SKANDAL LCS MAKIN PANAS, PM PERLU TANGGUH DULU HASRAT NAK BUBAR PARLIMEN

 

Berikutan usul pindaan perlembagaan UMNO yang menetapkan pemilihan parti hendaklah diadakan selepas PRU15 dilangsungkan telah mendapat kelulusan RoS, banyak pihak menjangkakan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada tahun ini juga.

Ada beberapa tarikh yang diramalkan sebagai pilihan untuk Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen, antaranya selepas 21 Ogos iaitu setelah genap setahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri atau selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada Oktober.

Tambah mengukuhkan lagi kemungkinan itu ialah bila mana beberapa hari lalu Ismail Sabri sendiri menyatakan beliau tiada pilihan lain selain terpaksa membubarkan Parlimen jika PN menarik sokongan di sebalik mereka didapati kian meningkatkan tekanan terhadapnya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan Ismail Sabri itu dilihat menunjukkan beliau sudah bersedia pada bila-bila masa untuk mengadakan PRU15.

Tetapi, dengan kemunculan isu kapal perang LCS yang tak siap-siap, walau pembayaran lebih RM6 bilion telah dibuat, kesediaan Perdana Menteri untuk menghadapi PRU15 nampaknya perlu difikirkan semula.

Malah, isu tersebut yang kini makin hari makin panas itu seperti sudah dianggap suatu skandal besar yang turut mengaitkan nama UMNO sebagai parti yang memimpin kerajaan ketika pembelian kapal perang itu bermula.

Dua pemimpin utama UMNO kini terkait dan dikaitkan secara langsung dalam isu tersebut iaitu Najib Razak selaku Perdana Menteri ketika kontrak LCS ditandatangani pada 2011 dan Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan antara 2009 hingga 2013.

Kebetulan kedua-duanya adalah kelompok kluster mahkamah yang sedang menguasai parti ketika ini, tetapi sering pula berlaga angin dengan pemimpin UMNO sendiri yang berada dalam kerajaan atau dipanggil kluster kabinet.

Apatah lagi dengan sikap Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang pura-pura tidak mahu mengaku kontrak LCS ditandatangani ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan dan tingkah laku Najib yang asyik menyalahkan pihak lain, walhal beliau adalah Perdana Menteri dan individu paling berkuasa di ketika yang sama.

Dengan satu demi satu pendedahan dimunculkan, bahkan ia dijangka berterusan lagi dalam beberapa hari atau minggu mendatang, isu LCS ini secara nyata telah memberi imej yang buruk kepada UMNO.

Belum pun UMNO tersuci daripada skandal 1MDB, nampaknya isu LCS ini sudah menjadi malapetaka yang sedang menggerbang di depan mata seluruh rakyat jelata.

Di sisi lain, ada yang beranggapan, daripada ada jawatan hingga hilang jawatan, tak habis-habis kluster mahkamah ini mendatangkan masalah kepada UMNO.

Bersamaan dengan itu, ramai orang juga mula takut untuk memberi kuasa sebagai kerajaan kepada UMNO lagi lantaran bimbang lebih banyak skandal bakal berlaku di masa depan.

Inilah yang dinamakan dek kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

Ini dengan sendirinya bermakna sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kerana penolakan rakyat lebih mungkin diterjemahkan di kertas undi berbanding sokongan.

Berdepan hal ini, Ismail Sabri harus bersabar dan bertenang dahulu serta jangan tergesa-gesa mahu membubarkan Parlimen.

Bertenang dan fikir sebentar, tetapi lagi baik jika dapat diputuskan satu dua tindakan terlebih dahulu seperti menubuhkan badan siasatan dan mengheret sekali mana-mana pihak yang terbabit atau bersekongkol ke muka pengadilan.

Selepas itu dan setelah keadaan tenang sedikit, barulah sesuai untuk membubarkan Parlimen, selain dalam beberapa bulan akan datang, rakyat juga mungkin tidak lagi terbeban sangat dengan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Jangan bimbang atau takut dengan desakan kluster mahkamah yang mungkin berterusan mendesak mahu PRU15 diawalkan kerana PN dan PH sudah pun berjanji untuk terus memberi sokongan sehingga ke akhir penggal.

Lagi pun beban, tanggungjawab dan cara berfikir pemimpin yang menguruskan negara tidaklah sama dengan orang yang selalu turun naik mahkamah dan laluan ke penjara sedang terbentang di depannya.

Sebelum pertengahan tahun depan adalah masa paling sesuai untuk mengadalan PRU15.

Kalau Perdana Menteri boleh bertahan sehingga Julai 2023 dengan tenang, bahkan lebih banyak masalah perlu dihadapi jika PRU15 diawalkan, buat apa cepat-cepat nak bubarkan Parlimen? – Shahbudinhusin 09/08/2022.



No comments: