'Rakyat gunakan kuasa undi tumbangkan BN, naikkan PH dalam PRU 15'




Rakyat Malaysia diharapkan menggunakan kuasa undi di tangan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN - PN yang tidak mampu melaksanakan urustadbir baik dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.


Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH), Nurthaqaffah Nordin, tidak akan ada harapan bagi generasi muda yang belajar tinggi tetapi tiada pekerjaan, atau mengimpikan membeli rumah tetapi harganya tidak mampu dibeli.


Dengan kerajaan yang ada sekarang, katanya, rakyat akan hidup dalam keadaan 'cukup makan' sahaja.


"Impian kita tidak akan tercapai kalau pemimpin negara gagal tunai tanggungjawab. Malah mereka curi duit negara untuk penuhkan poket sendiri. Beli kereta mahal. Baju mahal. Besarkan rumah. Bercuti di luar negara.


"Sedangkan rakyat di bawah dalam keadaan susah. Tiap hari fikir beras dan lauk untuk kita suap keluarga kita.


"Maka jika kita tak mahu ada pemimpin begini, kita harus gunakan kuasa kita. Kuasa kita ialah undi kita sebagai rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Nurthaqaffah lagi, setiap undi amat berharga dan akan menentukan negara sama ada terus dalam kemuraman eknomi dengan kejatuhan nilai ringgit yang tidak 'kebah' seperti hari ini atau kembali menjadi perkasa sebagaimana negara negara jiran.


"Setiap undi kita semua boleh ubah nasib diri, ahli keluarga, kawan-kawan, anak-anak malah generasi masa depan.


"Kita ada kuasa untuk undi pemimpin yang amanah, tidak rasuah, turun ke bawah, selesaikan masalah rakyat yang menawarkan politik khidmat. Inilah juga yang dituntut oleh Islam.


"Kita ada kuasa untuk undi pemimpin yang benar-benar mahu sediakan peluang pekerjaan, bangunkan rumah mampu milik, pastikan beras, minyak, ayam tidak mahal dan rakyat boleh beli," katanya.


Justeru, Ketua Wanita Muda (WARDA) Nasional itu menyeru rakyat Malaysia untuk gunakan kuasa undi dan pilih pemimpin yang benar-benar layak menjadi wakil rakyat.


Rakyat yang sinis pula katanya, tidak perlu bimbang kerana ketika ini undang undang negara tidak lagi membenarkan lompat parti dan setiap parti pilihan mereka pada PRU 15 kelak akan pasti terus menjadi kerajaan sehingga tamat penggal.


"Sekarang kita ada Akta Anti Lompat Parti yang boleh lindungi kuasa undi kita. Mana-mana ahli politik yang nak khianat, akan dilucutkan jawatan sebagai wakil rakyat.


"Jadi keluarlah mengundi Pakatan Harapan. Kita masih ada harapan untuk mengubah Malaysia menjadi lebih baik," katanya lagi.