KUASA PREROGATIF PENGAMPUNAN, SULTAN SELANGOR SOKONG TITAH AGONG

 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman.

Baginda bertitah kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dukungan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak eksekutif.


“Sehubungan dengan itu, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda juga menyeru agar rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Sultan Sharafuddin bertitah sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan sokongan padu baginda terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Sept lepas, berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Titah baginda, rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukkan di bawah perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda. – Bernama


No comments: