Langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera kerana mereka mahu menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, dakwa Ketua Bahagian Bersatu Nibong Tebal, Yaakob Osman.
Sudah diketahui sekiranya PRU-15 diadakan semasa musim banjir, UMNO mempunyai kelebihan kerana mereka sedang berkuasa dan dapat menggunakan jentera kerajaan untuk membantu kempen mereka, semestinya ahli-ahli UMNO yang menjadi mangsa banjir sahaja akan ditolong nanti, kata Yaakob.
“Yang sebenarnya ini adalah tactical move. Jika PRU musim banjir ada dua kelebihan jelas kepada mereka.
“Pertama mereka akan menggunakan segala jentera kerajaan yang ada untuk bantuan banjir tetapi berlapiskan BN (Barisan Nasional). Juga pergerakan pengundi pun mereka akan sanggup uruskan dengan jentera kerajaan untuk mengangkut pengundi merentas banjir untuk mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.
Yaakob menyifatkan Zahid memberi alasan tidak logik kononnya UMNO dan BN mahu berkorban untuk rakyat tetapi sebenarnya hanya mahu merebut kuasa demi kepentingan peribadi.
Jelas Yaakob lagi, apabila PRU-15 diadakan semasa musim banjir sudah pasti jumlah peratusan pengundi juga akan rendah khususnya pengundi luar yang tidak dapat pulang untuk mengundi nanti.
“Keduanya mereka menghitung jika musim banjir, maka kuranglah pengundi luar yang akan pulang ke kampung untuk mengundi.
“Ini satu kelebihan jelas kepada mereka terutama sekali di Kelantan dan Terengganu yang peratusan pengundi luarnya tinggi dan menjadi penentu kepada siapa yang akan menang,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Zahid dilaporkan berkata PRU-15 mesti diadakan dengan segera walaupun semasa musim banjir melanda negara dan membidas pembangkang yang didakwa kepanasan kerana takut akan kalah.
Cakap-cakap mengenai PRU-15 semakin berlegar apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri terus mendapat tekanan daripada partinya untuk mengadakan PRU.
Khabar angin ini terus diperkuatkan lagi apabila Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kabinetnya akan membentangkan Bajet 2023 tiga minggu lebih awal, iaitu pada 7 Oktober, dengan penganalisis meramalkan bahawa beliau akan membubarkan Parlimen pada hari berikutnya.