Pemuda Amanah Negeri Perak merasa sungguh terkejut dengan
pendedahan Laporan PAC berhubung Kapal Peronda Generasi Kedua- Littoral
Combatant Ship (LCS) yang turut melibatkan satu majlis upacara penamaan dan
pelancaran yang telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku
Zara Salim sambil disaksikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah pada 24 Ogos 2017 yang lalu.
2. Telah didedahkan pada majlis tersebut menyaksikan sebuah
kapal LCS yang diberikan nama KD Maharaja Lela yang telah siap dan dilancarkan
di Pengkalan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) Lumut yang mana hakikat
sebenarnya adalah satu penipuan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia bahkan
kepada Institusi DiRaja kerana terheret sama ditipu dan dipermain-mainkan.
3. Justeru, Pemuda AMANAH Negeri Perak mendesak Kerajaan Negeri
Perak khasnya membuat satu laporan Polis kerana telah berlaku satu penipuan
pelancaran kapal LCS tersebut dan ia melibatkan nama baik serta imej Institusi
DiRaja dan Pemuda AMANAH Negeri Perak juga mengharapkan tindakan yang sama juga
daripada Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga bekas Menteri Besar Perak
ketika itu
4. Penipuan tersebut jelas telah mencemar Institusi DiRaja Perak
khasnya yang sewajarnya tidak berlaku dan apa pun penjelasan yang telah serta
bakal diberikan tidak akan menidakkan majlis upacara penamaan dan pelancaran
kapal LCS tersebut yang telah berlaku dan permohonan maaf secara terbuka juga
wajar didesak dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab dahulu dan
sekarang ini.
Khairol Najib Hashim
Ketua Pemuda Amanah Negeri Perak
8 Ogos 2022