Ringgit ditutup rendah
berbanding dolar AS berikutan harga minyak yang merosot dan tekanan yang
ditingkatkan oleh jangkaan meningkat mengenai keputusan kenaikan kadar faedah
yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat esok, kata penganalisis.
Pada
6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5585/5595 berbanding dolar AS
daripada 4.5495/5515 pada Isnin, lapor Bernama.
Penganalisis
Pasaran Kanan OANDA Eropah Craig Erlam berkata bank pusat, termasuk Bank of
England, Swiss National Bank dan South African Reserve Bank, telah bersedia
pada minggu ini untuk memberikan kenaikan kadar yang besar dalam usaha
berterusan memerangi inflasi.
“Bank
of Japan juga akan bermesyuarat pada Khamis tetapi topik perbincangan dijangka
mengenai cara untuk menjana inflasi yang mampan dan yen yang meningkat,”
katanya dalam nota penyelidikan.
Pada masa ini, harga minyak
mentah Brent merosot 0.16 peratus kepada US$91.85 setong.
Sementara
itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia
susut berbanding pound kepada 5.2049/2060 daripada 5.1678/1700 semalam dan
merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2341/2353 daripada 3.2261/2278
sebelum ini.
Unit
tempatan turut susut berbanding euro kepada 4.5608/5618 daripada 4.5372/5392
pada Isnin dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1725/1734 daripada
3.1706/1724 semalam.