TAK PERNAH BERUBAH, MASIH ADA PEMIMPIN UMNO TABUR WANG BELI SOKONGAN

 

Perkara yang paling merosakkan perjuangan UMNO selama ini ialah amalan politik wang.

Politik wang atau menggunakan wang untuk membeli sokongan bukan perkara baru, tetapi makin hari ianya makin membarah dalam UMNO.

UMNO diharamkan pada 1987 dan BN kalah pilihan raya pada 2018, mahu tidak mahu, harus diakui mempunyai kaitan yang ketara dengan amalan politik wang.

Politik wang atau dijenamakan dengan “cash is king” malah terbukti tidak mampu menongkat BN daripada dijatuhkan pada 2018.

Dengan itu, sepatutnya apabila hilang kuasa dan kemudian berpeluang menggenggam semula kuasa, pemimpin UMNO sepatutnya sedar masalah yang menjadi punca kerosakan parti itu.

Malangnya, semua itu tidak berlaku, bahkan ada pemimpin UMNO sekarang ini yang tanpa segan silu dilaporkan terus menjadikan amalan membeli sokongan menggunakan wang sebagai kegemaran yang berterusan.

Seorang pemimpin yang diketahui bercita-cita ingin naik lebih tinggi dalam kerjaya politiknya difahamkan sanggup membeli sokongan daripada Ketua-Ketua UMNO bahagian dengan memberikan sejumlah wang yang besar kepada mereka.

Dikatakan setiap seorang Ketua UMNO bahagian itu telah diberikan sejumlah puluhan ribu ringgit untuk memastikan sokongan mereka kepada pemimpin berkenaan kekal tidak berubah.

Tujuannya tidak lain ialah agar beliau terus disokong dan disambut secara besar-besaran sepanjang masa di mana saja program turun padangnya diadakannya.

Matlamatnya hanya untuk memperlihatkan sokongan ramai yang dimilikinya, kemudian dibesar-besarlah melalui media sosial dengan harapan akan memudahkan laluan ke puncak lebih tinggi.

Difahamkan pemimpin berkenaan juga menabur banyak wang untuk gerombolan media sosial bagi membentuk pemikiran orangramai seolah-olah rakyat sentiasa bersamanya.

Soalnya, kenapa pemimpin berkenaan beria-ia mahu naik lebih tinggi hingga sanggup menggunakan wang?

Bukankah UMNO sekarang ini sudah ada Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan beliau seharusnya lebih disokong untuk memastikan parti beroleh kemenangan dalam PRU15 akan datang?

Tetapi dengan perlakuan membeli sokongan itu, untuk apa pemimpin berkenaan sanggup berhabis wang ringgit untuk mendapatkan sokongan yang jelas bagi dirinya semata-mata?

Kenapa wang itu tidak diberikan terus kepada semua UMNO bahagian sebagai bantuan bagi persiapan menghadapi PRU15?

Beliau mahu UMNO menang atau sekali lagi ingin melihat BN kalah? – ShahbudinHusin 23/6/2022.




No comments: