Kalau ‘bersuara’ saya teruskan saman, Khairuddin ingatkan pihak ‘panaskan’ isu tanah LGM
PETALING JAYA: Khairuddin Aman Razali mengancam meneruskan saman terhadap pihak dan individu yang menyebarkan fitnah isu pajakan serta penjualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang pernah dikaitkan dengannya Jun tahun lalu sekiranya isu tersebut “dipanaskan” semula pihak lawan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu membuat amaran berkenaan sekiranya masih kedengaran suara-suara yang memfitnah beliau membabitkan syarikat tersebut sewaktu menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
“Saya mengambil sikap peringkat awal menyaman mereka, cuma bila zaman telah berlalu saya biarkan sahaja…kita malas bergaduh.
“Saman yang saya buat (tahun lalu) belum saya tarik lagi, bererti masih ada cuma tidak aktifkannya sebab tak ada serangan…kalau ada orang masih tuduh saya lagi, saya akan saman pihak terbabit. Buat apa nak panaskan barang yang sudah sejuk?” katanya ketika ditemu bual FMT.
Khairuddin berkata, mustahil untuk beliau bertindak meluluskan tanah milik LGM bagi apa juga tujuan sekiranya belum diluluskan ahli Lembaga Pengarah, seterusnya beliau menganggap isu itu hanya fitnah bagi tujuan politik murahan.
“Tuduhan ke atas saya tiada merit, kalau ada merit tentu pihak berkuasa ambil tindakan. Tidak ada satu kes pun yang dikaitkan dengan saya, tapi biasalah orang politik ini cuba mencari ruang untuk melihat di mana kelemahan.
“Sehingga hari ini pihak berkuasa tidak pernah menghubungi saya untuk dipanggil (bagi siasatan), sebab tidak ada isu. Itu hanya tuduhan,” katanya.
Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis, 6 Jan dan 11 Mac yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal tanah itu.
Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun, dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.
Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.
Dakwaan itu disokong Ahli Parlimen Jerantut dari Umno merangkap bekas pengerusi LGM Ahmad Nazlan Idris yang menuduh Khairuddin campur tangan dalam skandal tanah agensi itu.
Susulan tuduhan itu, Khairudin membuat laporan polis dan memfailkan saman terhadap mereka yang disifatkan sebagai pemfitnah.