AHLI MT UMNO TEGUR KJ, SEKARANG BUKAN MASANYA BERCAKAP NAK JADI PERDANA MENTERI

 

KHAIRY Jamaluddin sepatutnya fokus untuk menang kerusi Parlimen Sungai Buloh terlebih dulu sebelum bercakap tentang cita-cita menjadi perdana menteri, kata Johari Abdul Ghani.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata fokus perlu diberikan terlebih dulu kepada memenangi sebanyak mungkin kerusi daripada 222 kerusi yang ada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Johari berkata menang pilihan raya bukan tugas seorang individu dan Barisan Nasional (BN) perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamatnya untuk menawan sebanyak kerusi yang boleh.

Beliau berkata BN perlu menubuhkan kerajaan bersama wakil rakyat yang ada kemampuan dan kredibiliti, dapat bekerjasama dan membangunkan semula ekonomi negara.

“Kalau ramai orang menyokong dia (Khairy menjadi perdana menteri), kenapa tidak?. Tak ada masalah.

“Tapi soalnya sekarang kita bukan bercakap soal perdana menteri, tapi kita bercakap tentang nak dapatkan 222 ahli Parlimen yang mempunyai kelayakan, kecekapan dan pengalaman untuk membangunkan semula ekonomi negara kita yang terjejas,” katanya dipetik daripada Berita Harian ketika kempen untuk kerusi Parlimen Titiwangsa hari ini.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata cita-cita Khairy yang juga menteri kesihatan untuk menjadi perdana menteri pada masa depan akan bergantung kepada PRU ini.

Selasa lalu, Khairy dalam satu ceramah di Sungai Buloh, menyatakan hasrat memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, dan yakin impian itu mampu dicapai sekiranya beliau berjaya menawan kerusi Parlimen Sungai Buloh untuk BN.

Khairy sebelum ini memegang kerusi Rembau selama tiga penggal tetapi pada PRU15 beliau memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Khairy berdepan cabaran daripada calon Pakatan Harapan R. Ramanan, Ghazali Hamin (Perikatan Nasional), Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Zukri Faisal (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon bebas.

Penyandang Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa yang memegang kerusi itu selama tiga penggal untuk PH, digugurkan daripada bertanding kali ini kerana masalah kesihatan. – 10 November, 2022.




No comments: