Rasuah: Berapa kali tukar kerajaan, yang belum tukar sistem korup - Anwar




 Rakyat yang bakal mengundi pada 19 November ini diingatkan agar berfikir matang sebelum melakukan proses memilih kerajaan selepas berpengalaman diperintah oleh PN dan kerajaan BN - PN dalam 3 tahun kebelakangan.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kali ini bukan semata mata untuk memilih kerajaan atau Perdana Menteri tetapi kerajaan manakah yang akan menukar sistem pemerintahan kepada yang lebih baik.


"Kita harus faham untuk melwan korupsi, 1MDB semua orang tahu tetapi adakah perubahan (sistem) dibuat?


"Seorang mantan PM telah masuk Penjara Kajang tetapi sistem itu diteruskan. Beza kesalahan biasa dan rasuah ialah rasuah itu merobohkan sistem dan institusi, dan tentunya memiskinkan rakyat.


"Bagi saya pertimbangan dalam PRU ini ialah berikan alternatif. Tukar kerajaan, tukar parti berapa kerajaan telah ditukar? Yang belum ditukar ialah sistem.


"Budaya rasuah dipegang oleh parti parti, semua itu (kononnya) menentang rasuah. Bapa perasuah pun kata kita tolak kleptokrat. Kalau tolak hang pun merudum," katanya dalam forum bertajuk "Ada Apa Dengan Koruspsi" di Nexus Connexion Conference Centre, Bangsar South, semalam.


Mengenai projek kerajaan atau penglibatan modal kerajaan dalam perniagaan pula, Anwar bertegas perlunya tender terbuka atau pemilihan yang telus agar wang rakyat tidak dibazirkan.


Mengulas isu penyedia spektrum 5G yang melibatkan kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) yang menelan modal sekitar RM18 bilion, beliau menolak pendekatan tidak telus dalam penubuhan syarikat tersebut.


"DNB kaji semula kos. Tidak sebagaimana sekarang tak ada tender. Kekaburan ini yang memungkinkan rasuah itu menular.


"Yang orang marah bukan projek tetapi kegilaan buat mega projek. Padahal mutu pendidikan keutamaannya, sekolah baik, universiti kelas dunia perlu diutamakan. Tetapi tidak, semua nak yang besar kerana komisen dia tinggi. Kalau SME susah nak dapat satu projek 20 juta (komisen)," katanya.


Calon Ahli Parlimen Tambun itu juga menyentuh mengenai peranan dakwah yang tidak cukup dalam membangkitkan kesedaran umum dan perlunya rakyat Malaysia menolak rasuah secara total.


"Dalam tazkirah dakwah, dia sepintas lalu sahaja sebut rasuah. Dia anggap rendah (remeh) hal rasuah. Itu sebab ada tokoh Islam yang menyebut rasuah (1MDB) mana ada bukti. Ini meremehkan. Dia tak tahu semua khalifah hebat, misalnya Umar Abd Aziz itu integritinya amat kuat," katanya lagi.

No comments: