Tidak gunakan bahasa Malaysia bukannya tidak taat setia pada negara Cukuplah itu, jangan mempolitikkan bahasa, tradisi, budaya dan sejarah negara kita

 

Baru-baru ini saya telah diminta memberi pendapat oleh sebuah media tempatan, samada tidak menggunakan bahasa Malaysia dalam perhubungan harian kita itu menunjukkan bahawa kita tidak setia kepada negara.

Saya percaya, soalan ini ada kaitan dengan satu kejadian di mana Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim telah menegur seorang wartawan yang telah mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris kepada beliau.

Beliau menegur wartawan itu dengan mengatakan bahawa pemberita harus menyoal beliau dalam bahasa Malaysia sebagai bukti kesetiaan kepada negara dan tidak mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris kepada beliau.

Bagi saya teguran timbalan menteri itu dangkal dan tidak kena pada tempatnya. Cuba tanya pada diri kita, apakah tindakan, kelakuan atau perbuatan yang boleh kita sabitkan bahawa seseorang itu taat setia atau tidak pada negara? Adakah kerana tidak gunakan bahasa Malaysia dalam situasi dan keadaan mana sekali pun, lantas kita label seseorang itu tidak setia pada negara.

Kalau inilah menjadi persoalan, saya nak tanya, mengapa pemimpin-pemimpin negara kita bilamana berucap di forum forum antarabangsa tidak mahu menggunakan bahasa Malaysia tapi menggunakan bahasa orang putih? Tidak ada pula orang nak komen bahawa mereka tidak setia pada negara.

Bagi saya, di persada dunialah kita harus menonjolkan bahasa kita, tetapi ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin kita. Lihat Joko Widodo, Presiden Indonesia. Apakah bahasa yang digunakan bila dia berucap di luar negara? Bahasa Inggeris ke?

Jika kita terima teguran timbalan menteri itu, kita boleh beranggapan bahawa semua pemimpin kita yang tidak menggunakan bahasa Malaysia di forum antarabangsa adalah mereka yang tidak setia pada negara. Boleh atau tidak kita menerima tanggapan saya ini?

Dan bila kita dengar pemimpin kita yang ada sekarang berucap dalam bahasa Inggeris di forum antara bangsa, badan saya merasa serum sejuk dan nak tergelak pun ada. Kadangkala sebutannya itu berlainan dari sebutan asal. Kalau tak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, inilah masanya mereka gunakan bahasa Malaysia.

READ MORE:  Promoting the national language: Steps in the right direction

 

Dan bagi saya, nak jadi pemimpin negara dan nak menunjukkan bahawa kamu fasih berbahasa Inggeris, kamu semua mesti belajarlah bersungguh bahasa Inggeris dengan betul.

Bagi saya, lagi banyak kita menguasai bahasa asing, lagi bagus kerana bahasa itu akan memperluaskan fahaman kita kepada banyak ilmu pengetahuan.

Taat setia seseorang kepada negara bukan hanya terletak pada penggunaan bahasa semata mata. Ianya lebih luas dari itu. Tidak ada dalam definasi ‘taat setia’ yang menyatakan bahawa bahasa itu boleh dikaitkan dengan taat setia seseorang itu pada negara.

Taat setia terletak pada jiwa dan semangat yang ada pada seseorang itu, dan dia bersedia berbakti untuk negara dan rela berkorban nyawa demi untuk kepentingan negara, dan tidak ada hubung kaitnya dengan bahasa.

Jika sifat ini ada pada seseorang, maka dia mempunyai kesetiaan pada negara … tak kiralah samada dia fasih bahasa Malaysia atau tidak, atau dari bangsa apa, asalkan dia rakyat di negara ini.

Saya tidak sekali kali mengatakan bahawa, sebagai rakyat Malaysia, kita tak perlu fasih dalam bahasa Malaysia. Malahan, saya akui bahawa bahasa itu boleh menjadi tali perhubungan bagi rakyat negara ini yang berbilang bangsa, bagi menjadikan satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Tapi kita harus sedar bahawa negara ini mengandungi berbagai bangsa dan bahasa, dan oleh itu setiap bangsa harus diberi kebebasan menggunakan bahasa ibunda mereka, kerana itu satu sepakatan diantara pejuang-pejuang kemerdekaan kita dulu. Dan ini mesti dihormati.

