Pas, Umno paling teruk berpecah PRU 15
Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 boleh memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan kerana parti lawan yang utama seperti Umno dan Pas berpecah begitu teruk.
Hal itu kerana, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu, belum pernah dalam sejarah politik Malaysia pemimpin Umno yang tidak tercalon menjadi calon Pas dan pemimpin yang ditolak Pas menjadi calon Umno.
“Kita hadapi pilihan raya kali ini, saya masuk pilihan raya sejak 1982. Pertama saya bertanding lawan Dolah Badawi.
“Yang kedua lawan Datuk Seri (anwar Ibrahim). Nak buat macam mana, aku Pas, dia Umno. Setiap kali kita masuk pilihan raya kita hadapi Umno dalam keadaan paling solid dan tidak berpecah, walau pun waktu hadapi zaman S46, Umno tetap solid.
“Tetapi kali kita masuk PRU dalam zaman Umno berkecai dan Pas berkecai sekali dalam sejarah.
“Bekas Setiausaha Majlis Shura Pas tak dapat jadi calon Pas, jadi calon Umno. Seorang lagi pula dah 6 kali jadi Ahli Parlimen, pernah jadi Menteri Besar Perlis, Menteri 2 kali. Tak dapat jadi calon Umno, jadi pula calon pro Pas. Pi cium tangan ustaz Hadi minta berkat.
“Aku minta jangan jadi macam tu. Kot dapat jadi menteri balik, tak dapat jadi calon pergi cari sapa nak bagi jadi calon. Jangan jadi macam tu. Malu kepada katak,” katanya disambut gelak ketawa kira kira 8,000 hadirian dalam ceramah Jelajah Mega Harapan Negeri Sembilan malam tadi.
Calon Ahli Parlimen Kota Raja itu menyeru agar pengundi di parlimen Tampin memenangkan Pakatan Harapan pada 19 November ini kerana hanya dengan cukup bilangan kerusi sahaja yang boleh membawa pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kedudukan Perdana Menteri Malaysia ke 10.
“Nak jadi PM ini cukup bilangan, Mahyuddin Yasin tu apa dia layak? Orang peringkat dunia tak tahu dia jadi PM Malaysia. Gaya dia tak dak muka PM. Apa lagi Ismail Sabri, masuk parlimen hari belanjawan muka dia jadi empat segi kerana tertekan dengan rakan kabinet dia.
“Boleh dia hantar surat kepada Agong sebagai ketua kabinet, ada lagi 12 Menteri lain dari Bersatu dan Pas kata pilihan raya biar lewat. Ertinya menteri kabinet gulingkan Ismail Sabri. Bukan kami dari PH.
“Dia dipaksa bubar (parlimen),” katanya.
Mohamad berkata, sekiranya Anwar menang kali ini maka tanggungjawab beliau berat untuk memulihkan ekonomi negara. Tetapi hal itu boleh dilakukannya dengan sokongan rakan rakan dalam PH.
“Datuk Seri Anwar tanggungjawabnya berat. Nak kena bina balik matawang kita, rizab kena jaga, jangan bagi menteri curi. Bagi kat kami elaun (menteri) cukup padan, dah la,” katanya lagi.