sebuah parti ditubuh bukan kerana prinsip atau perjuangan tulen untuk rakyat, tetapi semata-mata kerana ketuanya nak sangat jadi Perdana Menteri. Bila matlamat tak tercapai, kawan sebantal pun bertukar jadi musuh.
10. Akhirnya, yang terus rugi adalah rakyat. Bagi ahli-ahli politik ini, yang penting asal dapat kerusi. Laungan perjuangan bangsa dan agama rupanya sekadar modal pancing undi waktu pilihan raya tiba.
#perpecahan ##perikatannasional #muhyiddinyassin #hadiawang

No comments:
Post a Comment