‘Nak tunggu kami jadi arwah?’ soal
mangsa banjir di Baling makin hilang sabar
PETALING JAYA: Bukan sekali, sebaliknya sudah tiga kali banjir kilat melanda Kampung Iboi, Baling, Kedah yang membuatkan penduduk semakin hilang sabar menanti tindakan sepatutnya diambil pihak berkuasa.
Mangsa banjir, Rabiatul Adawiyah, berkata sebagai penduduk, dia melihat masih tiada tindakan pantas dan drastik diambil sejak banjir besar melanda Jun lalu sehingga banjir kali ketiga baru-baru ini.
“Banjir besar hari itu empat orang mati, kami tak nampak tindakan drastik pun, setakat manis di mulut. Banjir bukan boleh tunggu, dengar kata nak buat titi besar, dalamkan sungai, (namun) setakat ini apa ‘progress’? Nak tunggu berapa lama? Nak tunggu jadi arwah ke?
“Memang kami tak puas hati, kecewa dan sakit hati, semua ada. Banjir dah jadi tiga kali, kami nak bersihkan, tanggung balik rugi barang rosak, penat macam ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
Menurutnya, sejak bencana banjir besar itu, dia merasakan tidak selamat lagi untuk tinggal di kawasan itu yang diibaratkan bom jangka menanti waktu untuk meletus.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal ketika dihubungi berkata, bukan saja Kampung Iboi dalam risiko, malah beberapa kawasan di sekitar Bukit Iboi dan Sungai Kupang turut berada dalam bahaya.
Katanya, kawasan yang berisiko antaranya Kampung Teluk Saba, Kampung Pisang, Kampung Hangus, Kampung Tebing Tinggi dan Pekan Kupang, di mana ramai penduduk tidak mampu berpindah.
“Kawasan berisiko sekarang ialah Bukit Iboi, kawasan perumahan dan kampung lain yang berdekatan bukit dan Sungai Kupang. Orang tumpu kawasan Iboi, (tapi) ada lagi kawasan lain dalam risiko yang belum berpindah.”
Katanya, projek mendalamkan sungai dilihat tidak berjalan seperti diharapkan dan kesannya, penduduk masih berdepan risiko banjir, malah hidup dalam ketakutan setiap kali musim hujan.
“Kaedah dan perancangan nampak macam tiada, tebing sementara habis terhakis balik, sungai jadi cetek macam asal balik. Jadi, sebelum ini yang mereka korek nak dalamkan sungai macam tiada guna.”
Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan telus yang turut melibatkan wakil penduduk berhubung punca banjir dan aktiviti perladangan durian Musang King.
Beliau turut menggesa projek ladang durian Musang King dihentikan secepat mungkin, dengan tindakan pantas perlu diambil sebelum perkara tidak diingini berlaku.
Untuk rekod, banjir kepala air kali pertama melanda Kampung Iboi, Baling pada 4 Julai lalu, diikuti 28 Julai dan 6 Sept lepas.
Banjir kepala air pada 6 Sept lalu berlaku selepas hujan selama 30 minit saja yang menyebabkan jambatan Bailey baru dibina hampir runtuh dan beberapa keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.