Kita telah hidup dengan keadaan sebegini sekian lama, dan tidak pula kita mundur kerana kita tidak menggunakan bahasa Malaysia. Malahan negara ini terkenal sebagai sebuah negara yang ramai penduduk fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Dan pelawat antarabangsa senang datang ke negara kita kerana mereka mudah berhubung dengan kita dalam bahasa Inggeris. Dan bilamana kita tidak menggunakan bahasa Malaysia kepada pelawat luar negara, jangan pula kita dituduh tidak setia pada negara.

Kita juga perlu ingat bahawa kita bukan sebuah negara yang terasing dan tersisih dari negara-negara lain. Kita berada dalam sebuah benua yang mengandungi ratusan buah negeri dan negara, dan setiap negeri menggunakan bahasa mereka sendiri.

Kita patut bersyukur bahawa kita mempunyai berbagai bangsa dan bahasa, dan terdapat pula di kalangan bangsa kita ini yang menggunakan salah satu bahasa yang tertua didunia ini, iaitu bahasa Tamil.

Bahasa Tamil mengikut sejarah telah mula digunakan 5,000 tahun dulu. Adakah kita sanggup menghapuskan bahasa tertua itu? Kita patut megah kerana adanya bahasa tertua digunakan dinegara kita ini.

Biarlah kita kekalkan sejarah kita di mana rakayt dari berbilang bangsa dan bahasa telah hidup bersama beratusan tahun, tapi tidak sekali pun mereka mahu hancurkan sesuatu bahasa kaum lain yang bukan dari kaum mereka. Ini satu keunikan rakyat Malaysia, dan saya jemput semua pemimpin politik kita fahami perkara ini.

Sebagai pemimpin, mereka seharusnya belajar berbagai bahasa kerana mereka bukan pemimpin kepada satu kelompok bangsa saja, tapi pemimpin kepada semua bangsa yang ada dinegara ini.

Dan saya ingin juga memperingatkan pada pemimpin politik kita supaya mengimbas kembali negara kita pada zaman darurat pertama, darurat kedua dan konfrontasi.

Pada ketika itu bahasa tidak penting untuk menyatukan rakyat supaya bersatu menentang musuh negara. Apa yang penting ketika itu ialah jiwa dan semangat kita untuk membebaskan negara dari ancaman musuh.

READ MORE:  Promoting the national language: Steps in the right direction

 

Kita lihat bagaimana rakyat dari berbilang bangsa dan bahasa bersatu sebagai satu angkatan melawan musuh pada ketika itu, hingga kita berjaya menumpaskan musuh kita itu.

Saya sebagai seorang veteran tentera dapat melihat semua ini, bahawa setiap bangsa sanggup berkorban demi menyelamatkan negara; dan kami tidak kesah apa saja bahasa yang mereka gunakan. Inilah satu contoh taat setia yang terbaik yang dapat saya berikan, iaitu bukan bahasa yang memenangi perjuangan kita, tapi jiwa dan semangat cintakan negara oleh setiap rakyat negara pada ketika itu telah berjaya menewaskan musuh negara.

Saya yakin, jika negara kita diancami musuh sekali lagi, rakyat Malaysia dari berbagai bangsa akan bersatu semula bagi membuktikan taat setia mereka – bukan kerana bahasa semata mata, tetapi jiwa dan semangat mereka yang mahu berkorban untuk negara.

Dan sekarang, saya nak tanya pada timbalan menteri di mana dia berada ketika  rakyat berbilang bangsa bersatu menentang ancaman militan pada zaman darurat seperti yang telah saya sebutkan tadi? Dan saya hendak tahu juga, apakah fahaman beliau dengan perkataan taat setia itu?

Cukuplah itu, jangan mempolitikkan bahasa, tradisi, budaya dan sejarah negara kita. Jangan lupa, perlembagaan persekutuan Malaysia pun dalam bahasa Inggeris.

Mungkin wartawan yang menanyakan soalan dalam bahasa Inggeris itu dari media bahasa Inggeris, dan sesuailah soalan yang diajukan dalam bahasa Inggeris kerana wartawan itu akan melaporkan secara verbatim jawapan dari timbalan menteri itu. Jadi bagi saya tidak salah dia mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris. Apa perlunya dia angkuh pada seorang pemberita yang hanya mahukan sesuatu komen darinya itu?

Brigadier Jeneral bersara Dato Mohamed Arshad Raji ialah presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot)

No comments: