CADANGAN UNTUK PM, APA KATA GAJI MENTERI2 DIPOTONG 50 PERATUS KETIKA RAKYAT SUSAH SEKARANG INI


 Di mana-mana ketika ini kedengaran rakyat sedang merungut dan marah berikutan beban kenaikan kos sara hidup yang diakibatkan oleh meningkatkan harga barang-barang keperluan seharian.

Ditambah dengan pemansuhan subsidi minyak sawit berbotol dan tiada lagi kawalan harga syiling bagi ayam dan telur bermula 1 Julai depan, adalah dijangka harganya akan turut meningkat naik.

Tidak itu saja, harga makanan lain yang menggunakan minyak masak, ayam dan telur juga pasti akan meningkat sama.

Di waktu yang sama, tersebar pula berita bahawa gergasi pengeluar minyak sawit negara, FGV Holding yang sahamnya dikuasai 80 peratus oleh Felda, akan bermesyuarat hari ini yang antara agendanya ialah menaikkan elaun tahunan pengerusinya daripada RM300 ribu kepada RM480 ribu.

Selain itu, sebelumnya juga kedengaran ura-ura TNB bakal menaikkan tarif letrik pengguna kononnya kerana peningkatan kos operasi.

Di mata pengguna, di kala waktu ini hanya hujan yang kerap turun, malah menyebabkan kesesakan dan banjir kilat, apakah semua benda pula mahu naik belaka?

Walaupun semalam Perdana Menteri mengumumkan tambahan RM100 bagi Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM untuk golongan B40 serta pengekalan subsidi bagi minyak masak berpaket, ramai yang merasakan ia tidak memadai dalam keadaan semua harga menaik ketika ini.

Terdengar perbualan di kedai kopi, kenapa tak ditambah kenaikan kepada RM500?

RM100 mana cukup, tambah mereka lagi.

Bagi majoriti rakyat, dalam keadaan seperti sekarang, siapalah lagi yang mereka harapkan melainkan hanyalah kerajaan yang sedang menguruskan negara.

Mereka bukan saja mahu lebih banyak tindakan atau kaedah penyelesaian bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup itu dilakukan oleh kerajaan, malah juga inginkan para para menteri menunjukkan simpati yang sewajarnya.

Dalam keadaan ini, sementara kita sedar Perdana Menteri dan pasukan kabinetnya tentu saja sedang berusaha melalui pelbagai cara untuk mengurangkan beban hidup rakyat, tetapi kadangkala cara yang diambil itu tentunya akan memakan masa.

Di waktu yang sama, rakyat yang kena pergi ke kedai setiap hari untuk berbelanja pasti saja semakin koyak poket mereka.

Sebagai tanda simpati, adalah dicadangkan agar Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri mengambil inisiatif mengarahkan semua menterinya melakukan potongan gaji sebanyak 50 peratus dengan serta merta.

Bukan saja Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri harus berkorban melakukan potongan gaji, lagi baik jika duta-duta bertaraf menteri dan lain-lain lantikan politik juga dipotong sama gaji mereka.

Walaupun mungkin ada yang menganggap potongan 50 peratus gaji itu terlalu tinggi, tetapi harus disedari semua mereka itu mempunyai pelbagai elaun lain yang jumlahnya lebih daripada cukup bukan saja untuk memewahkan kehidupan, malah cukup untuk menyara lebih daripada satu keluarga.

Lagi pula, bukan semua menteri rajin bekerja dan ada memberi idea yang berguna untuk rakyat dan negara, sesetengahnya macam makan gaji buta saja nampaknya.

Jadi, potongan gaji 50 peratus itu cukup munasabah dan janganlah asyik dengan potongan 10 peratus saja.

Potongan 10 peratus itu sudah ketinggalan zaman dan telah diamalkan sejak zaman tok kaduk dulu lagi.

Takkanlah zaman tik-tok ini masih nak potong 10 peratus lagi?

Jika potongan 50 peratus ini dapat dilakukan – katalah tempohnya sehingga Parlimen dibubarkan – ini sedikit akan dapat menyejukkan hati rakyat sementara langkah-langkah penyelesaian mesti juga diusahakan dengan seberapa segera.

Semalam PH telah memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan untuk mengumumkan langkah-langkah penyelesaian berkaitan subsidi dan untuk mengatasi kos sara hidup ini, manakala seorang pemimpin DAP pula menyarankan agar inilah masanya untuk mengumpulkan sejuta rakyat turun ke jalanraya bagi menunjukkan bantahan.

Mahu tidak mahu, Ismail Sabri harus pantas dan memberi respon segera atas semua perkembangan yang berlaku ini, jika tidak, walaupun hari-hari hujan turun, tetapi kemarahan rakyat akan terus meningkat tanpa had. – ShahbudinHusin 23/06/2022.